Onani punca gemuk?
Saya suri rumah berumur 31 tahun dan mempunyai seorang anak. Baru-baru ini saya terbaca dalam sebuah akhbar, berkaitan gejala onani di kalangan wanita, benarkah wanita yang beronani akan cepat obes?————————-
Terima kasih. Soalan yang diutarakan oleh Puan amat menarik sekali. Sangkaan Puan berkaitan onani menyebabkan cepat obes adalah tidak tepat. Onani atau juga dikenali sebagai masturbasi (melancap), adalah rangsangan seksual yang sengaja dilakukan pada organ kelamin untuk memperoleh kenikmatan dan kepuasan seksual. Rangsangan ini dapat dilakukan tanpa alat bantu ataupun menggunakan sesuatu objek atau alat, atau kombinasinya. Cara-caranya adalah dengan menyentuh, menggosok dan meraba bahagian tubuh sendiri yang peka sehingga menimbulkan rasa menyenangkan untuk mendapat kepuasan seksual (orgasma) baik tanpa menggunakan alat mahupun menggunakan alat.
Onani di kalangan wanita amat jarang diperbincangkan. Adalah menjadi satu ‘tabu’ untuk membincangkan aktiviti ini yang juga wujud di kalangan wanita. Begitu juga, wanita yang tidak mampu menahan desakan batin maka ‘tidak mengapa’ mereka beronani dengan mengunakan tangan atau apa alatan yang tidak merbahaya asalkan dibuat setelah terdesak bukan dengan sengaja atau berniat mencari keseronokan. Agama Islam juga mengharamkan seseorang wanita berkhayal kotor dan menonton filem porno. Sesungguhnya kelonggaran dibolehkan onani ini hanya apabila ia terdesak dan demi mencegah zina.
Secara kesimpulan, dibolehkan barang siapa yang terdesak dan perlu menurunkan tekanan syahwatnya untuk beronani dan ini dibuat dengan turut berusaha mempertingkatkan usahanya untuk membolehkannya bernikah demi mencapai perintah Allah.
Onani tidak akan menyebabkan tumbesaran terjejas dari segi ketinggian atau fizikal. Ini adalah salah anggap atau mitos-mitos yang tidak tepat yang sering dikaitkan dengan onani. Dari segi pandangan perubatan moden, onani adalah selamat dan tidak membahayakan. Seseorang sepatutnya tidak perlu merasa bersalah atau tertekan selepas onani. Onani boleh memberi kelegaan kepada ketegangan seks (sexual tension). Ia adalah cara paling selamat kerana tidak membawa risiko mengandung atau jangkitan penyakit transmisi seks seperti HIV. Ia juga adalah suatu cara seseorang wanita mendapat kenikmatan seksual jika tidak dapat melakukan hubungan seks, dapat meningkatkan aliran darah ke bahagian kemaluan dan seterusnya meningkatkan fungsi serta kesihatan seksual, memberi peluang kepada seseorang mengenali dan memahami fokus erotik pada badan sendiri dan juga boleh membantu wanita mencapai orgasma.
------------------------------------------------------------
‘Rahim mungkin pecah’
SAYA berumur 30 tahun dengan ketinggian 151 sentimeter dan berat 57 kilogram.Saya melahirkan anak pertama pada 12 Oktober 2010 secara pembedahan.
Sepanjang kehamilan, saya tidak mengalami sebarang komplikasi, begitu juga janin serta tidak mengalami loya (morning sickness) langsung.
Sebelum melahirkan anak, saya terpaksa menanggung kesakitan selama lebih 16 jam dan tidak dibenarkan meneran kerana pintu rahim saya hanya terbuka tiga sentimeter namun bayi yang masih berada dalam perut sudah mengeluarkan najis.
Oleh itu, doktor terpaksa menjalankan pembedahan bagi mengelakkan bayi dan ibu terkena jangkitan kuman.
Selepas pembedahan, dua doktor berkali-kali mengingat�kan saya selepas kelahiran ini, saya tidak boleh melahirkan anak secara normal lagi kerana ketika proses kelahiran anak iaitu melalui pembedahan, bahu bayi tersekat dan doktor terpaksa memotong rahim lagi dengan lebih tinggi (panjang) untuk membolehkan mereka menarik bayi keluar.
Doktor menjelaskan risiko jika melahirkan anak secara normal ialah rahim mungkin pecah sewaktu meneran. Saya bercadang mempunyai anak lebih daripada tiga orang dan setahu saya jika semua kelahiran dilakukan secara pembedahan maka bilangan maksimum anak yang boleh dilahirkan hanya tiga orang.
Selain itu, lebih lambat memulihkan semula kesihatan selepas melahirkan anak secara pembedahan berbanding normal.
Adakah benar saya langsung tiada peluang untuk melahirkan bayi secara normal?
PEMBEDAHAN Caesarean yang lazimnya dilakukan membabitkan bahagian segmen bawah otot rahim, anda mungkin pernah mendengar singkatan LSCS (lower segment Caesarean section).
Ini kerana segmen bawah lebih utuh menahan kontraksi rahim sewaktu kehamilan lebih-lebih lagi sewaktu kontraksi sakit bersalin.
Hanya dalam keadaan tertentu saja segmen atas terpaksa dipotong sewaktu pembedahan Caesarean misalnya dalam keadaan terdesak apabila doktor mengalami kesukaran untuk mengeluarkan bayi melalui belahan segmen bawah.
Anda tidak menyatakan berat lahir bayi anda. Dengan ketinggian 151 sm, berkemungkinan saiz rangka pelvis anda kecil berbanding saiz bayi anda sehingga menyebabkan kepala bayi tidak ‘turun’ lagi walaupun setelah 16 jam menanggung sakit kontraksi bersalin.
Keadaan bahu tersekat dinamakan ‘distocia bahu’, ia boleh berlaku sama ada bersalin normal ataupun secara Caesarean apabila bayi bersaiz besar berbanding bukaan kelahiran, ia hanya dikesan setelah kepala bayi dikeluarkan, tetapi bahu pula tersekat.
Doktor anda mungkin terpaksa memotong ke bahagian atas bagi mengelakkan koyakan berlaku pada potongan awal sehingga membabitkan struktur penting di kanan dan kiri potongan asal iaitu salur darah rahim. Kecederaan pada salur darah rahim boleh mengakibatkan pendarahan yang banyak.
Wanita yang sudah menjalani pembedahan Caesarean segmen atas dinasihatkan untuk bersalin secara pembedahan Caesarean saja.
Ini bagi mengelakkan parut dahulu merekah atau koyak sehingga membahayakan ibu dan kandungannya, malah koyakan itu boleh berlaku sebelum sakit kontraksi lagi. Istilah rahim pecah lebih sering digunakan dalam keadaan ini.
Anda juga perlu faham, selain itu, saiz tulang pelvis anda mungkin sebenarnya kecil dan tidak sesuai untuk bersalin secara biasa.
Bagi wanita sebegini, walaupun pernah menjalani pembedahan LSCS dan bukan pun pada segmen atas, mereka masih dinasihatkan menjalani pembedahan Caesarean saja dan mengehadkan bilangan kelahiran Caesarean kepada tiga kali.
-------------------------------------------------------------------------------
Muntah teruk ketika kandungan lima bulan
SAYA hamil selama hampir lima bulan dan sepanjang kehamilan saya mengalami loya dan muntah yang agak teruk. Saya bekerja di Indonesia dan berat badan saya susut empat kilogram dalam masa tiga minggu.Saya sudah berjumpa doktor di sini, tetapi saya ragu-ragu dengan jawapan doktor yang menyatakan bayi dalam kandungan dalam keadaan baik.
Untuk makluman saya ada mengambil suplemen namun apabila saya memakan ubat, muntah yang dialami semakin teruk. Jadi saya menghentikan sebarang pengambilan ubat ketika usia kandungan empat bulan.
Adakah hal ini boleh menjejaskan perkembangan bayi kerana suplemen yang diberi termasuk asid folik dan kalsium? Adakah cara lain yang boleh menggantikan khasiat pemakanan untuk bayi dalam kandungan selain mengambil ubat?
PADA usia kehamilan lima bulan, paras hormon penyebab morning sickness (hormon BhCG) sudah lama menurun ke paras rendah.
Itulah sebabnya ia lazimnya hanya dialami dalam trimester pertama (tiga bulan pertama) kehamilan saja.
Suplemen antenatal mengeluarkan bau yang kurang enak dan memualkan setelah dimakan.
Pada trimester pertama, eloklah ia diambil pada sebelah malam bagi mengurangkan ibu hamil mengalami loya terbabit kerana kita tidur selepas itu.
Pada usia kandungan lima bulan, suplemen adalah pil multivitamin antenatal (yang sedia mengandungi asid folik) dan pil kalsium.
Pengambilan makanan segar, berkhasiat dan mengikut piramid makanan dapat membantu. Bagaimanapun, anda mungkin cepat bosan sekiranya ingin mengambil jenis makanan yang sama setiap hari bagi menepati keperluan zat makanan di dalamnya.
Memandangkan jarang bagi ibu hamil untuk masih mengalami loya dan muntah selepas hamil empat bulan, saya nasihatkan anda menjalani pemeriksaan pakar perbidanan bagi memastikan tiada penyebab penyakit lain yang tiada kaitan dengan kehamilan.
------------------------------------------------------------
Sukar hamil selepas suntikan
SAYA berumur 29 tahun dan mempunyai seorang cahaya mata berumur empat tahun.Saya mempunyai ketinggian 161 sentimeter dan berat badan 75 kilogram.
Selepas berpantang saya terus membuat suntikan perancang kehamilan dua bulan sekali selama dua tahun.
Kini, saya sukar untuk mendapatkan anak kedua. Adakah suntikan terbabit menyebabkan saya sukar untuk hamil lagi? Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengembalikan kesuburan agar memperoleh cahaya mata kedua
JARANG kaedah suntikan pencegah kehamilan melambatkan kehamilan setelah dua tahun dihentikan penggunaannya.
Eloklah anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan, mungkin terdapat penyebab yang kini semakin ketara sehingga mengganggu kesuburan anda. Selain itu, suami juga perlu menjalani ujian air mani, mungkin kualiti sperma di dalam air maninya menurun.
------------------------------------------------------------
Payudara keluar cecair
SAYA berusia 34 tahun, berat badan 44 kilogram dengan ketinggian lima kaki empat inci. Kesihatan saya normal dan sudah berkahwin selama 14 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berumur 13 tahun.Baru-baru ini saya dapati ada sedikit cecair keluar daripada puting payudara kiri saya. Jika saya memicit pada bahagian puting terbabit, kadangkala ada cecair keluar tetapi jika dibiarkan, tiada pula cecair yang keluar. Saya tidak rasa sakit di sekitar payudara itu. Apakah cecair itu sebenarnya?
ANDA tidak menerangkan lebih lanjut mengenai cecair terbabit sama ada jernih, susu atau darah. Apapun, memandangkan ini tidak dialami dahulunya, saya sarankan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Contoh cecair mungkin akan dihantar untuk ujian sitologi.
Pada masa sama, doktor mungkin akan melakukan imbasan ultra bunyi ke atas kedua-dua payudara anda. Ia boleh sama ada susu (kadangkala disebabkan oleh rangsangan manual seperti kerap menyentuh atau memicit payudara), jangkitan kuman (kurang berkemungkinan memandangkan anda tidak sakit atau payudara tidak membengkak) atau penyakit berbahaya.
-------------------------------------------------------------
Mahu segera tambah anak
SAYA berumur 29 tahun dan mempunyai anak sulung berumur lapan bulan. Saya menyusukan anak secara eksklusif sehingga kini. Memandangkan umur makin meningkat, saya mahu cepat menimang cahaya mata untuk kali kedua.Pada masa sekarang, haid saya masih tidak datang sejak melahirkan anak sulung pada November tahun lalu.
Apa yang perlu saya buat? Saya masih mahu meneruskan menyusu anak saya sehingga dua tahun.
Adakah saya perlu mengambil pil hormon atau kesuburan? Adakah selepas mengambil pil hormon atau kesuburan itu boleh menyebabkan susu saya kering?
PENGHASILAN susu badan dirangsang hormon prolaktin. Hormon prolaktin pula boleh mengganggu kesuburan secara menghentikan pengeluaran telur (ovulasi). Itulah sebabnya penyusuan badan secara eksklusif boleh digunakan sebagai kaedah mencegah kehamilan yang berkesan sehingga enam bulan daripada kelahiran bayi.
Selepas tempoh enam bulan, kaedah ini tidak lagi dijamin dapat mencegah kehamilan. Ini juga bermakna anda sepatutnya berpotensi hamil semula dari dua bulan yang lalu.
Pemeriksaan doktor dapat membantu mengesan apakah puncanya. Ujian darah paras hormon prolaktin juga boleh dibuat di samping ujian yang lain.
Pil hormon yang berkait kesuburan lebih mengandungi hormon jenis antiestrogen. Secara amnya, hormon jenis estrogen sebaliknya yang didapati mengurangkan penghasilan susu badan.
Saya kurang jelas apakah yang anda maksudkan dengan penyusuan eksklusif pada usia bayi lapan bulan sekarang, adakah ia bermakna bayi anda tidak diberikan air atau makanan tambahan selain hanya susu badan sahaja sehingga bayi berusia dua tahun?
Lazimnya ibu digalakkan mengamalkan penyusuan badan eksklusif pada enam bulan pertama tanpa air atau produk susu lain atau makanan tambahan. Makanan tambahan boleh dimulakan apabila bayi berusia empat hingga enam bulan sementara penyusuan badan diteruskan sehingga bayi berusia dua tahun, tetapi ia tidaklah lagi dipanggil penyusuan badan eksklusif.
-------------------------------------------------------------
Haid selama tiga minggu
SAYA berumur 23 tahun dan belum berkahwin. Saya mengalami haid tanpa henti sejak tiga minggu lalu, biasanya haid saya hanya tiga hingga lima hari.Kali ini, selepas satu setengah minggu, haid saya berhenti kemudian selepas dua hari, saya didatangi haid semula dalam kuantiti yang banyak.
Saya bekerja sebagai kerani akaun dan menghidap tekanan darah rendah. Apakah yang harus saya lakukan?
ANDA perlu berhati-hati dalam keadaan ini. Sewaktu pendarahan banyak, aliran darah tubuh boleh berkurangan sehingga menyebabkan kesan seperti tidak bertenaga malah mungkin pitam akibat tekanan darah rendah, lebih-lebih lagi jika berdiri dalam tempoh yang lama. Minum air secukupnya boleh membantu mengekalkan isi padu aliran darah buat sementara waktu.
Walaupun ini pertama kali berlaku dan mungkin tidak berulang, eloklah anda menjalani pemeriksaan doktor. Haid yang banyak dinamakan menoragia manakala haid banyak dan berpanjangan pula dinamakan polimenorea.
Terdapat beberapa penyebab keadaan ini. Walaupun kebanyakan penyebabnya tidak berbahaya, pendarahan berterusan boleh menyebabkan kekurangan darah (anemia) dan komplikasi lanjut contohnya terhadap jantung.
-------------------------------------------------------------
Benjolan di bibir alat kelamin
SAYA sudah berumah tangga selama empat tahun. Baru tahun ini saya perasan terdapat ketulan pada bahagian bibir kemaluan (bahagian dalam) di sebelah kiri dalam anggaran sebiji bola pingpong.Saya tidak pula rasa sakit dan saya tidak pasti sama ada ia satu ketumbuhan atau sebaliknya. Adakah ia boleh memudaratkan?
ANDA tidak menyatakan usia anda, saya andaikan anda masih muda. Benjolan berhampiran bibir kemaluan bahagian dalam lazimnya disebabkan kelenjar Bartholin tersumbat, ini dinamakan sista Bartholin dan mudah dirawat secara pembedahan minor.
Sekiranya ia mengalami jangkitan kuman sehingga menjadi bernanah, ia dinamakan abses Bartholin pula dan memerlukan pembedahan segera.
Bagaimanapun, ia boleh juga sebenarnya sista faraj, varikos salur darah vena dan sebagainya. Berjumpalah pakar sakit puan berhampiran untuk kepastian.
-------------------------------------------------------------
Tujuh tahun tiada anak
SAYA berumur 33 tahun dengan berat 47 kilogram dan ketinggian 160 sentimeter. Saya sudah berkahwin selama tujuh tahun dan tidak dikurniakan anak. Haid saya sememangnya tidak teratur.Saya sudahpun melakukan pemeriksaan perubatan sepenuhnya antaranya ultrabunyi pelvis, ujian darah dan HSG. Keputusannya, saya tidak mengalami masalah, begitu juga dengan sperma suami.
Pada 2008, saya melakukan rawatan permanian berhadas (IUI) dan ketika menjalani rawatan, setiap hari perut saya semakin membengkak sehingga ke peringkat terakhir apabila sperma suami dimasukkan ke dalam ovari, saya mengalami komplikasi yang teruk mengakibatkan darah beku di dalam badan dan perut saya membengkak seperti orang mengandung.
Saya juga mengalami kesukaran bernafas dan dimasukkan ke hospital selama dua minggu. Alhamdulillah, saya masih selamat kerana menurut doktor, saya mengalami PCOS peringkat akhir dan hampir meragut nyawa saya.
Selepas itu, saya berhenti sementara melakukan sebarang rawatan untuk memberi ketenangan kepada diri sehinggalah pada awal tahun ini, saya berjumpa doktor di hospital lain dan menceritakan apa yang berlaku sebelum ini. Tetapi dia memberitahu saya tidak boleh melakukan apa-apa rawatan kesuburan sebelum saya melakukan ovarian drilling dan kosnya amat mahal iaitu mencecah RM7,000.
Adakah cara lain yang dapat saya lakukan untuk meneruskan hasrat menimang cahaya mata selain rawatan terbabit? Adakah jika saya melakukan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF), komplikasi berkenaan akan tetap berlaku? Apakah pandangan doktor dalam hal ini?
TERDAPAT salah faham mengenai penyakit yang anda alami.
Anda mengalami ovarian hyper-stimulation syndrome (OHSS) sewaktu menjalani rawatan kesuburan pada 2008 itu, bukannya PCOS. OHSS boleh berlaku kepada mana-mana wanita yang mengambil ubat kesuburan, terutama wanita yang mempunyai PCOS terutama dengan berat badan yang kurang.
Mengikut pengiraan, dengan ketinggian anda, mempunyai berat badan sedemikian dikategorikan sebagai ‘berat badan kurang’. OHSS juga dijangka bertambah teruk dengan pengambilan suntikan hCG (hormon pencetus ovulasi) yang lazimnya diberikan apabila saiz kantung atau folikel telur didapati sudah matang dan bersedia untuk diovulasi.
Selain itu, OHSS juga menjadi lebih teruk apabila wanita itu kemudian hamil, lebih-lebih lagi kehamilan kembar. Bagaimanapun, secara realitinya sukar untuk menjangka siapa yang akan mendapat OHSS, yang lebih penting adalah untuk mengenali bila OHSS mula berlaku supaya tindakan selanjutnya dapat diambil
bagi mengelakkan ia menjadi lebih teruk.
Ini termasuk membatalkan kitaran rawatan terbabit, menghentikan ubat kesuburan, tidak memberikan suntikan hCG serta memberi bantuan perubatan bagi mengelakkan kejadian darah beku serta embolisma pulmonari.
Dengan penyataan anda sudah menjalani pemeriksaan awal dan didapati normal, doktor mungkin tidak menyangka anda mempunyai PCOS dan ini hanya diketahui apabila anda berjumpa doktor kedua.
Menerusi sejarah pernah mengalami OHSS teruk dan dengan berat badan anda kini, risiko anda untuk mengalami OHSS pada masa akan datang juga lebih tinggi berbanding wanita lain. Tiada cara untuk mengelakkan OHSS kecuali dengan tidak mengambil ubat kesuburan.
Sekiranya anda mempunyai masalah ovulasi, doktor akan mengurangkan dos ubat kesuburan kepada sekurang-kurangnya separuh saja daripada dos dahulu bagi mengurang–kan risiko OHSS berulang. Anda tidak memberitahu jenis dan dos ubat kesuburan yang anda ambil dahulu.
Sebelum berbincang mengenai jenis rawatan yang sesuai untuk anda kini, anda perlu memberitahu jenis rawatan atau ubat kesuburan yang anda pernah ambil dahulu.
Pembedahan ovarian drilling dapat mengurangkan bilangan cyst ovari yang anda alami, namun risiko OHSS masih boleh berlaku dengan pengambilan ubat kesuburan jika tidak dipantau teliti.
Kelebihan IVF adalah ia dapat mengeluarkan sebahagian besar (atau kesemua) telur matang daripada dalam tubuh anda untuk disenyawakan di makmal bersama-sama sperma suami. Dalam rawatan IUI, sekiranya bilangan kantung atau folikel terlalu banyak, doktor mungkin akan menasihatkan anda bertukar kepada IVF bagi menyedut keluar telur terbabit.
Bagaimanapun, perkara asasnya tetap sama. Langkah pertama yang sangat penting adalah menentukan jenis ubat dan dos yang paling rendah atau selamat bagi anda. Jika tidak, OHSS boleh berlaku, malah rawatan terpaksa dihentikan separuh jalan dan embrio terpaksa dibekukan.
Sekiranya anda sebenarnya tidak mempunyai masalah ovulasi, IUI atau IVF boleh dilakukan tanpa menjalani pembedahan mahupun mengambil ubat kesuburan, cuma peluang kehamilan tanpa ubat kesuburan adalah lebih rendah kerana ia bergantung kepada satu telur saja.
Buat permulaan, anda digalakkan menambah pengambilan makanan berkhasiat bagi meningkatkan berat badan anda. Mungkin anda ingin mendapatkan nasihat pakar dietetik. Berat badan yang berkurangan juga boleh mengganggu ovulasi.
-------------------------------------------------------------
Asid folik dapat cegah bayi cacat
SAYA berusia 28 tahun dan baru mendirikan rumah tangga selama empat bulan dan masih belum hamil. Keinginan untuk hamil memang tinggi. Adakah saya boleh mengambil asid folik walaupun belum hamil?Saya juga musykil kerana kitaran haid saya adalah 24 hari saja serta mengalami senggugut dan sembelit pada hari pertama dan kedua didatangi haid. Biasanya saya didatangi haid dalam tempoh enam hingga tujuh hari. Adakah simptom sebegini menyukarkan saya untuk hamil?
Adakah saya normal? Apakah langkah yang memudahkan saya untuk hamil? Adakah mengambil suplemen di pasaran boleh memudahkan saya hamil? Harap doktor dapat memberi nasihat.
ASID folik adalah sejenis vitamin B yang didapati mengurangkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang bayi sebanyak sehingga 80 peratus. Ia bukanlah ubat kesuburan.
Wanita disarankan mengambil asid folik sebanyak sekurang-kurangnya 400 mikrogram setiap hari dari sebulan sebelum memulakan kehamilan dan diteruskan
sehingga kandungan melepasi trimester pertama.
Bagi ibu yang pernah mempunyai sejarah bayi atau janin dengan kecacatan terbabit (misalnya anencephaly), pengambilan asid folik seeloknya dari tiga bulan sebelum memulakan kehamilan.
Kitaran haid yang kurang daripada 25 hari lazimnya berkait dengan masalah hormon. Senggugut juga mungkin mempunyai kaitan dengan masalah sakit puan yang boleh memberi kesan kepada kesuburan, namun ia tidak semestinya begitu. Eloklah anda menjalani pemeriksaan doktor terlebih dulu.
Anda juga perlu berhati-hati dengan produk atau bahan yang menggunakan istilah ‘suplemen’ atau makanan kesihatan. Teliti kandungan keseluruhan produk berkenaan bagi mengetahui jenis bahan yang memasuki tubuh anda. Tidak mustahil suplemen yang dikatakan berjaya membuahkan kehamilan kembar sebenarnya mengandungi bahan ‘clomiphene citrate’ atau bahan antiestrogenik yang lain (contohnya yang digunakan dalam rawatan kanser payudara wanita menopaus) kerana ia merangsang pembesaran lebih daripada satu telur dalam sesuatu kitaran haid atau kesuburan wanita.
Memandangkan bahan berkenaan dilaporkan memberikan risiko kanser ovari apabila melepasi tempoh tertentu, eloklah anda faham kesannya. Setiap bahan mempunyai kesan baik dan kesan sampingan tersendiri. Sesuatu bahan dikatakan ubat apabila ia disediakan dalam dos seminimum mungkin bagi mengurangkan risikonya serendah mungkin, tetapi pada masa sama masih dapat mengekalkan potensinya. Jika tidak pasti mengenai dosnya, istilah ubat terbabit mungkin lebih sesuai dipanggil bahan beracun
-------------------------------------------------------------------
Lebih setahun tiada haid
SAYA dalam dilema kini kerana sudah lebih setahun tidak didatangi haid. Saya berumur 22 tahun.Berat badan saya 80 kilogram dengan ketinggian 153 sentimeter. Baru-baru ini, payudara sebelah kanan saya sakit dan saya takut jika saya mempunyai barah. Harap doktor dapat membantu.
SAYA tidak dapat membantu anda menerusi tilikan akhbar. Tiada guna anda bimbang jika anda tidak menjalani pemeriksaan doktor, setidak-tidaknya ia akan membantu mengesahkan penyakit sebenar anda.
Mungkin anda mempunyai masalah hormon yang menghalang pengeluaran telur (ovulasi) secara teratur setiap bulan.
Berat badan berlebihan boleh menyebabkan keadaan terbabit. Jika berat badan anda berterusan meningkat sehingga mencapai 82 kilogram, anda termasuk dalam kategori obes morbid atau berpenyakit dengan peningkatan risiko penyakit jantung, diabetes mellitus (kencing manis) dan hipertensi (darah tinggi).
Eloklah anda berusaha menurunkan berat badan sebanyak empat hingga lima kilogram terlebih dulu dan diteruskan sehingga beransur mencapai 58 kilogram.
-------------------------------------------------------------
Gugur anak dikhuatiri cacat
SAYA berumur 26 tahun dan sudah mendirikan rumah tangga setahun lalu. Untuk pengetahuan doktor, saya pernah hamil namun melakukan pengguguran ketika kandungan berumur dua bulan.Saya melakukan pengguguran itu kerana khuatir bayi saya berisiko besar untuk cacat disebabkan saya mengambil ubat tradisional Cina untuk mengubati penyakit asma saya selama dua bulan sebelum saya hamil lagi.
Saya mendapat penyakit asma ini sejak bayi berikutan faktor keturunan yang memang mempunyai penyakit asma. Namun sehingga kini, penyakit asma saya masih tidak sembuh, malah semakin bertambah buruk.
Saya jarang bersama suami disebabkan suami bertugas di luar negara dan hanya pulang sebulan sekali selama seminggu. Untuk pengetahuan doktor, selepas sebulan saya melakukan pengguguran itu, saya bersama suami namun ketika bersama suami, saya berasa sakit pada rahim.
Tetapi saya tidak mengadu kepada suami kerana tidak mahu suami risau dan menghampakannya. Selepas hari itu, saya tidak rasa sakit lagi apabila bersama suami.
Sejak kebelakangan ini, saya merasa sakit pada bahagian kanan perut saya pula.
Sakitnya teramat sangat sehingga kadang-kadang saya tidak lalu bangun apabila ia menyerang. Saya tidak rasa sakit di bahagian lain kecuali pada bahagian terbabit, kadang-kadang saya menekan di bahagian sakit itu untuk mencari mana punca kesakitan itu kerana saya risau jika saya mendapat kanser ovari. Saya juga rasa ngilu setiap kali datang haid.
Adakah melakukan pengguguran boleh menyebabkan risiko rahim terdedah pada kuman? Adakah kesakitan terbabit antara simptom kanser ovari? Apa yang perlu saya lakukan kini?
BENAR, prosedur cucian dilate & curettage (D&C) seperti sewaktu pengguguran kandungan mendedahkan seseorang kepada risiko jangkitan kuman di dalam rahim (endometritis), malah mungkin lebih jauh ke dalam dan membabitkan organ pelvis lain, ini lebih dikenali sebagai PID.
Kanser ovari pula lazimnya tidak memberi petanda awal. Ia juga tidak kerap menyebabkan kesakitan seperti yang anda alami. Kesakitan pada bahagian pelvis lebih kerap disebabkan oleh penyakit seperti jangkitan kuman dan endometriosis.
Eloklah anda mendapatkan pemeriksaan pakar sakit puan. Anda juga dinasihatkan mendapatkan rawatan perubatan bagi penyakit asma yang dialami memandangkan ia menjadi semakin teruk.
Pada masa sama, doktor dan anda dapat menjurus kepada pencetus asma yang anda alami.
--------------------------------------------------------------
Dilema pasangan muda
SAYA baru melangsungkan perkahwinan pada Mac lalu. Memandangkan umur saya dan suami masih muda iaitu 22 tahun dan memandangkan ekonomi masih belum kukuh, kami merancang untuk tidak mempunyai anak lagi buat masa sekarang, oleh itu saya mengambil pil perancang keluarga.Saya musykil jika disebabkan ubat itu saya tidak boleh mengandung lagi pada masa hadapan.
Saya ingin mendapatkan nasihat doktor dan ubat perancang keluarga yang selamat.
Adakah benar wanita yang mengamalkan pengambilan pil perancang keluarga sukar untuk hamil atau ia hanya tanggapan orang saja?
SECARA amnya, pil perancang keluarga selamat diambil, tetapi biarlah setelah anda mendapat pemeriksaan doktor terlebih dulu.
Doktor akan bertanyakan beberapa perkara berkaitan kerana seperti mana-mana bahan ubatan, terdapat kesan sampingan tersendiri.
Doktor juga akan menerangkan lebih lanjut mengenai pilihan kaedah pencegah kehamilan yang ada serta kelebihan atau kekurangan masing-masing.
Pil perancang tidak menghentikan kesuburan seseorang selamanya. Secara prinsipnya, ia tidak mengurangkan kesuburan seseorang apabila dihentikan penggunaannya, mungkin sebahagian wanita mendapati kesuburan mereka lambat kembali selepas berhenti mengambil pil berkenaan.
Selain itu, faktor penambahan usia sebenarnya juga memberi kesan kepada kesuburan seseorang secara amnya. Ini belum lagi termasuk faktor lain yang mungkin berlaku dalam tempoh terbabit (tiada kaitan dengan pil perancang) yang boleh mengurangkan kesuburan seseorang seperti jangkitan penyakit peradangan pelvis (PID) dan seumpamanya.
-------------------------------------------------------------------
Urut tidak semestinya bawa kehamilan
SAYA berusia 24 tahun dan ingin hamil buat kali kedua. Anak pertama saya baru berusia setahun setengah.Saya tidak pernah mengambil sebarang ubat untuk menjarakkan kehamilan dan tidak pernah menjalankan kaedah berurut seperti yang dilakukan oleh setiap wanita selepas bersalin.
Haid saya pun datang secara normal setiap bulan. Soalannya, adakah saya perlu berurut untuk hamil kali kedua? Berapakah tempoh yang perlu diambil untuk hamil kali kedua? Apakah kaedah atau ubat yang perlu diambil untuk hamil sekali lagi?
BUKAN setiap wanita berurut selepas bersalin seperti sangkaan anda. Jarak kelahiran dikira selamat bagi anda yang mungkin paling cepat dari sekarang, anda melahirkan anak kedua setelah dua tahun kelahiran pertama.
Saya juga belum mendengar pendapat perlu berurut untuk hamil seterusnya, namun begitu tidak salah anda berurut untuk keselesaan tubuh dan ketenangan minda.
Anda juga mungkin tidak perlu mengambil ubat kesuburan memandangkan anda masih muda. Amalkan pemakanan sihat, lakukan hubungan kelamin berselang sehari atau berselang dua hari di luar kedatangan haid dan mulakan pengambilan pil asid folik sebanyak lima miligram setiap hari.
Jika anda ingin mendapatkan rawatan kesuburan daripada doktor sekarang, ia juga tidak salah.
-------------------------------------------------------------
Wanita kematian anak dalam kandungan belum mengandung lagi
SAYA mendirikan rumah tangga pada awal Mac 2009 dan saya pernah hamil secara semula jadi serta melahirkan anak pada akhir Julai 2010, tetapi anak itu meninggal dalam kandungan semasa saya hendak melahirkannya.Persoalannya, sehingga sekarang saya masih belum hamil dan saya tidak merancang kehamilan. Sepanjang tempoh saya hamil anak dahulu tiada apa masalah dan janin sihat. Harap doktor dapat membantu.
ANDA tidak menyatakan usia anda. Memandangkan kini sudah hampir setahun berlalu, anda mungkin ingin mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor bagi kehamilan akan datang.
Sebelum itu, eloklah anda mendapatkan laporan mengenai kehamilan dan kelahiran terdahulu serta masalah yang dihadapi oleh janin atau bayi anda. Sekurang-kurangnya doktor mungkin akan menasihatkan anda menjalani ujian pengesahan kencing manis.
-------------------------------------------------------------
Risau parut,puting leper
SAYA berumur 24 tahun dan mempunyai puting leper (inverted). Saya mengalami perkara ini sejak berumur 12 tahun lagi (sejak baligh).Adakah keadaan puting ini satu perkara biasa di Malaysia? Disebabkan keadaan ini, saya pernah mengalami jangkitan bakteria apabila kawasan puting
payudara saya membengkak dan berwarna kemerah-merahan.
Namun, setelah berjumpa doktor, doktor itu membuat hirisan pembedahan kecil sebanyak dua kali dan
meng–gunakan jarum halus untuk menyedut keluar cecair yang mengandungi bakteria dari kawasan terbabit.
Alhamdulillah, sejak peristiwa tiga tahun lalu itu, saya tidak mengalami apa-apa masalah berkaitan puting leper saya.
Namun apa yang merisaukan saya ialah hirisan kecil yang dilakukan doktor itu meninggalkan kesan parut dan saya bakal berkahwin tidak lama lagi.
Saya risau mengenai penerimaan bakal suami mengenai keadaan puting payudara dan parut itu.
Adakah sebarang cara untuk saya ‘membetulkan’ kembali puting leper itu? Adakah keadaan puting itu akan kekal selama-lamanya?
PUTING leper atau inverted adalah suatu keadaan yang bukan saja berlaku di Malaysia tetapi juga di negara lain, malah ia ada dibincangkan beberapa kali dalam ruangan ini sebelumnya.
Ada yang mengalami masalah puting payudara leper seperti anda. Memandangkan terdapat ruang lekuk, peluh, daki atau kotoran boleh berkumpul dan jangkitan boleh berlaku seperti yang anda alami.
Parut pembedahan sama seperti parut yang lain, anda hanya perlu menjelaskan kepada suami mengenai keadaan ini. Puting leper bukanlah masalah besar lebih-lebih lagi puting leper kongenital (semula jadi sejak lahir), ia lazimnya tidak membahayakan.
Namun memandangkan ia sejenis kelainan anggota badan, doktor yang memeriksa anda ketika lahir mungkin sudah memeriksa kemungkinan terdapat juga kelainan pada bahagian atau organ lain badan.
Walaupun ia disedari pada usia anda 12 tahun (ketika berlaku tumbesaran payudara sebelum baligh), berkemungkinan anda sememangnya dilahirkan begitu.
Terdapat teknik mudah secara manual untuk membantu ‘mengeluarkan’ puting leper ini. Bagaimanapun, anda harus bersedia kerana ia memerlukan kesungguhan.
Jika ligamen yang menyebabkan ia tertarik ke dalam itu tebal, ia mungkin lambat atau tidak berjaya ditarik keluar, malah mungkin memerlukan pembedahan kecil, itupun jika anda mahukannya.
Teknik manual adalah secara menggunakan dua jari (lazimnya jari telunjuk dan ibu jari) pada sisi bertentangan puting itu di dasar areolar. Kemudian, kedua-dua jari ini dijarakkan secara mengerakkannya ke luar iaitu arah bertentangan.
Ia boleh juga ditambah dengan menggunakan dua jari tangan sebelah lagi satu untuk cuba menarik puting terbabit sementara jari tadi dijarakkan.
Anda mungkin ingin berjumpa doktor untuk demonstrasi teknik ini. Hasilnya, ia mungkin berjaya dikeluarkan sama ada sebahagian atau keseluruhannya, ia mungkin juga tidak berjaya. Apapun, puting leper tidak memberi masalah untuk penyusuan badan.
-------------------------------------------------------------
Pendarahan selepas bersama satu petanda kanser serviks
SAYA baru mendirikan rumah tangga pada Disember 2010 dan disahkan hamil lapan minggu pada April lalu. Namun pada minggu ke-10 dan ke-11, ada sedikit darah keluar dari kemaluan saya.Saya ada berjumpa doktor pakar dan katanya janin saya sudah tidak berdenyut nadinya dan saya diarahkan untuk menjalani cucian dilation & curettage (D&C) pada 20 April 2011.
Pada 22 Mei lalu saya datang haid selama tujuh hari. Darah haid saya pada mulanya sedikit tapi selepas itu mula banyak sehingga kering pada hari ketujuh.
Selepas dua minggu kedatangan haid, saya ada melakukan urut tradisional bagi membetulkan kedudukan rahim saya. Selepas berurut, pada keesokan harinya apabila saya melakukan hubungan kelamin dengan suami ada sedikit darah yang keluar bersama dengan air mani. Ia tidak sakit dan darah itu hanya sedikit saja.
Saya bertanya dengan pakar di tempat saya melakukan D&C dan mereka mengatakan ia cuma darah selepas melakukan urut dan menyarankan saya melakukan ujian Pap smear.
Untuk pengetahuan doktor, saya dan suami tidak menggunakan apa-apa alat perancang.
Apakah risiko sekiranya saya hamil kurang daripada empat bulan selepas menjalani D&C?
Adakah benar bagi seseorang yang ingin merancang untuk hamil boleh mengamalkan minum susu untuk ibu sebelum mereka hamil?
Adakah kerana faktor rahim saya tidak kuat yang menyebabkan kandungan saya gugur?
SECARA amnya, tempoh empat bulan sudah mencukupi untuk seseorang yang baru keguguran hamil semula. Susu yang diformula untuk ibu hamil boleh diambil oleh dewasa yang lain, ia lazimnya sesuai kerana komposisinya juga mengambil kira kesan kesihatan ke atas janin.
Seperti mana-mana makanan, eloklah ia diambil dalam kuantiti sederhana.
Rahim tidak kuat juga adalah istilah yang kurang tepat. Istilah ini biasanya digunakan untuk lapisan terdalam dinding rahim di mana berlakunya implantasi. Kajian mendapati sekiranya ketebalannya tidak mencukupi, kehamilan atau implantasi lazimnya sukar untuk berlaku.
Serviks atau pintu rahim yang tidak kuat (inkompetens serviks) pula adalah keadaan di mana pintu rahim membuka menyebabkan berlakuya keguguran ataupun kelahiran terlalu pramatang, ia lebih kerap berlaku dalam trimester kedua (bulan keempat, kelima dan keenam).
Keguguran anda berlaku dalam trimester pertama seperti kebanyakan keguguran yang dialami wanita lain. Keguguran trimester pertama labih kerap disebabkan oleh masalah janin itu sendiri (kromosom atau sifat). Ia lazimnya tidak berulang.
Saya kurang faham mengapa anda membuat pernyataan ‘membetulkan kedudukan rahim’. Adakah anda beranggapan rahim anda berkedudukan tidak normal dan ini menyebabkan keguguran? Adakah anda juga percaya berurut boleh membetulkan kedudukan rahim? Bagaimanakah dengan hasil pemeriksaan atau ujian doktor sebelum dan selepas anda berurut?
Kadangkala minyak yang digunakan sewaktu berurut mengandungi bahan ‘mencairkan darah’. Seperti trauma yang lain seperti kemalangan atau luka, urutan ke atas otot badan (yang juga mengandungi salur darah) boleh menyebabkan berlakunya kecenderungan pendarahan sistemik susulan trauma ke atas salur darah.
Doktor anda menasihatkan anda menjalani ujian Pap smear kerana pendarahan selepas bersama adalah salah satu petanda kanser serviks.
Walaupun berkemungkinan besar anda diharap tidak mengalaminya, ujian Pap smear yang mudah dan murah ini masih penting kerana mana-mana wanita yang pernah melakukan hubungan seks penetratif terdedah untuk kanser ini.
Pada masa sama, doktor juga dapat memeriksa keadaan permukaan faraj dan ekto-serviks anda kerana kadangkala terdapat luka abrasi akibat jangkitan kuman saja. Ini mudah dirawat dan tidak membahayakan.
-------------------------------------------------------------
Lima bulan tanpa haid
SAYA mengalami masalah haid tidak teratur selepas berhenti mengambil ubat perancang setahun lalu. Ada kalanya empat hingga lima bulan saya tidak didatangi haid.Saya ke klinik swasta dan kerajaan untuk membuat pemeriksaan malangnya cuma diberi ubat tahan sakit dan ubat pembersih air kencing saja.
Saya membeli ubat hormon untuk mengeluarkan haid di farmasi berhampiran. Baru-baru ini saya membeli ubat hormon itu kerana sudah empat bulan tidak didatangi haid. Namun, haid saya tidak keluar dan saya mengalami sakit yang teramat sakit di sekitar pinggang dan perut saya.
Apakah punca haid tidak teratur? Adakah saya boleh mengambil ubat hormon terbabit untuk mengeluarkan haid sekali lagi selepas saya mengambilnya seminggu lalu?
Apakah kesannya terhadap rahim saya? Adakah saya boleh mengandung lagi disebabkan haid tidak teratur itu?
HAID tidak teratur mempunyai beberapa punca berbeza, salah satu yang lazim adalah disebabkan oleh gangguan ovulasi (pengeluaran telur).
Ubat hormon yang diberikan untuk mengeluarkan haid kebiasaannya mengandungi hormon progestin yang menyerupai hormon progesteron tubuh kita.
Hormon progesteron hanya dihasilkan mencukupi setelah berlakunya ovulasi. Maka, ubat hormon progestin diberikan untuk menggantikan kekurangan hormon progesteron pada kitaran terbabit. Anda perlu berjumpa doktor pakar sakit puan untuk mengetahui punca haid tidak teratur yang anda alami dan pada masa sama, mengesan kemungkinan terdapat penyakit berkaitan kesuburan dan sakit lain seperti sakit perut atau pinggang yang anda alami.
-------------------------------------------------------------
Sukar hamil kali kedua
SAYA mengalami masalah untuk hamil. Pada 2007, saya melahirkan anak kembar melalui kaedah pembedahan. Kelahiran anak kembar ini adalah hubungan dengan suami saya yang pertama.Selepas setahun umur anak, kami bercerai dan saya berkahwin lain. Sehingga kini kira-kira dua hingga tiga tahun, saya masih tidak mempunyai anak dengan suami baru. Saya berharap doktor dapat memberikan cadangan atau jalan penyelesaian untuk saya.
TERDAPAT beberapa persoalan yang perlu anda jelaskan terlebih dulu. Anda tidak menyatakan sama ada kehamilan kembar dahulunya berkaitan dengan pengambilan ubat kesuburan (serta teknik bantuan contohnya rawatan permanian berhadas - IUI atau persenyawaan tabung uji - IVF) atau adakah ia berlaku secara spontan atau semula jadi.
Adakah ini bermakna anda mempunyai masalah kesuburan sejak awal lagi? Jika benar, apakah puncanya? Adakah ia berkait dengan masalah pengeluaran telur saja (menyebabkan ubat kesuburan diberikan) atau adakah anda juga mempunyai masalah tambahan?
Selain itu, sewaktu pembedahan Caesarean dulu, doktor boleh mendapat maklumat lanjut mengenai keadaan dalaman ruang pelvis anda yang tidak dapat dinilai menggunakan teknik pemeriksaan luaran atau kaedah ultrabunyi.
Memandangkan pertambahan usia juga mengurangkan kesuburan wanita (penurunan kesuburan bermula apabila wanita menjangkau usia 28 tahun), eloklah anda mendapatkan rawatan kesuburan dengan pakar sakit puan berhampiran. Suami anda juga dinasihatkan menjalani ujian air mani.
-------------------------------------------------------------
Bakal pengantin bimbang mandul
SAYA remaja perempuan berumur 21 tahun dengan berat badan 80 kilogram. Saya akan melangsungkan perkahwinan tahun hadapan.Saya sebenarnya sangat takut keadaan fizikal menyebabkan mempunyai risiko untuk mandul. Adakah sebarang pemeriksaan yang saya boleh lakukan bagi mengesahkan keadaan ini? Adakah pemeriksaan sebegini tidak akan mendatangkan sebarang kesan kepada saya?
UNTUK berat badan sedemikian dikatakan ideal, seseorang perlu mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 180 sentimeter (5 kaki 10 inci) dan ini jarang dimiliki wanita tempatan. Anda tidak menyatakan ketinggian anda.
Berat badan berlebihan memang ada dikaitkan dengan masalah kesuburan, penyakit ketika hamil, kesukaran menilai kandungan, masalah ketika bersalin dan masalah penyembuhan luka selepas bersalin.
Tidak semua pemeriksaan atau ujian berkaitan kesuburan sesuai dilakukan sewaktu anda masih dara lagi. Lazimnya doktor akan menasihatkan anda menunggu sehingga selepas berkahwin, mungkin setelah mencuba selama enam bulan.
Apa yang lebih penting adalah untuk anda menyedari risiko berkaitan berlebihan berat badan kerana skopnya lebih meluas dan untuk jangka masa panjang sehingga anda meningkat ke usia tua kelak.
Anda mungkin ingin mendapatkan bantuan profesional dalam hal ini.
-------------------------------------------------------------
5 kali guna IUI tapi belum berhasil
SAYA berumur 33 tahun, sudah berkahwin hampir enam tahun dan tiada anak. Saya pernah melakukan rawatan IUI sebanyak lima kali tapi tidak berjaya.Suami dan saya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan manakala kiraan sperma suami dilaporkan baik.
Saya juga tiada masalah cuma menurut doktor, serviks saya senget dan susah untuk memasukkan sperma ke dalam rahim. Banyak duit sudah saya belanjakan dan kini, saya kesempitan wang, tetapi terlalu inginkan anak.
Doktor menyuruh saya membuat rawatan IVF, tetapi saya tidak mampu. Apakah saranan doktor?
PELUANG kehamilan dengan IUI adalah sekitar 10 peratus bagi yang mengambil pil kesuburan dan 20 peratus bagi yang mengambil suntikan kesuburan, itu pun bergantung kepada penyebab tambahan masalah kesuburan wanita dan pasangannya serta bilangan percubaan IUI terbabit.
Peluang di atas lazimnya benar bagi setiap percubaan sehingga ke percubaan IUI ketiga saja. Apabila memasuki IUI keempat dan seterusnya, peratusan kejayaan IUI dilaporkan lebih rendah dan doktor lazimnya akan menilai semula dengan lebih lanjut kerana mungkin ada faktor tambahan tidak dikenal pasti sebelum itu, lebih-lebih lagi dengan tempoh mencuba yang anda tempuhi.
Jika ia hanya berpunca daripada masalah serviks yang senget, IUI lazimnya dapat membantu untuk hamil lebih awal lagi. Kedudukan serviks senget boleh memberi petanda penyakit tertentu, malah lebih signifikan daripada kedudukan rahim ke belakang.
Anda mungkin ingin berjumpa pakar sakit puan yang mendalami bidang rawatan kesuburan selepas ini. Lebih elok jika anda turut membawa rekod perubatan atau salinan keputusan ujian yang pernah dijalani agar ia tidak perlu diulangi.
Terdapat badan yang memberi peluang bantuan rawatan IVF secara percuma sebanyak dua kali, tetapi hanya setelah memenuhi syarat tertentu dan bergantung kepada kedudukan tabung kewangan yang ada.
Anda mungkin pernah mendengar mengenai Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF). Terdapat juga pusat IVF yang secara amnya menawarkan IVF pada kos yang lebih rendah seperti di universiti tempatan atau hospital kerajaan tertentu.
-------------------------------------------------------------
Musykil rawatan suami pengaruhi kehamilan
SUAMI saya pesakit SLE tahap empat dan pernah enam kali mendapat rawatan kemoterapi. Rawatan kemoterapi itu berakhir pada Mac 2011, tetapi dia masih mendapat rawatan ubatan dan temu janji daripada hospital.Persoalannya, bolehkan saya hamil? Adakah rawatan yang dilalui suami boleh memberi kesan kepada kandungan sekiranya hamil?
Saya pernah bertanya rakan yang suaminya pernah mendapat rawatan kemoterapi akibat kanser. Menurut rakan saya, doktor tidak membenarkan dia hamil dalam jangka waktu suaminya menjalani rawatan kemoterapi.
Suami juga pernah bertanya doktor pakar yang merawatnya dan doktor berkenaan mengatakan tiada masalah untuk saya hamil. Bagaimanapun, apabila bertanya doktor pakar lain, kami dinasihatkan menangguhkan dulu selama enam bulan hingga setahun.
Diharap doktor dapat berkongsi pendapat dan maklumat mengenai kemusykilan ini.
SAYA menjawab soalan ini mengenai kemoterapi secara umum, bukannya terhad kepada penyakit suami puan. Kemoterapi boleh memberikan kesan sampingan terhadap tubuh termasuk terhadap sperma.
Banyak kajian yang sudah dan sedang dilakukan untuk mengetahui pengaruh kemoterapi terhadap:
- Bilangan sperma misalnya sama ada ia berkurangan atau tiada langsung
- Keabnormalan kromosom pada sperma seperti aneuploidy, diploidy (yang kemudiannya menyebabkan keabnormalan kromosom pada embrio yang terbentuk).
Kedua-dua perkara di atas boleh mengurangkan kesuburan lelaki sehingga menyebabkan pasangan wanitanya sukar hamil. Kadangkala kehamilan berlaku, tetapi berakhir dengan keguguran yang lazimnya berpunca daripada keabnormalan kromosom embrio yang terbentuk.
Ini menjadi sebab ada doktor yang mencadangkan untuk menangguhkan buat tempoh tertentu bagi memberi peluang kehamilan normal yang optimum daripada sperma baru yang diharapkan kembali normal bilangannya dan peratusan normalnya.
Itulah sebabnya juga ada doktor yang mencadangkan menyimpan sperma beku (menggunakan prosedur beku-krio) daripada air mani yang dikeluarkan atau pembedahan mengeluarkan sebahagian epididimis atau menggunakan kaedah pembedahan mengeluarkan testis sebelum rawatan kemoterapi bermula untuk kegunaan akan datang jika berlaku keadaan ketiadaan sperma (azoospermia) kelak.
--------------------------------------------------------------
Keliru uri di bawah
SAYA kini hamil tujuh bulan dan ini adalah bayi sulung saya. Minggu lalu ketika saya membuat pemeriksaan kandungan di klinik ibu dan anak, doktor menyatakan keadaan uri saya berada di bawah dan menutup ruang untuk bayi keluar.Adakah keadaan uri ini akan bergerak ke atas ataupun tidak? Adakah wajar jika saya mendapatkan rawatan tradisional seperti berurut untuk menaikkan uri kembali? Adakah bayi saya akan dilahirkan normal ataupun tidak?
RAMAI yang salah faham dengan istilah uri bawah (sama seperti salah faham terhadap istilah rahim terbalik). Ramai yang menyangka uri boleh bergerak atau boleh digerakkan.
Uri adalah organ yang terbentuk dalam kehamilan sahaja. Ia berupa seperti sekeping piring yang menjalar atau bertaup kuat pada dinding rahim kerana di antara kedua-dua ini terbentuk jalinan salur darah yang menyalurkan oksigen serta nutrien kepada bayi serta mengkumuhkan bahan buangan ke aliran darah ibu pula.
Mustahil untuk tempat perlekatan antara uri dan kawasan dinding rahim ini berpindah-randah kerana ia mengganggu atau memutuskan jalinan salur darah terbabit.
Memandangkan permukaan dalaman dinding rahim lebih luas daripada uri, maka ada uri didapati melekat pada bahagian bawah uri manakala ada uri pula yang melekat pada bahagian atas uri, ada uri yang melekat pada bahagian dinding hadapan dan ada pula yang melekat pada bahagian dinding belakang rahim dan seumpamanya.
Pada bahagian mana berlakunya perlekatan uri ini ditentukan sewaktu embrio mula ‘mendarat’ (implantasi) sebelum kehamilan menjadi positif dahulu.
Uniknya dinding rahim bahagian bawah terdapat satu garisan lingkungan yang akan melebar membentuk segmen bawah, ini berlaku pada sekitar bulan ketujuh kehamilan. Ini membolehkan uri di bawah kelihatan seolah-olah ‘naik’ kerana kawasan perlekatan uri ini sebenarnya ‘tersasar ke atas’ oleh garisan yang melebar atau mengembang ini.
Ini bermakna:
Malah ia boleh mendatang�kan risiko trauma kepada uri terbabit.
Terdapat beberapa peringkat uri bawah, ini mempengaruhi pilihan bersalin. Sekiranya ia menutupi pintu rahim, lazimnya pembedahan Caesarean akan dilakukan kerana bayi tidak dapat keluar secara normal melainkan uri dikeluarkan dahulu dan ini bermakna memutuskan bekalan darah kepada bayi.
-------------------------------------------------------------
Selamat untuk hamil lagi
SAYA berumur 30 tahun dan mempunyai dua anak. Anak pertama lahir pada 2007 dan anak kedua lahir pada 2008.Adakah saya boleh hamil selepas melakukan pembedahan luar rahim pada 3 Januari 2011? Ketika itu, tiub fallopio sebelah kiri saya dibuang. Pada Mei lalu, saya terlewat datang haid selama dua minggu. Apabila saya membuat ujian air kencing, didapati saya hamil.
Saya juga sudah membuat pemeriksaan kandungan yang mana benih terbabit berada di dalam rahim, tidak lagi berada di luar rahim. Persoalannya sekarang, adakah terdapat masalah jika saya hamil selepas membuat pembedahan ini?
PEMBEDAHAN membuang tiub fallopio lazimnya tidak membabitkan rahim, maka secara amnya selamat untuk hamil pada waktu ini, lebih-lebih lagi jika pembedahan terbabit dilakukan secara laparoskopi saja.
Peringatan yang sama harus dipraktikkan apabila setelah anda bersalin kelak iaitu jika anda lambat didatangi haid, lakukan ujian air kencing untuk kehamilan dan sekiranya positif hamil, anda mestilah mendapatkan pemeriksaan doktor untuk imbasan ultrabunyi atau ujian darah bagi membantu mengesan kedudukan kandungan berkenaan.
Cuma kali ini, tidak perlu menunggu selama dua minggu sebelum melakukan ujian, memadai seminggu terlewat saja.
-------------------------------------------------------------
Alami haid 24 hari
ADA bulan lalu, saya mengalami haid yang lama iaitu selama 24 hari yang mana pada tiga hari terakhir haid keluar dengan kadar yang banyak sehingga perlu menukar tuala wanita setiap dua jam sekali, kemudian ia berhenti.Bulan ini haid saya datang seperti biasa iaitu selama lapan hari saja, namun selepas 18 hari daripada haid pertama, darah keluar dalam kadar sedikit yang berlarutan sehingga lima hari.
Saya amat bingung dengan keadaan tubuh saya ini. Untuk pengetahuan doktor, selepas haid yang panjang iaitu 24 hari itu, saya sudah berjumpa dengan doktor namun doktor hanya memberi saya antibiotik (Flagyl dan Levofloxacin). Saya melakukan pemeriksaan imbasan rahim dan hanya mendapati ruang rahim saya berangin.
Doktor meminta saya datang pada keesokan harinya untuk melakukan ‘flush’ pada saluran tiub fallopio (untuk menyah bakteria dan halangan yang mungkin menyekat pergerakan sperma ke dalam rahim) namun doktor tidak menyatakan sebab saya
didatangi haid dalam tempoh lama berkenaan.
Saya sudah berkahwin selama dua tahun namun belum dikurniakan cahaya mata. Alhamdulillah, suami saya subur kerana sudah memiliki dua cahaya mata menerusi perkahwinan sebelumnya. Kini kami berusaha untuk mendapatkan cahaya mata.
Namun adakah masalah haid ini akan mengganggu usaha saya? Berat badan saya 65 kilogram dengan ketinggian 155 sentimeter. Adakah keadaan fizikal saya juga menyebabkan haid saya terganggu?
APABILA wanita datang dengan masalah haid, kemungkinan kehamilan atau keguguran perlu diselidiki. Sukar untuk memahami bagaimana haid yang terlalu banyak
sedemikian (setiap dua jam terpaksa menukar tuala wanita) tiba-tiba terus berhenti atau kering keesokan harinya.
Begitu juga dengan istilah ruang rahim berangin, istilah yang saya dengar buat pertama kalinya. Saya juga tidak pasti dengan tujuan membersihkan tiub fallopio secara ‘flushing’ kerana jika benar ia disebabkan jangkitan bakteria, kuman ini akan terus ditolak lebih jauh ke dalam sehingga ke ruang dalam pelvis serta organ abdomino-pelvis yang lain dan menyebabkan jangkitan PID lebih dalam pula.
Prosedur ‘flushing’ juga bukan bertujuan serta tidak dijamin dapat membersihkan tiub fallopio tetapi ia dilakukan untuk menilai sama ada terdapat penyumbatan atau sekatan pada laluan ruang tiub terbabit. Cuma, secara tidak langsung, ia ‘diharapkan’ dapat memutuskan atau membuka sekatan atau jaringan perlekatan halus atau kecil di dalam ruang tiub itu.
Anda juga dinasihatkan berusaha mencapai berat badan ideal di antara 46 hingga 59.8 kilogram kerana berlebihan berat badan juga boleh mengganggu ovulasi (pengeluaran telur) yang kemudiannya memberikan gangguan haid.
Dulu, kajian mendapati hanya obes (apabila berat badan anda melebihi 72 kilogram iaitu BMI melebihi 29.9kg/m2) mengganggu kesuburan tetapi kajian lebih terkini mendapati berlebihan berat badan (BMI 25-29.9 kg/m2) juga boleh mengganggu ovulasi.
Pada masa sama, anda mungkin ingin mendapat�kan rawatan doktor pakar kesuburan berhampiran sebelum dibebani lebih tekanan akibat kegagalan hamil kerana tekanan juga boleh memberikan gangguan ovulasi.
--------------------------------------------------------------
Isteri PCOS idam zuriat
SAYA disahkan oleh doktor menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS). Saya sudah berkahwin hampir dua tahun dan tidak dikurniakan anak. Saya juga membuat pemeriksaan ulangan di hospital dan doktor meminta saya makan ubat Duphaston lima kali sebulan memandangkan saya tidak akan datang haid tanpa bantuan ubat.Untuk pengetahuan doktor, berat badan saya ialah 90 kilogram dan ketinggian 162 sentimeter. Berat badan saya meningkat selepas saya mengambil pil perancang yang diberikan doktor empat tahun lalu disebab�kan haid tidak teratur.
Adakah saya mempu�nyai waktu subur jika saya mengharapkan ubat untuk didatangi haid? Adakah saya boleh hamil seperti orang lain?
Apakah saranan doktor supaya saya boleh hamil? Adakah penggunaan termometer untuk memeriksa suhu itu berkesan bagi memantau waktu kesuburan?
DENGAN ketinggian anda, berat badan yang ideal adalah di antara 50 kilogram sehingga 65 kilogram saja. Malah, sekiranya berat badan anda bertambah kepada 92 kilogram, anda termasuk dalam kategori obes morbid (obes berpe�nyakit dengan pertambahan risiko seperti penyakit jantung, darah tinggi dan seumpamanya).
Eloklah anda berusaha lebih giat untuk menurunkan berat badan anda kepada 85 kilogram terlebih dulu sebelum meneruskan usaha mencapai berat badan ideal di atas. Saya sarankan anda mendapatkan nasihat pakar dietetik yang boleh memberi panduan mudah, praktikal dan berkesan mengenai pengambilan makanan mengikut kepentingan, kalori dan bilangan hidangan. Selain itu, senaman berterusan juga penting.
Pil perancang mengandungi dua jenis hormon (estrogen dan progestin) yang menyerupai hormon yang dikeluarkan oleh ovari yang aktif. Dalam erti kata lain, pemberian pil perancang bertujuan menggantikan kekurangan hormon terbabit, lazimnya akibat ketiadaan ovulasi (dinamakan anovulasi) yang juga menjadikan seseorang tidak subur.
Kesan peningkatan berat badan ada dilaporkan dalam sebilangan kecil (sebilangan lain pula melaporkan tiada perubahan, malah sebilangan kecil lagi sebaliknya melaporkan penurunan berat badan!), ia lebih disebabkan oleh pengumpulan cecair di dalam tubuh.
Pemberian ubat mengandungi hormon progestin yang anda ambil untuk menurunkan haid juga bertujuan menggantikan hormon progesteron yang tidak cukup akibat ketiadaan ovulasi terbabit. Bagi mereka yang sememangnya mempunyai masalah anovulasi, haid lazimnya hanya keluar setelah ubat ini diberikan, menjadikan mereka bergantung terhadap ubat itu bagi membolehkan mereka didatangi haid sedangkan punca utama (anovulasi) tidak dirawat.
Penggunaan termometer untuk mengambil bacaan suhu badan (lebih dikenali sebagai BBT) tidak sesuai diguna pakai bagi mereka yang tidak mempunyai kitaran haid yang teratur. Bagi mereka yang mempunyai bilangan kitaran haid yang tepat (misalnya setiap 35 hari atau setiap 28 hari), kaedah BBT hendaklah dicatatkan sekitar tiga kitaran terdahulu sebelum mereka dapat menelah hari ovulasi pada kitaran akan datang. BBT tidak digunakan untuk mengetahui waktu seseorang akan subur pada bulan terbabit, tetapi perubahan suhu itu menandakan sudah berlaku ovulasi sekitar 24 jam yang lalu.
Seseorang yang masih mempunyai telur di dalam ovarinya (walaupun tidak diovulasi), rahim dan tiub fallopio yang berfungsi, masih mempunyai peluang untuk hamil.
Lazimnya bagi keadaan anda, penurunan berat badan dan pil kesuburan mungkin kaedah awal yang akan dicadangkan oleh doktor anda setelah menjalankan beberapa ujian asas (ultrabunyi pelvis, ujian darah, HSG serta ujian tahap kesihatan umum).
-------------------------------------------------------------
Fibroid besar seperti hamil
ISTERI saya yang berusia 34 tahun dikesan mempunyai fibroid ketika hamil anak ketiga dan alhamdulillah, dia selamat melahirkan bayi lelaki pada Julai 2010. Ketiga-tiga anak lelaki kami dilahirkan melalui pembedahan (Caesarean).Masalahnya kini, fibroid isteri saya semakin membesar (lapan sentimeter) ketika menjalani pemeriksaan berkala oleh pakar di hospital di Johor Bahru kira-kira tiga bulan lalu.
Saya ingin tahu, sejauh mana fibroid ini berbahaya? Apakah langkah rawatan atau ubatan yang boleh disyorkan untuk mengurang dan mengecut�kannya selain daripada menopaus atau pembedahan?
FIBROID adalah sejenis ketumbuhan berasal dari dalam dinding berotot rahim, malah ia juga terdiri daripada sel otot rahim (myometrium), bezanya cuma sifatnya membentuk ketulan atau pusaran.
Fibroid bukanlah kanser dan risiko ia bertukar menjadi kanser sangat rendah (di bawah satu peratus). Tetapi fibroid boleh memberi masalah bergantung kepada saiz dan lokasinya, kadang�kala sehingga membahayakan kesihatan seperti:
Fibroid muncul atau membesar dengan rangsangan hormon estrogen. Itulah sebabnya fibroid dijangka beransur-ansur mengecil (bukannya pupus) setelah wanita mencapai menopaus, fibroid baru juga tidak akan muncul selepas menopaus.
Selain itu, fibroid juga sering dikaitkan dengan kehadiran penyakit endometriosis kerana endometriosis juga ‘hidup’ atas rangsangan hormon estrogen.
Rawatan untuk mengecil�kan fibroid lebih menjurus kepada ubatan yang mempunyai kesan menurunkan paras hormon estrogen seseorang. Terdapat beberapa jenis ubatan sama ada yang mengandungi bahan analog GnRH ataupun bahan androgenik, setiap satunya mempunyai kesan sampingan tersendiri dan diberikan untuk sementara saja.
Selain itu, terdapat juga kaedah embolisasi (pe�nyumbatan salur darah arteri uterin) yang menyekat bekalan darah kepada rahim (termasuk fibroid) sehingga menyebabkan ia mengecil. Isteri anda juga tidak digalakkan mengambil ubat atau produk sembarangan kerana dikhuatiri mengandungi bahan hormon estrogen ataupun steroid (yang kemudian boleh bertukar kepada estrogen).
-------------------------------------------------------------
Hilang selera bersama suami�
SAYA sudah 11 bulan melahirkan anak ketiga. Masalahnya kini, sejak mula hamil anak ketiga hingga sekarang, nafsu untuk mengadakan hubungan kelamin saya menurun sehingga saya tidak punya keinginan langsung.Saya mempunyai masalah tiroid. Adakah semua masalah saya ini berpunca daripada tiroid atau saya ada masalah lain?
TIDAK mustahil masalah keintiman hubungan kelamin bukan saja berpunca daripada satu masalah, tetapi beberapa masalah yang mungkin tidak disedari misalnya masalah komunikasi.
Ada juga laporan kajian masalah serupa dialami oleh ibu yang menyusu badan disebabkan oleh peningkatan hormon prolaktin. Anda tidak menyatakan jenis masalah tiroid yang anda alami, sama ada paras hormonnya berlebihan atau sebaliknya menurun atau adakah paras hormonnya normal, tetapi cuma leher saja membeng�kak.
Eloklah anda berjumpa doktor anda untuk menyuarakan masalah dan menjalani ujian tertentu. Lazimnya kita mempunyai doktor yang dianggap ‘rapat’ kerana sering mendapatkan rawatan misalnya rawatan antenatal ataupun anda boleh terus berjumpa pakar psikiatri untuk mendapatkan bimbingan lebih profesional. Usah malu kerana pengajian bidang psikiatri juga merangkumi masalah sebegini.
--------------------------------------------------------------
Hubungan intim ketika hamil
APAKAH kemungkinan sebarang risiko jika melakukan hubungan kelamin bersama isteri yang hamil? Kandungan isteri saya kini sekitar lima atau enam bulan.SAYA tidak dapat memberi jaminan 100 peratus hubungan kelamin tidak menyebabkan sebarang risiko.
Secara amnya, ia selamat dilakukan.
Bagaimanapun, anda hendaklah mendapatkan penilaian daripada doktor perbidanan yang merawat atau menjaga kehamilan isteri anda.
Lazimnya, sekiranya uri berada di bahagian bawah, terdapat masalah pendarahan daripada faraj, serviks (pintu rahim) menjadi pendek atau membonjol atau sudah mula membuka misalnya dalam masalah inkompetens serviks dan seumpamanya, doktor menasihatkan hubungan kelamin dielakkan.
Begitu juga jika suami mempunyai pasangan atau isteri lain dan dijangkiti penyakit jangkitan seksual seperti herpes simplex.
Ia mendedahkan isteri terhadap jangkitan yang sama serta kemungkinan jangkitan seksual yang lain.
-------------------------------------------------------------
Haid isteri tak normal
SAYA ingin tahu masalah yang dihadapi isteri saya iaitu haidnya tidak teratur. Isteri merancang keluarga dengan kaedah suntikan tiga bulan sekali. Ketika suntikan, dia tidak didatangi haid dan kali terakhir suntikan pada Mac 2010.Selepas itu, isteri saya berjumpa doktor yang memberikan ubat hormon tetapi haidnya tidak normal selepas mengambil ubat. Pada hari ketujuh, darah keluar sedikit dan apabila membuang air besar dan air kecil, darah keluar.
Darah itu seakan-akan warna merah cair, kadang-kadang berwarna coklat. Apabila bersama, darah akan keluar dan keesokan hari, darah keluar semula. Ia menghilang dan kemudian darah keluar semula sehingga hari ke-21.
Isteri saya melakukan Pap smear tiga tahun turut-turut. Kali terakhir pada September 2010 dan keputusannya normal. Isteri saya sudah buat imbasan di perut dan keputusannya juga normal.
Isteri saya berusia 35 tahun dan kami mempunyai empat anak. Isteri saya teringin mahukan anak lagi dan dia risau darah yang keluar ketika kami bersama.
SAYA cadangkan anda membawa isteri membuat pemeriksaan dengan pakar sakit puan. Suntikan pencegah kehamilan jarang memberikan kesan sebegitu setelah tamat penggunaannya melebihi enam bulan, apatah lagi setelah setahun.
Doktor mungkin akan mengulangi ujian Pap smear untuk mengetahui keadaan sel permukaan serviks (pintu rahim), kadangkala sewaktu alat spekulum dimasukkan, punca pendarahan seperti polip serviks dapat dilihat dan dibuang.
Selain itu, ultrabunyi pelvis (seeloknya dilakukan kaedah trans-vaginal) akan dilakukan bagi mengetahui keadaan lapisan dalaman rahim yang mungkin menjadi punca pendarahan terbabit serta ujian darah asas.
Doktor juga mungkin akan menasihati isteri menjalani prosedur mudah secara pembedahan kecil yang dinamakan histeroskopi bagi melihat secara langsung keadaan ruang dan lapisan terdalam rahim menggunakan teropong yang dimasukkan menerusi pintu rahimnya.
Sewaktu prosedur itu, doktor akan memotong atau mengeluarkan sekiranya terdapat sebarang ketumbuhan. Ia mungkin disudahi dengan prosedur D&C. Semua sampel ini akan dihantar untuk ujian makmal (ujian histologi) bagi mengetahui jenis penyakit pada lapisan haid anda (jika ada).
Prosedur itu lazimnya direkodkan secara video. Bagi hospital yang tidak mempunyai kemudahan itu, doktor mungkin akan mencadangkan prosedur D&C sahaja.
-------------------------------------------------------------
Bakal pengantin ada virus hepatitis B
SAYA berusia 25 tahun dan akan berkahwin dalam tempoh lima bulan lagi. Saya disahkan mempunyai virus hepatitis B. Bakal suami tidak mengetahui mengenai penyakit saya kerana saya takut dia tidak mahu berkahwin dengan saya.Apakah nasihat doktor supaya suami saya tidak terkena virus sama apabila kami berkahwin kelak? Adakah kemungkinan saya memiliki anak yang sihat dan bebas daripada virus ini?
SEBELUM itu, ingin saya jelaskan bahawa ini bukan bidang kepakaran saya. Terdapat kategori pakar perubatan dalaman, lebih-lebih lagi yang mempunyai tambahan pengkhususan dalam bidang hepatologi atau gastro-enterologi yang lebih mahir dalam mengendalikan kes anda, malah dapat memberikan penerangan lebih mendalam dan jelas terhadap penyakit ini.
Penerangan di bawah adalah secara panduan saja, seeloknya anda bertanyakan doktor anda untuk kesahihan.
Anda tidak menyatakan status jangkitan yang anda alami, yang boleh diketahui melalui ujian darah ke atas protein berlainan hepatitis B (s-Antibodi, s-Antigen, e-Antigen, c-Antibodi dan c-Antibodi IgM).
Tidak salah jika anda ingin mengulangi ujian itu untuk kepastian. Anda juga boleh mengetahui sekiranya anda sudah sembuh daripada virus ini.
Terlebih dulu, anda juga mungkin boleh cuba bertanya kepada bakal suami mengenai status hepatitis B pada dirinya sekiranya dia sudah mendapatkan suntikan vaksin hepatitis B sebelum ini yang boleh melindunginya. Ini boleh disahkan dengan ujian darah.
Jika benar anda dijangkiti dan bakal suami anda tidak pernah mendapat perlindungan vaksin itu, saya nasihat�kan anda berterus terang kepada bakal suami kerana mempunyai virus hepatitis B boleh menjangkiti suami melalui hubungan seks (virus ini terdapat dalam lelehan faraj selain bendalir tubuh seperti darah, air mani, susu badan dan lelehan luka). Ini terutamanya jika ujian darah menunjukkan kehadiran antigen e (hepatitis B e-Antigen) yang bermakna tubuh seseorang mempunyai paras virus hepatitis B yang tinggi dan mudah menjangkiti.
Bakal suami anda juga disaran mendapatkan suntikan gamma immunoglobulin hepatitis B dan memulakan siri vaksinasi hepatitis B secepat mungkin bagi melindunginya.
Berikut adalah beberapa fakta yang boleh dijadikan panduan:
berus gigi, pengetip kuku, gunting, pencukur dan seumpamanya yang boleh mempunyai sisa darah anda, sama ada dengan mereka di sekeliling anda yang masih belum imun.
Seeloknya anda memberitahu doktor keadaan hepatitis anda apabila mendapatkan rawatan pe�nyakit seperti demam, apabila hamil dan sebelum menjalani pembedahan.
Virus hepatitis B juga boleh berpindah secara transmisi ‘menegak’ daripada ibu kepada bayinya. Selepas dilahirkan, bayi anda akan diberikan suntikan immunoglobulin hepatitis B bagi membantu mencegah jangkitan di samping vaksin hepatittis B. Di negara kita, program siri imunisasi hepatitis B ke atas bayi sudah diberikan secara percuma sejak lebih 20 tahun lalu.
Anda dinasihati menjalani rawatan susulan untuk mengetahui kesan jangkitan terhadap hati dan kesihatan am anda dari semasa ke semasa. Terdapat juga pesakit yang kemudian didapati bebas daripada virus ini.
Amalkan pemakanan berkhasiat dan seimbang bagi menguatkan sistem imun anda terhadap penyakit lain. Penjagaan ketahanan hati amat penting, ketahui isi kandungan sebenar yang anda ambil dan kesannya sama ada produk makanan, produk tradisional ataupun ubatan moden.