GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool FC bakal menguji kekuatan pasukan Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa Siri Jelajah Asia 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang esok.
The Reds pimpinan Kenny Dalglish sebelum itu menewaskan kelab China, Guangdong Sunray Cave FC, 4-3 kelmarin sebelum tiba di Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Apakah kesudahan nasib anak didik Datuk K Rajagobal selepas ini apabila mereka dibelasah teruk 4-0 oleh Arsenal.
Peminat pastinya mengharapkan perubahan drastik menjelang pertemuan dengan Kop kerana pasukan kebangsaan seolah-olah tidak bermaya mengekang asakan skuad The Gunners, Rabu lalu.
Pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal yakin dengan kredibiliti pemain tempatan, apabila berhadapan Singapura dalam Kelayakan Piala Dunia 2014, 23 Julai ini.
Menurutnya, pasukan dari Seberang Tambak itu perlu sedar kerana mereka bersandarkan pemain luar yang diberi taraf kewarganegaraan.
“Saya yakin dengan kemampuan pemain negara dan berharap mereka mengekalkan momentum dalam permainan.
“Pemain sedia berhadapan pasukan Singapura yang dibarisi beberapa tonggak pemain asing dalam pasukan,” katanya kepada pemberita semasa kunjungan Liverpool FC ke Malaysia dalam rangka lawatan Jelajah Asia di Hotel One Utama, Damansara, semalam.
Mengulas mengenai pertemuan menentang The Reds yang hadir buat pertama kali ke negara ini, Rajagobal berharap pemainnya memanfaatkan peluang sebaik mungkin.
“Ini satu perlawanan baik untuk pemain dan berharap mereka dapat mengekalkan tempo permainan,” katanya.
Pasukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak 18 kali itu, bakal berhadapan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang esok.
Namun, Kop tidak membawa dua pemain utama, Steven Gerrard dan Luis Suarez gara-gara kecederaan dan tugasan Copa Amerika.
No comments:
Post a Comment