Lelaki & Seks Dr. Ismail Thamby

Padat kalau darah lancar

TAHAP ereksi tertakluk kepada kepadatan liang otot zakar yang mengandungi kandungan darah banyak dan kekuatan otot lantai pelvis atau otot kemut.
Apabila seseorang lelaki teruja dan perasaan seksualnya terangsang, darah masuk dengan lancar dalam kuantiti banyak dalam liang otot zakar.

Dalam keadaan begini, kekuatan ereksi menjadi kekal dan padat serta hubungan seksual penetratif dapat dilakukan dengan sempurna.


Apabila darah kurang kekal dalam otot zakar dan terkeluar secara sedikit demi sedikit, situasi ini dikenali sebagai ‘venous leak’ atau keciciran darah daripada pembuluh vein, oleh itu kualiti kekerasan zakar menjadi kurang.

Dalam keadaan begitu, tusukan zakar sukar dilakukan atau zakar cepat mengendur serta ejakulasi cepat berlaku.


Dalam keadaan begini, sudah tentu ejakulasi akan menjadi tidak berdaya atau ia tidak memancut. Kebanyakannya hanya meleleh.



Keadaan ini terjadi di mana tahap ereksi kurang bertenaga dan hubungan seksual secara tusukan pula sukar dilakukan.

Jika lelaki mengalami masalah ini, ia digelar mati pucuk atau disfungsi erektil.


Pada masa sama, ia menandakan tahap ereksi tidak mencukupi kerana kekurangan kepadatan akibat kekurangan kemasukan darah yang banyak ke dalam otot zakar.

Ini mungkin berlaku apabila perjalanan darah dalam otot zakar kurang lancar atau otot zakar tidak mengembang dengan secukupnya untuk mengizinkan darah masuk dengan banyak atau darah yang masuk dalam otot tidak kekal dan terkeluar daripada salurannya.


Kepada lelaki yang mengalami masalah ini, anda harus mengamalkan gaya hidup sihat. Jika masalah ini terjadi ketika usia masih muda, anda seharusnya lebih berjaga-jaga.


Saranan saya, lakukan senaman berkala. Hentikan tabiat merokok dan jaga berat badan pada tahap sesuai. Anda boleh lakukan senaman kemut atau senaman Kegel untuk memantapkan otot lantai pelvis.


Ini dapat memberi kekuatan kepada pangkal zakar dan boleh membuatkan ejakulasi lebih berdaya. Anda perlu berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan kesihatan, sama ada anda menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis atau masalah kolesterol tinggi.


Didapati lelaki yang mengalami simptom mati pucuk mungkin mempunyai petanda kemunculan penyakit kronik terbabit


-----------------------------------------------------------


Alami kecelaruan gender

SAYA berumur 21 tahun dan mengalami masalah berkaitan fungsi jantina. Sejak akil baligh, saya mempunyai tarikan seksual kepada kaum sejenis.
Juga, alat sulit saya tidak berfungsi apabila melihat wanita yang mengghairahkan. 
Namun, saya keliru kerana saya bukan pondan atau ‘mak nyah’, sebaliknya lelaki biasa.

Pada masa sama, saya kerap memikirkan hubungan seksual dengan lelaki berbadan tegap dan kacak sehingga kadangkala saya melakukan onani untuk memuaskan nafsu.



Saya bimbang mengenai masa depan saya. Saya juga inginkan kehidupan normal, mempunyai isteri dan anak.

Adakah saya mempunyai masalah hormon jantina? Di manakah saya boleh mendapatkan bantuan untuk membantu mengembalikan kehidupan saya? 




Masalah ini bergelar kecelaruan gender yang dikaitkan dengan mak nyah yang menganggap mereka perempuan dalam badan lelaki atau sebaliknya.

Anda juga meminati kaum sejenis dan kesedaran ini lebih terserlah ketika anda mengalami perubahan akil baligh.

Menurut anda, anda tertarik kepada tubuh fizikal lelaki kacak dan tegap. Adakah anda hanya tertarik kepada ‘tubuh lelaki’ dan teruja seks kepada fizikal? Jika ya, mungkin anda mengalami masalah parafilia iaitu perasaan cinta luar biasa kepada badan lelaki.

Ini jauh bezanya dengan homoseksualiti kerana orientasi seksual anda hanya kepada lelaki secara seluruh dan tidak kepada perempuan.

Anda sedar, perasaan ini jika diteruskan boleh membuatkan anda tersisih daripada masyarakat, kaum keluarga dan agama, malah anda juga tidak mahu perkara itu berlaku.

Menurut kajian, perasaan minat kepada lelaki bukan disebabkan kurang hormon atau apa-apa berkaitan penyakit. Sebenarnya, masalah ini hanya kecenderungan atau pilihan minda.

Mengikut pakar psikologi dan psikitris, jika seseorang itu tidak terikat dengan orientasi seksual dan meminati kaum sejenis, keadaan ini tidak dapat diubah.

Kajian terbaru mendapati perasaan homoseksual boleh diubah jika itu pilihan individu yang mahukan ia berubah.

Jangan risau kerana masih ada harapan untuk anda. Memandangkan anda masih muda, anda perlu tingkatkan keyakinan diri dan bersungguh- sungguh berusaha mengubah keadaan orientasi seksual anda ke situasi yang anda pilih dan kembali menjadi lelaki sejati.

Kukuhkan jati diri anda, berdoa dan memohon kepada Tuhan supaya anda berjaya kembali ke jalan diredai-Nya. Semoga perjuangan hidup anda berjaya.


---------------------------------------------------------

Saluran kencing keluar nanah

SAYA mengalami keradangan pada alat sulit iaitu saluran kencing mengeluarkan lendir seakan-akan nanah yang berwarna kuning cair. Apabila saya saya membuang air kecil, saluran berkenaan terasa pedih. Adakah ini petanda saya mengalami penyakit kelamin?

Salur kencing lelaki berbeza daripada salur kencing perempuan. Untuk perempuan, air kencing saja yang keluar daripada salur kencing. Bagi perempuan yang ejakulasi ketika klimaks, air mazi (cecair daripada pepundi bersebelahan salur kencing perempuan) keluar menerusi salur kencing perempuan. 

Untuk lelaki air kencing, air mazi dan air mani keluar melaluinya. Jika salur kencing mengalami keradangan dan mengeluarkan cecair seakan- akan nanah, ia kemungkinan mengalami jangkitan.

Jangkitan itu mungkin berjangkit daripada faraj, mulut atau lubang najis akibat seks rambang tanpa perlindungan (ada juga terkena jangkitan walaupun menggunakan perlindungan).

Sekalipun anda tidak melakukan hubungan seks, ia turut boleh terjadi kerana kuman di dalam pundi kencing. Penyakit ini kebiasaannya adalah jangkitan Gonorrhea atau jangkitan kuman virus Chlamydia.

Jika anda melakukan seks rambang, sama ada memakai perlindungan atau tidak, ada kemungkinan masalah yang anda alami akibat jangkitan penyakit kelamin.

Jika anda masih aktif melakukan hubungan kelamin dengan pasangan lain, termasuk isteri anda, kemungkinan mereka semua boleh dijangkiti penyakit terbabit.

Jika perempuan itu terkena jangkitan, kemungkinan perkara itu tidak disedari kerana tiada simptom bagi wanita. Jika ada, mungkin pada kemudian hari apabila mereka keguguran atau mengalami kesakitan di bahagian sistem reproduktif dalaman yang kronik.

Penyakit ini dikenali sebagai ‘PID’ atau ‘pelvic inflammatory disease’. Anda patut berjumpa doktor secepat mungkin jika mendapati ada yang tidak kena dengan salur kencing anda.

Jangan abaikan, jangkitan itu boleh melarat dan menjangkiti organ dalaman seperti pundi prostat atau buah zakar.

Jika ini terjadi, anda boleh mandul. Saya cadangkan anda berjumpa doktor secepat mungkin untuk menjalani pemeriksaan dan menerima rawatan sewajar.

`
-----------------------------------------------------------

Onani punca lemah

MASALAH kurang ereksi, tidak tahan lama dan mudah klimaks adalah masalah biasa bagi lelaki. Kebanyakan lelaki yang mengalami masalah ini mempunyai sejarah onani dan kerap melakukannya.
Dalam sains, ereksi biasanya berlaku secara spontan apabila seseorang itu dalam keadaan teruja. Ini kerana kemasukan darah dalam liang otot zakar menjadi lancar dan ereksi menjadi kekal, lebih-lebih lagi jika otot lantai pelvis atau otot kemut dicengkam. 
Bagaimanapun, apabila perasaan teruja itu lega, otot kemut juga menjadi lega, menyebabkan ereksi menjadi kurang tegap dan kurang berdaya. Ini biasanya terjadi kepada semua lelaki.

Selain itu, ereksi tidak cukup padat dan mudah hilang kekuatan dalam jangkamasa pendek pula sering terjadi kepada lelaki berumur.



Kajian mengenai pengalaman lelaki yang kerap onani turut mendapati ereksi mereka makin lama makin lemah dan tidak berdaya walaupun pada mulanya ia padat.



Ini disebabkan kemungkinan berlaku perubahan dalam otot zakar yang biasanya dapat mengekalkan darah di dalamnya tetapi kini tidak dapat berdaya tahan.

Jika geselan dilakukan secara cepat atau laju, ereksi dapat dipadatkan. Namun geselan cepat pula membuatkan zakar hilang daya kawalan dan mudah klimaks lebih awal.

Kajian turut mendapati lelaki lebih mudah klimaks dan tewas ketika bersama pasangan. Malah, masalah ini seakan-akan menjadi masalah biasa kepada lelaki.

Hakikatnya, semua masalah itu boleh dikatakan berpunca daripada amalan onani yang dilakukan secara kerap atau kronik.

Mungkin jika amalan itu dikurangkan dan lelaki melebihkan aktiviti yang membina kekuatan batin seperti melakukan senaman kemut atau Kegel (mencengkam otot kemut dan tahan cengkaman itu untuk beberapa saat) dan melakukannya seberapa banyak dalam seminit), sedikit sebanyak ia dapat membantu.

Cuba lakukan senaman berkenaan secara kerap iaitu tiga hingga lima kali sehari. Kemungkinan dengan cara ini, tahap kepadatan otot kemut anda dapat mempertahankan daya ereksi.

Di samping itu, saya sarankan lelaki mengamalkan gaya hidup sihat dan lakukan senaman berkala, elak merokok dan jauhi berat badan berlebihan.

Mudah-mudahan kesihatan anda terkawal dan kekuatan fizikal menjadi sempurna, sekali gus menguatkan kekuatan batin. Yang perlu dipercayai, badan sihat akan menjamin kesihatan seksual yang berkekalan.


-----------------------------------------------------------

Suami cepat klimaks


SAYA wanita berusia 27 tahun dan berkahwin lima bulan lalu. Adakah tubuh berisi boleh menyebabkan saya sukar hamil? Selain itu, apabila bersama, suami lebih cepat klimaks berbanding saya dan air maninya meleleh keluar ketika mencabut kemaluannya. Adakah keadaan suami yang cepat klimaks menyebabkan tidak berlaku persenyawaan dan menyukarkan untuk saya hamil?

Anda dan pasangan baru berkahwin lima bulan dan masih berjinak-jinak dalam hubungan seksual. Suami anda dapat menyalurkan ereksinya ke dalam faraj dan melakukan ejakulasi. 

Jika begitu, anda mempunyai peluang tinggi untuk hamil. Air mani memang terkeluar apabila faraj dirapatkan dan memandangkan anda gempal, ruang menjadi sempit dan air mani terkeluar bila paha dirapatkan. Kemungkinan besar semua air mani terkeluar.

Jika anda mahukan ia kekal, cara berkesan ialah selepas selesai hubungan dengan suami, jangan merapatkan paha, sebaliknya kekalkan posisi kaki secara terbuka.

Anda juga tidak digalak melakukan kemutan. Kemut selepas selesai melakukan hubungan membuatkan cecair atau air mani suami dalam faraj terkeluar.

Mengenai masalah cepat klimaks, air mani yang keluar tetap kekal dalam faraj dan sperma berkeliaran dalam faraj untuk memasuki serviks dan mencari telur jika kebetulan anda dalam waktu subur.

Jika suami lakukan tusukan secara keluar masuk, tentu dia rasa sentuhan bertalu-talu pada penghujung zakar. Dia perlu kekalkan ereksi dalam faraj dan menggerakkan pangkal zakar tanpa mengeluarkannya. Dengan cara begini, pangkal zakar yang kurang sensitif dapat mengelak klimaks cepat.

Dia juga boleh menggunakan cincin penambat zakar yang boleh dipasang ke pangkal zakar untuk mengurangkan rasa sensitif pada hujung zakar.

Cincin ini yang diperbuat daripada silicon (bukan getah) selamat untuk zakar dan faraj. Ia boleh didapati melalui Internet.

Jika masih tidak hamil dalam masa setahun, anda dan pasangan perlu merujuk kepada doktor untuk menjalani pemeriksaan awal kesuburan.

-----------------------------------------------------------

Sukar hamil

APAKAH kaedah penghamilan yang bersesuaian bagi mengatasi masalah isteri saya yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang hampir 12 tahun. Untuk pengetahuan doktor, isteri saya pernah hamil tetapi mengalami keguguran ketika usia kandungan tujuh bulan. Selepas puas mencuba, kami masih gagal mempunyai zuriat sehingga sekarang.

Saya pasti doktor anda mungkin memberitahu mengenai situasi kemampuan kehamilan di kalangan wanita yang menghidap penyakit kegagalan buah pinggang atau ‘end stage renal failure’.


Sebenarnya, kesuburan wanita yang mengalami penyakit kegagalan buah pinggang sangat rendah iaitu kurang daripada 0.5 peratus setahun dan ia berkurangan jika wanita itu menjalani pembersihan darah melalui ‘peritoneal dilysis’ atau dari perut.



ini disebabkan tekanan kepada hormon kesuburan yang tidak seimbang dan kegagalan ovulasi. Jika wanita itu mencapai kehamilan, kemungkinan berlaku keguguran ketika dalam tiga bulan pertama. 

Sebilangan besar janin yang dilahirkan mati dan sebilangan lagi lahir tidak cukup umur atau mempunyai berat badan yang sangat rendah. Bagaimanapun, wanita yang mempunyai buah pinggang yang masih berfungsi walaupun sedikit dapat melahirkan anak sihat.

Sama juga jika wanita hamil yang menghidap penyakit kegagalan buah pinggang menjalani pembersihan darah lebih kerap (20 jam seminggu), kehamilannya dapat diselamatkan.

Begitupun, ini bukan satu jaminan kerana prosedur ini boleh memberi tekanan kepada wanita hamil itu.

Risiko kesihatan kepada wanita yang menghidap penyakit kegagalan buah pinggang ketika hamil ialah masalah tekanan darah tinggi yang boleh menjadi lebih ketara dengan risiko strok dan serangan sakit jantung.

Selain itu, kemungkinan menghidap sawan kehamilan juga boleh berlaku. Ini sangat berbahaya untuk ibu dan anak dalam kandungan.

Penyakit kurang darah atau anemia juga menjadi lebih ketara dan boleh mengganggu kesihatan ibu dan anak dalam kandungan. Namun begitu, saya syorkan anda berbincang dengan pakar buah pinggang isteri anda secara lebih terbuka.

-----------------------------------------------------------

Jalani amalan gaya hidup sihat

KEBELAKANGAN ini saya banyak kendali kes disfungsi erektil di kalangan lelaki muda. Memandangkan kekerasan zakar atau ereksi sangat penting, malah rata-rata beranggapan ia lambang kelelakian, ramai sama ada belum atau sudah berkahwin ragu-ragu mengenainya.
Mereka yang mengalami perkara ini pasti cuba berikhtiar serta mendapatkan bantuan tukang urut. Tidak kurang juga mencari produk berkaitan yang dijual di kaki lima dan kedai jamu.

Selepas mencuba, mereka dapati ia tidak berkesan lalu mencari ‘penawar’ daripada pelbagai produk dari Barat. Saya sarankan lelaki yang mengalami masalah ini terus mendapatkan rawatan dan bertanya doktor pakar.


Jangan cari rawatan tradisional atau jamu kerana jika tersalah langkah, ia memudaratkan alat kelamin.

Sebenarnya, kebanyakan masalah berlaku kerana perubahan usia. Namun pada orang muda, ia sebenarnya masalah biasa.


Jika seseorang lelaki di peringkat akhil baligh, zakar mudah terangsang dan mengeras akibat tindak balas hormon syahwat dan perasaan seksual ketara.



Namun bila masuk peringkat remaja, perasaan ‘teruja’ itu semakin hilang, lebih-lebih lagi lelaki melakukan pelbagai perkara untuk mengetepikan perasaan syahwat.

Lelaki juga perlu tahu, tahap dan kekuatan ereksi seseorang memerlukan kemasukan darah yang banyak dalam otot zakar. Otot zakar pula perlu mudah mengembang dan memberi ruang supaya darah masuk dengan padat di dalam zakar, otot lantai pelvis atau otot kemut.


Otot berkenaan juga perlu dalam keadaan kukuh dan langsing. Namun, ia perlukan rangsangan syahwat yang memberahikan. Jika satu daripada tiga perkara itu tiada atau kurang, tahap ereksi menjadi lemah.

Badan sihat dan cergas tentu mendapat kekuatan dan rangsangan ereksi baik. Lelaki harus mengamalkan gaya hidup sihat, melakukan senaman berkala, elak minuman keras dan tidak merokok.


Anda boleh tingkatkan daya ereksi dengan memantapkan otot lantai pelvis anda iaitu otot kemut. Lakukan senaman Kegel secara berkala.


Selain itu, pengambilan makanan tambahan yang sesuai membantu memantapkan tenaga badan.


Amalan pengambilan tongkat ali dalam bentuk dan jumlah yang sesuai untuk badan, contohnya ekstrak standard seperti larutan air ‘NU-PREP 100’, mengikut kajian saintifik dan klinikal boleh meningkatkan metabolisme badan, memantapkan kekuatan otot, melancarkan tenaga syahwat serta menguatkan tahap hormon testosterone.


Begitupun, jika cara ini tidak berkesan, anda perlu jumpa doktor serta menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan sewajarnya.


Selain itu, lelaki harus tahu, masalah ereksi adalah petanda awal penyakit jantung dan masalah mati pucuk.


----------------------------------------------------------


Bentuk tidak lurus tidak memudaratkan

SAYA mempunyai saiz zakar normal tetapi ia membengkok ke depan. Kebanyakan zakar lelaki yang saya tahu menegang atau mendongak ke atas, tetapi saya menegang ke depan dan membengkok. Adakah rawatan untuk masalah ini? Mungkinkah saya ada masalah melakukan penetrasi apabila berkahwin?

Keadaan dan bentuk zakar tidak sama untuk semua lelaki. Memandangkan zakar tidak bertulang, ia mudah dibentuk atau diluruskan secara sederhana tanpa menyakitkan. 
Zakar yang kedudukannya tidak sehala ketika ereksi, seperti melengkung ke kiri, kanan, atas atau bawah secara sederhana, ia boleh diluruskan sama ada oleh lelaki itu atau pasangannya untuk dimasukkan ke dalam faraj dengan mudah.

Lain pula jika proses meluruskan zakar yang ereksi itu menyakitkan. Mustahak untuk lelaki itu berjumpa doktor untuk membetulkan kedudukan zakar.

Jika pasangan wanita terasa sakit atau tidak selesa disebabkan ereksi berbentuk luar biasa dan sukar disalurkan ke dalamnya, tentu persetubuhan penetratif jadi hambar.

Bentuk dan keadaan zakar ketika tidak ereksi ialah melentuk dan tergantung. Bagi lelaki yang mempunyai zakar ‘mengembang’, ketika tidak ereksi ia kecil dan terbenam.

Dalam keadaan ereksi, zakar mendongak dan bahagian depan melengkung seperti huruf ‘S’. Sebahagian besar lelaki akan mendapati ereksi mereka sedikit ke kiri dan ini kerana sifat aktif otot bulbocavernosus (otot yang menampung pangkal zakar) kiri yang tegang dan membuatkan ereksi menghala sedikit ke kiri.

Posisi, kedudukan dan bentuk zakar berubah apabila ada parutan dalam otot zakar atau selaput tisu pengembang zakar menebal dan situasi ini dikenali sebagai penyakit Peyronie.

Jika zakar berbentuk luar biasa itu yang disebabkan parutan atau tisu pembalut otot menebal diurut, ia akan memudaratkan masalah sedia ada.

Kaedah mengurut atau menarik zakar tanpa kawalan dan pengawasan boleh merosakkan zakar. Tiada ubat, minyak atau krim urutan dapat membetulkannya. Anda perlu rujuk doktor untuk pemeriksaan.

----------------------------------------------------------

Minuman ais, berkafein bukan punca lemah tenaga batin

ADAKAH minuman sejuk seperti ais baik untuk lelaki? Suami gemar minuman sejuk serta berkafein.
Adakah minuman seperti ini memudaratkan alat kelaminnya? Saya dan suami hanya melakukan seks seminggu sekali, dan air maninya hanya sedikit tetapi pekat. Bagaimanakah ia boleh terjadi? 


Minuman sejuk melegakan kehausan. Ini gambaran yang kita dapat setiap kali melihat iklan minuman. Malah, iklan itu tidak dibuat tanpa kajian.

Minuman sejuk juga melegakan keradangan tekak. Tidak hairan jika kita mengalami jangkitan tekak, doktor syorkan minuman sejuk atau aiskrim. Sama juga jika mengalami bengkak atau keradangan sendi atau kecederaan, kita guna ais untuk meredakannya.

Begitupun, minuman sejuk tidak mengganggu ereksi atau melemahkan tenaga batin. Sebenarnya, tiada kaitan antara ais dan tenaga batin seseorang kerana ketegangan dan ereksi lelaki berlaku apabila darah disalurkan kepada zakar. Jadi, tiada sebab mengapa lelaki tidak boleh minum minuman sejuk.

Bercerita mengenai kaffien, ramai tidak tahu kaffein daripada kopi mempunyai kuasa melancarkan darah dalam anggota kelamin secara sederhana seperti ubat pelancar darah PDE-5 Inhibitor seperti ‘Viagra’.

Tidak hairan jika kita lihat kopi menjadi minuman kegemaran lelaki sejak turun menurun. Kopi juga dapat menghindari penyakit nyanyuk atau Alzeimer selain mengandungi antioxiden yang menyegarkan tubuh badan dan nyah penuaan.

Jika suami suka minum kopi atau Nescafe bercampur ais, biarkan saja. Setahu saya, minum kopi sebegitu tidak mengganggu fungsi syahwat.

Mengenai air mani pekat, memang pada mula air mani yang keluar adalah pekat. Beberapa minit kemudian ia menjadi cair untuk memudahkan sperma bergerak aktif.

Kesuburan lelaki hanya boleh diketahui setelah menjalani ujian air mani.
Melihat keadaan air mani sama ada pekat, sedikit atau cair tidak memberi apa-apa makna.

Anda jangan was-was mengenai kesihatan suami. Jika dia gagal dalam hubungan seks, anda harus mencadangkan dia berjumpa doktor, bukan bomoh, tukang urut atau membeli ubat kuat di kaki lima.

Kini semua masalah kesihatan lelaki ada penawar dan boleh dirawati doktor melalui rawatan moden.


-----------------------------------------------------------

Alat kelamin bagai ada benda tersekat

SAYA remaja Melayu berusia 15 tahun. Panjang zakar ketika menegang antara lima hingga enam inci dan ia mempunyai fizikal baik.
Begitupun, sejak akhir-akhir ini zakar sering terasa sakit keterlaluan seperti ada sesuatu tersekat di dalamnya. Namun, saya tidak rasa sakit sewaktu membuang air kecil. 
Apakah penyakit saya? Mampukah masalah ini menyebabkan saya mandul? Saya akan menjalani rawatan ultrasound pada akhir bulan berikutan masalah kencing kerap dan keluar lelehan selepas kencing. 


Nampaknya anda mempunyai kesihatan sempurna, termasuk perubahan dan tumbesaran anggota kelamin.

Anda kini dalam peringkat awal remaja dan hormon testosterone bergelora. Dalam keadaan begitu, anda mudah mengalami ereksi spontan.

Jika kebetulan mencapai ereksi padat ketika tidur dan kebetulan anda renyah ketika tidur, ada kemungkinan zakar tercedera apabila ereksi tertindih atau bengkok ketika tidur.

Apabila sedar, anda terasa sakit di pangkal atau pertengahan zakar secara langsung atau ketika ereksi. Jika kecederaan itu ketara dan ada parut dalam zakar, lama kelamaan ia boleh bengkok atau melengkung.

Ini hanya berlaku jika berlaku kecederaan ketara. Untuk meredakan sakit pada zakar, anda boleh tuamkannya menggunakan pek ais.

Ini sedikit sebanyak dapat melegakan keradangan dan bengkak akibat ‘kecederaan’ atau ‘trauma’ zakar. Bagaimanapun, situasi ini tidak menyebabkan anda mandul kerana yang tercedera ialah zakar, bukan buah zakar.

Mengenai cecair jernih yang keluar dari salur kencing selepas membuang air kecil, itu ialah air mazi dan ia keluar ketika anda mencengkam atau mengemut selepas selesai membuang air kecil.

Mencengkam otot lubang najis atau mengemut berkali-kali boleh membuatkan pundi Cowpers terangsang dan mengeluarkan cecair jernih seperti yang anda alami. Namun, ia adalah normal.


-----------------------------------------------------------

Kesihatan praperkahwinan

SEJAK kebelakangan ini saya banyak mengendalikan kes lelaki muda yang sangsi mengenai fungsi dan keadaan anggota kelamin mereka kononnya ereksi tidak padat dan air mani tidak pancut laju seperti ketika remaja.
Kebanyakannya mengeluh situasi ini berlaku selepas memberhentikan amalan onani dan kini anggota kelamin mengecil serta tidak seperti dulu. Sebenarnya apa berlaku ialah perubahan semula jadi dan bukan masalah besar.
Anggota kelamin lelaki mantap dalam peringkat perkembangannya ketika lelaki memasuki alam remaja. Tahap hormon lelaki, iaitu hormon testosteron meningkat secara ketara dan ketika itu tumbesaran anggota kelamin berlaku secara ketara dengan kemunculan ereksi spontan.


Anggota itu mudah teruja dan terangsang apabila disentuh, oleh itu lelaki yang seronok dengan fenomena itu mudah terikut dengan amalan mengurut untuk mencapai kepuasan dan kelegaan.




Apabila amalan onani kurang atau dihentikan, anggota itu tidak lagi bergelora kerana tiada rangsangan, oleh itu ia kelihatan lega dan ‘kurang mantap’.


jika anggota itu digunakan selalu setelah berkahwin, tentu ia berfungsi dengan mantap, anggota kelamin kelihatan segar dan kedua-dua buah zakar kelihatan seimbang.


Dalam keadaan biasa, buah zakar dalam kerandut tidak seimbang dan keadaan ini normal dan bukan petanda masalah kesihatan.


Kepercayaan kononnya buah zakar yang tidak seimbang petanda mati pucuk atau masalah penyakit itu kepercayaan mengarut yang diutarakan sesetengah tukang urut untuk menakutkan pelanggan.


Kos pemeriksaan di hospital atau klinik kerajaan tidak mahal. Pemeriksaan kesihatan ini dikenali sebagai pemeriksaan kesihatan praperkahwinan.

-----------------------------------------------------------

Saiz bukan penentu

Anda perlu tahu bahawa saiz dan bentuk zakar ditentukan mengikut keturunan, bangsa dan baka. Zakar ialah anggota kelamin untuk melakukan hubungan seks penetratif.



Bentuk dan saiznya berubah mengikut tahap rangsangan seksual dan paling mustahak, ia cukup tegang untuk disalurkan ke dalam faraj.


Jika gagal, keadaan ini dikenali sebagai disfungsi erektil atau mati pucuk. Mengikut kajian mengenai panjang dan ukur lilit ketika zakar ereksi, purata saiz panjang antara 12 sentimeter (sm) dan 16sm manakala ukur lilit antara 8sm dan 11sm.


Tidak dinafikan sebilangan kecil lelaki memiliki saiz zakar besar secara luar biasa seperti 18sm dan ukur lilit 14sm.


Kesudahannya saiz dan bentuk zakar tidak mempengaruhi kualiti hubungan seksual antara pasangan, asalkan mereka berdua puas dengan apa yang mereka lakukan. Malah, hubungan intim seksual boleh dilakukan walaupun tiada penetrasi zakar faraj.


Bagaimanapun, sebilangan lelaki sememangnya tidak cukup puas dengan saiz dan bentuk zakar mereka serta mungkin mengalami masalah ‘body dismorphism’ yang tidak senang dengan keadaan tubuh badan tertentu, seperti saiz dan bentuk zakar.


Untuk mereka, lebih baik berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan perbincangan daripada berjumpa pak karut atau mencuba apa-apa dalam laman tertentu yang boleh memudaratkan kesihatan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 Bahaya pam vakum

KALI ini saya ingin menyentuh mengenai alat pembesar zakar. Satu kajian oleh Andrology Australia mendapati 86 peratus lelaki mempercayai saiz dan bentuk zakar mustahak sebagai lambang keterampilan diri sebagai lelaki sejati.
Pada masa sama, satu daripada empat lelaki dalam kajian itu tidak teragak-agak mendapatkan zakar idaman mereka jika wujud kaedah selamat dan boleh dipercayai.


Kajian juga mendapati sesetengah lelaki sukar mendedahkan anggota kelamin untuk diperiksa kerana tidak selesa dengan bentuk dan saiz zakar.
Mereka sanggup mendiamkan diri tanpa berjumpa doktor jika ada masalah berhubung struktur dan fungsi anggota kelamin. Namun, jika kajian sama dilakukan di Malaysia, saya pasti keputusannya sama.


Memandangkan di Australia ada persatuan perubatan dan kesihatan seperti Andrologi Australia yang kerap menjalankan forum dan perbincangan terbuka mengenai kesihatan lelaki atau andrologi (sakit tuan), lelaki di sana mendapat pendedahan positif mengenai kesihatan dan tidak akan melakukan perkara yang memudaratkan kesihatan.


Malangnya di negara kita, lelaki lebih senang merawat masalah secara bersendirian atau dengan orang tidak bertauliah seperti bomoh, dukun dan tabib.


Ada juga yang mudah terpengaruh dengan ‘doktor’ dari seberang atau ‘pak karut’ yang kononnya dapat membantu mengatasi masalah zakar.


Rata-ratanya pasti mengesyorkan alat pembesaran zakar seperti suntikan kimia ke dalam kulit untuk membesarkan zakar atau memberi pam vakum dan alat penarik zakar. Begitupun, kebanyakan produk itu tiada sijil atau disahkan doktor.
Namun, sebenarnya teknologi ‘extension’ atau tarikan secara beransur-ansur dapat mengubah dimensi tisu lembut dan tisu keras jika dilakukan secara terkawal dan dalam pengawasan pakar.


Jika alat digunakan tidak pernah dikaji dan ia tiruan seperti berat dan mudah rosak, ia memberi kesan serius kepada anggota kelamin.


Pihak yang ingin menggunakan alat membesarkan zakar perlu menjalani pemeriksaan doktor dan mendapat peralatan standard dan sesuai untuk tujuan itu.


Alat pam vakum ‘TIDAK’ boleh digunakan untuk membesarkan zakar. Jika disalahgunakan, zakar boleh rosak dan lelaki terbabit mati pucuk.


Pembaca perlu berwaspada. Jangan mudah terpengaruh dengan tukang urut dan ‘pak karut’ untuk membesarkan zakar. Jika silap langkah, semuanya tidak berguna.


Ramai lelaki yang menjalani suntikan zakar akhirnya menyesal. Selain itu, zakar yang rosak jika dipulihkan akan mengalami masalah sampingan seperti mengecil daripada saiz asal. Kos perubatan juga menelan belanja tinggi.


----------------------------------------------------------------------------------

Sperma mati jadi nutrien dalam badan 

BENARKAH seorang lelaki tidak harus menyimpan sperma lebih dari tujuh hingga 10 hari kerana kualiti sperma akan menurun?
Jika benar, bagaimana remaja yang belum berkahwin mahu mengelak keadaan itu? Perlukah dia melakukan onani?










Sperma lelaki dihasilkan oleh buah zakar dan sperma berkumpul di penghujung salur sperma yang dikenali sebagai ‘ampulla’, berdekatan pundi seminal dania menunggu waktu untuk dikeluarkan melalui proses ejakulasi.


Proses pembiakan sperma daripada peringkat sel asal kepada sperma matang ialah 90 hari dan jangka hayat sperma dalam ‘ampulla’ ialah dua minggu.


Lelaki menghasilkan 70,000 sperma seminit dan 100-300 juta sperma sehari. Jika sperma itu tidak dikeluarkan melalui ejakulasi, sperma akan putus riwayat dan hasil kehancurannya diguna pakai sebagai nutrien dalam badan.


Jadi, tiada sebab kenapa sperma perlu dikeluarkan secara onani. Tanggapan anda dan kebanyakan lelaki yang mengikut kefahaman kononnya sperma perlu dikeluarkan sebelum tujuh hari, yang mana ia menjadi lemah atau kualitinya menurun ialah karut dan tidak benar.


Badan kita ada cara untuk melegakan tekanan syahwat dan tekanan pembiakan sperma. Jika sudah lama tidak melakukan onani, kita boleh mengalami mimpi basah. Jika tiada mimpi basah, sperma lama putus hayat dan hancur, kemudian diserap ke dalam sel badan.


Ingin saya tekankan, jangan mencuba dan membolehkan perkara haram dan yang tidak mendatangkan kebaikan.


Bagaimanapun, kajian di Australia mendapati onani dapat mengelak kemungkinan kanser prostat untuk lelaki berumur dan tiada pasangan.


Jika ada pasangan, pasangan boleh membantunya mengeluarkan sperma mengikut kemampuan mereka berdua. Bagi anda dan lelaki yang masih muda, jauhi onani dan zina. Begitupun, jika dengan onani boleh menjauhkan anda dengan zina, keadaan itu boleh dikira sebagai darurat. Wallahualam.

----------------------------------------------------------------------------------

Risiko hilang kualiti

SEBELUM ini, saya membincangkan masalah ejakulasi pramatang dan ereksi. Minggu ini, saya mengetengahkan masalah onani yang diketahui keburukannya oleh lelaki dan perempuan tetapi masih melakukannya.
Kebanyakan laman yang menyebut mengenai onani menyatakan amalan itu normal untuk lelaki dan perempuan. Ia boleh dilakukan sekadar untuk melegakan tekanan.


Malangnya, penulis laman tidak menyatakan amalan itu berisiko mengakibatkan kerosakan kepada anggota kelamin atau membuatkan pengamalnya ketagih.
Memandangkan anggota kelamin itu mengandungi tisu lembut, tisu pengembang, otot lembut, urat saraf dan pembuluh darah, kemungkinan besar struktur itu cedera atau rosak fungsinya yang boleh membuatkan anggota itu tidak sempurna atau tidak berkualiti kemudian hari.


Kadangkala perasaan teruja yang amat sangat boleh membuatkan pengamalnya menyentap dan menekan anggota kelamin dengan kuat, sekali gus menyebabkan kecederaan dalaman.


Tisu dalaman boleh cedera lalu menjadi parut dan apabila parut mengeras, zakar boleh membengkok atau melengkung. Keadaan ini dikenali sebagai penyakit ‘Peyronie’ dan perubahan ini hanya kelihatan selepas beberapa bulan atau tahun.


Kesudahannya, seseorang itu akan mengalami masalah cepat klimaks kemudian hari. Jika amalan tidak sihat seperti ini diteruskan juga, dia akan gagal mengekalkan ereksi dan terpaksa merangsangnya untuk mengekalkan ketegangan, yang mana jika tidak dilakukan akan membuatkan ereksi hilang daya kekerasan. Ini kerap berlaku kepada lelaki yang sering melakukan onani.


Mereka tidak dapat mengekalkan ereksi ketika melakukan ‘foreplay’ dengan pasangan dan kesudahannya tidak dapat melakukan penembusan faraj.
Gunakan tenaga itu untuk membina badan dan kekuatan fizikal dan jadi lelaki yang berdaya tahan untuk masa depan lebih cemerlang. Jangan jadikan onani sebagai amalan kerana kesannya membawa kepada keburukan. Pastikan kesihatan seksual anda dalam kawalan anda.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Masalah tercirit


Kemungkinan masalah dialami suami anda ialah ‘kentut basah’ atau ‘wet flatulency’. Perkara ini menggambarkan bahagian dalam seluar dalam yang kelihatan kekuningan dan berbau, akibat hasil angin dan najis yang terkeluar ketika individu melepaskan angin.


Jika suami anda tidak sedar perkara itu berlaku, dia akan terus bekerja dengan pakaian itu dan kembali ke rumah tanpa melihat pakaian dalamnya seperti yang berlaku dalam situasi suami anda.


Buat permulaan, suami anda boleh pakai ‘adult diapers’, iaitu lampin guna hapus untuk orang tua, jika perkara itu ketara dan kerap berlaku. Dia perlu jumpa pakar gastro untuk diperiksa.


Sebahagian besar masalah gastro boleh menyebabkan ‘kentut basah’ seperti IBS (irritable bowl syndrome), gastrik dan dispepsia atau angin dalam usus.


Jika suami gemar makan kobis, brokoli dan kekacang yang mudah menghasilkan angin dalam perut, dia mudah melepaskan angin.


Jika usus badannya ada bakteria yang menghasilkan gas makanan, ia akan menjadi lebih ketara. Pastikan dia jumpa doktor segera.

----------------------------------------------------------------------------------

Warga tua masih perlu sentuhan mesra

AYAH saya yang berusia 70-an menghidap penyakit kencing manis (keturunan) dan dua buah pinggangnya sudah rosak. Soalan saya, mengapa ayah masih ingin melakukan hubungan seks dengan ibu walaupun dia sudah tua dan dianggap mati pucuk?







Naluri seks dan nafsu syahwat adalah anugerah Tuhan kepada semua makhluk-Nya. Untuk manusia, ia fitrah yang berkekalan hingga ke akhir hayat. Hanya pendekatannya berubah mengikut umur, kesihatan dan kemampuan fizikal.
Hubungan seks bukan sekadar hubungan penetratif antara zakar dan faraj, sebaliknya ia lebih daripada itu. Jika anggota kelamin tidak mampu atau berfungsi dengan sempurna, sentuhan anggota kelamin dengan tangan dan mulut boleh dilakukan jika kedua-dua pihak setuju.


Belaian kepada tubuh badan seperti kucupan, ciuman, sentuhan, pelukan, picitan, urutan, sentalan dan gentelan dapat memberi semangat dan melegakan perasaan berahi. Ayah anda masih bernafas dan masih ada nafsu seks dan syahwat.


Dia masih memerlukan belaian dan sentuhan isterinya, iaitu ibu anda. Tidak salah jika dia masih berkehendakkan pelukan ibu anda selagi dia masih hidup. Mungkin apa yang dikehendakinya ialah sentuhan dan belaian mengikut keupayaan ibu anda.


Anda mungkin akan faham apabila anda masuk ke peringkat umur seperti ayah anda. Tiada sebab kenapa orang tua tidak boleh bermesra, hanya pendekatan mereka tidak macam orang muda.


Seks bukan sentuhan antara anggota kelamin saja. Ia sentuhan emosi, spiritual dan belaian mesra antara pasangan yang masih memerlukannya.

----------------------------------------------------------------------------------

 Perlu tumpuan minda

MINGGU ini saya akan mengetengahkan satu lagi isu yang menjadi igauan buruk setiap pasangan berumah tangga. Istilah cepat klimaks atau ‘ejakulasi pramatang’ yang digunakan menggambarkan ketidakupayaan lelaki mengawal ejakulasi sebelum dia dan pasangannya puas dalam hubungan intim seksual.
Terdapat sebilangan lelaki yang dapat mengekalkan ereksi walaupun mereka tidak dapat mengawal ejakulasi dan terdapat juga sebilangan lelaki yang mengalami perkara sebaliknya, iaitu tidak dapat mengekalkan ereksi dan gagal untuk mencapai ejakulasi.


Justeru, fenomena ereksi, iaitu kekerasan alat kemaluan hasil kemasukan darah yang banyak ke dalam otot kemaluan akibat rangsangan seksual dan ejakulasi, iaitu pencapaian kemuncak rangsangan seksual dengan diiringi pancutan air mani, adalah dua fenomena berasingan.


Mungkin ini yang membuatkan lelaki memikirkan ereksi dan ejakulasi adalah fenomena sama. Jadi, anda tidak dapat mengawal ejakulasi dan juga tidak dapat mengekalkan ereksi.




Apabila seseorang lelaki mencapai ereksi hasil tindak balas perasaan teruja seksual, tahap kekuatan dan kekerasan ereksi dapat ditingkatkan dengan kemutan. Jika otot kemut lemah, daya ereksi pun lemah dan tidak bertahan.


Jika mempunyai daya dan kekuatan otot kemut hebat, maka lelaki dapat mengawal daya dan kekuatan ereksi ke tahap mantap dan dapat mengawal pergerakan dayungan serta boleh memilih masa kemuncak dan ejakulasi.


Kawalan ejakulasi pula memerlukan tumpuan minda kepada rangsangan yang tidak akan mencetuskan kemuncak. Memandangkan penghujung alat kemaluan amat sensitif, sudah tentu rangsangan kepada bahagian itu akan mempercepatkan klimaks dan ejakulasi.


Justeru, jika melebihkan geselan pangkal alat kemaluan suami yang tidak sensitif itu ke langit kemaluan isteri dengan dayungan yang terkawal, maka seseorang itu akan dapat mengawal klimaks. Teknik ini dikenali sebagai 'Coital Alignment Technique' dan anda boleh dapatkan maklumat mengenai teknik ini di dalam Internet.


Anda perlu terus mengamalkan gaya hidup sihat dan tambahkan senaman untuk mengukuhkan otot lantai pelvis atau otot kemut melalui senaman kemut. Jika masih gagal, anda perlu berjumpa doktor yang dapat membantu anda.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Terasa senak

MASALAH saya ialah kepala kemaluan saya asyik basah dan bila diperhatikan terdapat cecair putih seakan warna susu pekat. Kepala kemaluan juga terasa senak apabila bergesel dengan boxer dan ada kalanya terasa ngilu.
Untuk menyelesaikan masalah ini, saya cuba untuk tidur bogel pada malam hari tetapi tiada sebarang perubahan. Adakah ini masalah serius atau sekadar perubahan hormon?








Nampaknya anda mengalami jangkitan anggota kelamin daripada maklumat yang anda jelaskan. Anda berkemungkinan mengalami jangkitan 'kendida' atau 'yis' iaitu jangkitan kulat. Jika anda sudah berkahwin, kemungkinan anda terkena jangkitan kulat itu daripada pasangan anda.


Kebetulan, wanita mudah terkena jangkitan 'yis' kerana anggota kelamin berdekatan lubang najis dan kencing yang mana kedua-dua tempat itu tempat penginapan kulat. Jika anda belum berkahwin, jangkitan itu berlaku kerana terdedah kepada kulat itu secara kontaminasi (kekotoran).


Mustahak untuk anda menjalani pemeriksaan doktor daripada mendiamkan diri atau melakukan perkara bukan-bukan seperti tidur bogel dan lain-lain. Ini semua tidak akan membantu mengurangkan rasa senak atau sakit anggota kelamin anda. Masalah yang anda hadapi itu tiada kena mengena dengan perubahan hormon. Dapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor secepat mungkin. Pasangan anda juga perlu diberi rawatan jika apa yang anda alami itu benar-benar jangkitan 'yis'

----------------------------------------------------------------------------------

 Lebihan tisu

SAYA mengalami pangkal kemaluan yang kasar kerana terdapat lebihan tisu ketika bersunat.
Difahamkan tisu ini tidak boleh dipotong kerana akan menyebabkan pendarahan. Adakah terdapat krim yang boleh menanggalkan tisu ini?








Kulit anggota kelamin jenis kulit yang lembut, licin, tidak bersisik dan mudah bergayut kerana bawah kulit mengandungi tisu lembut dan tisu pengembang. Jadi sukar diterima jika anda nyatakan yang kulit di pangkal atau di bawah penghujung kemaluan anda 'kasar'.


Jika bukan kulit lebihan tapi 'ketuat' (akibat jangkitan kuman ketuat HPV), maka dengan memotongnya akan mengakibatkan pendarahan yang kronik dan infeksi.


Ketuat hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan teliti oleh doktor, maka cara untuk mengurangkan kekasaran kulit itu ialah dengan menggunakan krim yang boleh membunuh kuman ketuat itu. Krim berkenaan ada pelbagai dan yang terbaik ialah 'Aldara'.


Walau bagaimanapun, sebelum anda gunakan apa-apa krim kepada tempat yang 'kasar' di bahagian kemaluan anda itu, lebih baik jumpa doktor untuk pengesahan, sama ada kulit kasar itu kulit lebihan hasil daripada berkhatan ataupun ketuat.


Jika ketuat, mustahak untuk memperbaiki keadaan kerana pasangan anda boleh terkena jangkitan melalui hubungan seks.
Kira-kira 80 ke 90 peratus daripada 'ketuat genital' yang disebabkan oleh kuman virus HPV menyebabkan kanser pangkal rahim. Jadi mustahak untuk pastikan keadaan kulit anda itu seberapa cepat.

----------------------------------------------------------------------------------

Ketuat, kutil perlu dirawat pakar kulit

LELAKI sering mengalami masalah anggota kelamin seperti kemunculan kutil, ketuat, gelembung, bijian, kudis dan ketulan. Sebenarnya, ia tidak perlu dirisaukan. Bagaimanapun, ia petanda anda ada penyakit kulit dan kes itu perlu dikendalikan doktor pakar kulit.
Anda harus menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan jika masalah itu memudaratkan kesihatan dan mengganggu hubungan seksual dengan pasangan atau membahayakannya.


Untuk makluman, kutil atau ketulan kulit seperti ‘daging’ yang berjuntai di keliling penghujung zakar, tempat jahitan berkhatan atau ketulan isi yang timbul di pangkal zakar mungkin ketuat atau ‘warts’.
Kadangkala, bekas parut yang berlaku selepas berkhatan disangka ketuat kerana cantuman kulit tidak sempurna. Maksud kutil sebenar ialah lebihan kulit yang berjuntai dan ia bukan penyakit kulit, manakala ketuat pula penyakit kulit akibat jangkitan virus atau HPV (Human Papilloma Virus).


Ketuat di penghujung zakar berbeza daripada di kulit tundun atau pangkal zakar kerana kulit bahagian itu berbeza.


Bagaimanapun, jangkitan itu sama walaupun jenis virus ketuat mungkin berbeza. Jika anda mendapati kutil di keseluruhan anggota kelamin dan tidak tahu ia jangkitan atau sebaliknya, anda harus berjumpa doktor untuk kepastian.


Ketuat boleh merebak cepat dan keseluruhan kulit zakar boleh terkena jangkitan. Begitupun, ia boleh mengecut apabila virus musnah kerana tindak balas sistem daya kawalan atau ‘sistem immune’.


Jika benar jangkitan kulit itu adalah ketuat, doktor boleh memberi ubat untuk disapu dan ketuat itu boleh hilang dan pulih seperti sedia kala. Bagaimanapun, jangan risau kerana ketuat jarang berubah kepada kanser.
Saya syorkan lelaki yang ada masalah ini supaya berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan.


Ramai tidak tahu sebenarnya ketuat boleh dijangkiti daripada hubungan seks. Buat masa ini golongan lelaki tidak perlu mendapat suntikan pelalian HPV seperti mana yang digalakkan kepada perempuan berumur sembilan hingga 26 tahun.

----------------------------------------------------------------------------------

Produk seks di pasaran memudaratkan

SAYA pernah membaca artikel mengenai Vimax.
Apa pandangan doktor perihal produk ini? Adakah ia boleh digunakan atau membahayakan kesihatan jika kerap digunakan?










Memang lumrah bahawa lelaki menginginkan zakar besar, panjang, berdaya tahan, kuat, tegap dan mantap. Jika ada pil atau ubat yang boleh memberi semua itu, pasti lelaki membelinya tanpa berfikir panjang, lebih-lebih lagi jika mereka yakin produk itu akan membantu mereka.


Biasanya, pengusaha yang ingin mengaut keuntungan besar dalam ‘bidang ini’ akan menggunakan pelbagai strategi untuk mempengaruhi minda pembeli dengan maklumat saintifik yang disalahgunakan untuk memperdayakan lelaki.


Justeru, tidak hairan jika sesiapa yang melayari laman web atau iklan yang memaparkan produk itu akan mudah terpengaruh untuk mencubanya.


Bagaimanapun, saya sarankan anda jangan mudah terpedaya dengan produk dijual. Kebanyakannya dan hampir keseluruhannya tidak berkesan dan hanya mendatangkan masalah satu hari nanti.


Jika mahukan zakar yang hebat, lebih baik anda jumpa doktor sakit tuan dan dapatkan penjelasan serta jalan keluar daripadanya. Pesan saya, jangan membeli produk yang tidak diketahui asal usulnya.

----------------------------------------------------------------------------------

 Fenomena semula jadi

SEJAK kebelakangan ini suami saya sukar membuang air besar. Malah, setiap kali membuang, najisnya berwarna hijau.
Selain itu, setiap kali meneran, air mani turut keluar. Adakah masalah ini berbahaya?












Saya dapati ramai keliru mengenai air mani dan air mazi. Sebenarnya air mani keluar melalui ejakulasi hasil kemuncak rangsangan seksual untuk lelaki dan juga ketika dalam mimpi yang digelar mimpi basah lelaki.


Wanita juga boleh menghasilkan air mani jika berlaku pancutan dari lubang kencing ketika kemuncak seksual dan juga mengalami mimpi basah.


Air mazi pula ialah cecair yang keluar dari salur kencing ketika lelaki teruja akibat rangsangan seksual. Kadangkala jika cecair itu banyak, ia akan keluar dengan sendirinya. Keadaan ini dikenali sebagai resdung zakar.


Air mani juga boleh keluar ketika lelaki meneran sewaktu membuang air besar atau selepas selesai buang air kecil.


Ini ialah cecair yang terkeluar dari pundi ‘Cowpers’ ketika kemutan dilakukan. Kadangkala cecair itu berwarna putih dan kadangkala berwarna kelabu.


Biasanya cecair yang keluar itu berwarna jernih. Begitupun, ia adalah fenomena semula jadi.


Semua perubahan ini normal dan bukan petanda penyakit. Ada juga situasi cecair keluar dari salur kencing akibat keradangan salur kencing. Keradangan ini akibat jangkitan yang mungkin dialami melalui hubungan seks rambang.


Mengenai najis berwarna hijau, ia mungkin mengandungi cecair dari hempedu (boleh berlaku ketika sakit perut) atau warna itu hasil dari klorofil (pewarna hijau) sayuran.


Jika suami anda terlalu kerap sakit perut dan membuang air besar dengan najis berwarna hijau, lebih elok dia mendapat rawatan doktor.

 ----------------------------------------------------------

Makan banyak sayur

MINGGU ini saya tertarik untuk mengetengahkan masalah kuantiti air mani. Ini kerana sejak kebelakangan ini banyak e-mel yang saya terima dan juga disiarkan mengemukakan masalah berkaitan air mani.
Baik suami mahupun isteri, ramai menyatakan kebimbangan, lebih-lebih lagi jika tidak mendapat anak walau sudah lama berkahwin. Dalam puluhan e-mel yang diterima, saya tertarik dengan e-mel yang bertanyakan ubat atau makanan untuk menambah kuantiti air mani.


Isi padu air mani yang keluar ketika klimaks berubah mengikut tahap rangsangan seksual, kekerapan persetubuhan dan umur.
Tahap rangsangan membuatkan anggota reproduktif lelaki itu mantap dengan kemasukan darah yang banyak dalam pundi prostat, cowpers dan seminal, kemudian dapat menghasilkan cairan yang banyak.


Lagi kerap lelaki itu bersetubuh, semakin kurang pengeluaran air mani, walaupun dia sangat terangsang ketika itu. Oleh itu, tidak hairan jika tidak bersetubuh dalam jangka masa lama, perasaan teruja semakin ketara dan penghasilan air mani juga bertambah.


Menyentuh aspek umur, pengaruh hormon testosteron memainkan peranan penting. Apabila tahap hormon menurun, rangsangan terhadap pundi-pundi tadi kurang, seterusnya jumlah air mani menjadi sedikit. Begitu juga sebaliknya.


Bagaimanapun, banyak keadaan boleh mempengaruhi jumlah air mani seperti makanan dan suplemen. Lelaki menghasilkan antara dua hingga enam mililiter (ml) air mani setiap kali pancut. Jika pancutan kerap, isi padu air mani boleh berkurangan sebanyak ½ ml atau hanya beberapa titik.


Air mustahak kerana ia juga boleh mempengaruhi isi padu air mani. Perlu minum air yang cukup sekurang-kurangnya empat liter sehari.

----------------------------------------------------------------------------------

Lecet petanda awal prakanser kulit

SETIAP kali bersama isteri, kulit di bawah kepala zakar saya melecet sehingga terasa sakit dan pedih. Sepanjang enam tahun berkahwin, ini kali kedua berlaku tetapi ia berlarutan dua bulan, menyebabkan saya jarang berintiman dengan isteri.






Kulit sarung zakar membabitkan jenis licin, lembut, tidak menggerutu atau bersisik serta ada lapisan bawah dari jenis tisu pengembang. Biasanya, selepas kulit penutup penghujung zakar dibedah (berkhatan), cantuman kulit yang tidak rapat boleh menjadi nipis akibat tisu parutan.


Tisu jenis ini bukan berdaya tahan dan mudah menggerutu serta mengelupas. Oleh itu, tidak hairan jika anda mengalami masalah kulit melecet. Akibat keradangan (disebabkan kulit melecet), tentu anda merasa sakit dan pedih, terutama jika terkena air. Anda perlu menggunakan krim pelindung kulit bagi mengatasi masalah melecet.


Ia perlu untuk melembutkan kulit bermasalah. Jika hendak melakukan hubungan seks dengan isteri, anda boleh menggunakan jeli pelembap.


Saya syorkan anda berjumpa doktor kulit jika masalah ini berlarutan. Kadangkala ia boleh membawa sakit prakanser kulit jika menjadi kronik.

 ----------------------------------------------------------

Teman lelaki dada berlekuk

TEMAN lelaki saya ada masalah dada berlekuk. Saya pernah mencadangkan dia melakukan pembedahan, tetapi dia takut. Adakah kaedah lain yang boleh digunakan?









Anda nampaknya peka dengan masalah kecacatan dada yang dikenali sebagai ‘Pectus Excavatum’ atau dada lekuk. Ia jarang berlaku di kalangan lelaki Asia berbanding lelaki ‘caucasian’. Namun ia juga sering dialami lelaki berbanding wanita.


Mungkin anda tahu kecacatan ini memberi kesan kepada pernafasan dan fungsi kardio pesakit yang kemudian memberi tekanan kepada fungsi badan secara keseluruhan.


Saya bukan pakar dalam masalah ini. Oleh itu, saya syorkan anda dan pasangan berjumpa doktor pakar dada (chest physician) bagi membuat pemeriksaan lanjut mengenainya.


Jika tahap lekukan itu ketara, kesihatan pasangan anda akan terganggu dan berkemungkinan mengalami masalah ‘kardiopulmonari’ serius pada umur muda.


Mungkin juga keadaan lekuk pada dadanya tidak ketara atau serius dan tidak memerlukan pembedahan pemulihan. Jangan berlengah, segera berjumpa pakar dada.

----------------------------------------------------------------------------------

 Tentu jantina anak

ANAK adalah anugerah Allah kepada pasangan suami isteri. Kita hanya boleh merancang kehidupan, tapi semua yang berlaku ditentukan oleh-Nya. Begitu juga dalam hal berkaitan jantina anak, baik lelaki atau perempuan, ia ditakdirkan bagi pasangan itu.
Sejak zaman silam lagi pelbagai kaedah dilakukan manusia untuk menentukan jantina janin sebelum dilahirkan berdasarkan kepercayaan dan cara hidup masing-masing, tetapi semuanya tiada kepastian.


Banyak kaedah yang sering diamalkan kononnya mampu menentukan jantina anak. Misalnya kaedah mengikat buah zakar kiri untuk mendapatkan anak lelaki dan ikat buah zakar kanan untuk anak perempuan. Kesudahannya membawa risiko kesihatan serius kepada suami.


Malah petua kuno seperti cara bersetubuh dengan mengikut masa dan tarikh tertentu yang kononnya bertujuan menentukan jantina anak dicuba ramai orang, namun kesudahannya hampa.




Perubahan arus global dengan pertumbuhan teknologi canggih hari ini pula menemukan beberapa kaedah moden yang lebih berkesan. Kaedah pengasingan sperma misalnya, ia mengasingkan Gen Y (yang menghasilkan anak lelaki) daripada Gen X (menghasilkan anak perempuan).


Kemudian pakar akan melakukan percantuman dalaman melalui proses IUI atau suntikan sperma ke dalam rahim, atau kaedah luaran seperti tabung uji, tetapi kedua-dua kaedah ini memerlukan kos besar.


Daripada sudut etika perubatan, mana-mana kaedah perubatan untuk mempengaruhi imbangan jantina manusia dalam dunia diharamkan kerana dikhuatiri menyebabkan taburan penduduk yang tidak seimbang.


Kaedah penentuan jantina hanya diharuskan jika ia untuk tujuan kebaikan seperti mengelak jantina janin tertentu kerana khuatir ia mengalami masalah kesihatan serius. Misalnya jika anak lelaki berisiko hidup sengsara, pasangan malang itu akan berusaha mendapatkan anak perempuan.


Sebelum ini, kaedah pemilihan jantina pernah dikeluarkan dalam ruangan ini, namun ia berdasarkan maklumat daripada beberapa pakar terdahulu yang pernah meninjau cara penentuan jantina sebelum melahirkan anak.


Antaranya jika seorang isteri klimaks ketika bersetubuh, kemungkinan mendapat anak lelaki. Itupun jika telur wanita itu keluar dalam tempoh 24 jam dan kandungan asid kurang dalam cecair faraj (ketika wanita itu klimaks).


Secara keseluruhannya, saya ingin tegaskan, tiada kaedah boleh menentukan jantina anak secara tepat.


Bagi saya, pasangan suami isteri perlu bersyukur dengan anugerah Allah. Sama ada lelaki atau perempuan, kita perlu menerimanya dengan hati terbuka dan penuh rasa kesyukuran serta menjaganya dengan baik.

----------------------------------------------------------------------------------
 Punca kerap gatal

SAYA sering mengalami rasa gatal pada kemaluan walaupun kerap mencucinya.
Adakah ini mendatangkan masalah pada zakar saya dan bagaimana cara mengatasinya?




Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kegatalan pada anggota kelamin. Zakar terdiri daripada kulit lembut, tidak bersisik dan ada lapisan pelembap semula jadi. Mencuci kemaluan dengan sabun biasa akan menyebabkan lapisan pelembap itu hilang, lalu kulit menjadi kering dan tegang. Ini membuatkannya terasa gatal. Jika digaru ia boleh menjadi radang dan rasa gatal itu akan berulang.


Kulit yang lembut dan tidak bersisik akan bertukar sebaliknya iaitu kering dan bersisik. Biasanya kulit sebegini mudah diserang kulat. Apabila ia berlaku, kegatalan pada anggota sulit semakin ketara.


Akibatnya kulit anggota kelamin semakin tebal, bersisik dan berwarna lebih gelap serta pudar. Perkara yang sama juga akan berlaku apabila bulu roma pada alat sulit dicukur. Kulit akan menjadi kesat seterusnya meradang serta terasa gatal. Oleh itu, jangan cukur bulu roma sebaliknya ‘trim’ saja bagi mengelakkan masalah itu berlaku.


Jika anda terkena penyakit kudis buta atau diserang kutu pubik, anggota kelamin juga akan terasa gatal. Begitu juga sekiranya ada jangkitan kulat.


Anda perlu berjumpa doktor, menjalani pemeriksaan seterusnya mengesan masalah sebenar anda. Jangan sesekali ambil mudah masalah kegatalan pada anggota kelamin.

-----------------------------------------------------------Sakit selepas ‘mimpi’

SEBELUM ini, saya banyak menjawab kemusykilan mengenai kesakitan pada salur kencing iaitu ketika kencing dan ejakulasi. Ada masalah seperti air mani lelaki berwarna coklat, berdarah, kekuningan seperti nanah dan berbau akibat kecederaan atau jangkitan pada salur berkenaan.
Namun, pernahkah anda mengalami kesakitan dan kepedihan pada kemaluan ketika ereksi? Masalah itu bukan merujuk pada kesakitan salur kemaluan seperti saya terangkan pada awal perenggan, ia hanya menyebabkan kesakitan pada kemaluan yang biasa dialami dan tidak membabitkan kecederaan anggota itu.


Pengenalan lelaki mengenai anggota kelaminnya bermula daripada peringkat bayi lagi. Kemudian ia mengalami perubahan ketara apabila seseorang memasuki peringkat remaja.
Perlu diketahui kulit yang menyarung kemaluan adalah licin, lembut serta mempunyai lapisan bawah yang boleh mengembang apabila disentuh.


Tindak balas sensitif ini menyebabkan seseorang itu mudah mencapai ereksi pada bila-bila masa, terutama selepas bangun tidur dan mengalami mimpi basah. Namun, ereksi itu kadangkala menyakitkan.


Bagi yang mengalami situasi ini, jangan risau. Rasa sakit dan pedih pada atau penghujung kemaluan adalah normal ketika ereksi. Ia mungkin disebabkan tisu lembut kemaluan terhimpit ketika tidur (tidur dalam keadaan tiarap) dan ketika sedar, baru terasa sakit.


Selain itu, kepedihan pada penghujung kemaluan boleh disebabkan bahagian salur kencing tergesel akibat pancutan air mani yang pekat, keluar secara deras ketika mimpi basah mahupun ereksi.


Masalah kesakitan ini reda perlahan-lahan sehingga menjadi biasa semula.
Satu lagi kesakitan yang boleh dialami ialah sakit di testis ketika mencangkung atau membuang air kecil. Memang ketika mencangkung, kedudukan buah kemaluan bergayut dan ada kalanya buah kemaluan tertarik akibat cengkaman otot (otot kremester) yang menampung buah kemaluan.


Cengkaman otot kremester boleh menyakitkan, dan ia boleh dilegakan dengan membelainya. Begitupun, pesanan saya, jangan picit dengan kuat.


Namun, jika masih was-was dan mendapati masalah kesakitan yang saya kongsi kali ini menjadi semakin ketara, segera jalani pemeriksaan doktor dan bukan mendapat rawatan bomoh atau lebih mudah, urutan batin.


Perlu ingat, buah dan zakar tidak boleh diurut!

-----------------------------------------------------------------

 Risau kesan kopi, rokok

DI pejabat ada mesin air kopi berjenama terkenal.
Apabila meminum kopi itu lalu menghisap sebatang rokok, saya merasakan dada saya berubah seperti buah dada wanita dan tiada masalah untuk ereksi. Apa perlu saya lakukan?








Kini penjualan produk gaya hidup (life style) semakin banyak. Bagi yang mudah terpengaruh, mereka mendapati produk diamalkan itu memberi kesan diingini seperti kekuatan ereksi atau fizikal dan ini sebenarnya berlaku atas keyakinan kita.


Jadi, ia lebih memberi kesan pada aspek psikologi (minda) berbanding kesan sebenar. Mungkin sesuatu produk itu tidak berkesan langsung kerana kandungan herba terlalu sedikit.


Berbalik pada masalah anda yang merokok dan minum kopi jenama itu, kemudian perasan buah dada anda berubah seperti perempuan, ia seperti magis kerana boleh berlaku secara tiba-tiba. Mustahil ia boleh memberi kesan dengan cepat.


Jenama itu mengandungi kafein dan sedikit tongkat ali. Kedua-duanya mempunyai fungsi ‘vasodilator’ atau pelancar darah. Jika terasa buah dada anda membesar di samping berasa perasaan segar, itu mungkin kesan vasodilator.


Tambahan pula rokok yang mengandungi nikotin meningkatkan tahap ‘neurotransmitter dopamine’ yang merangsang minda, tidak hairan jika anda perasaan apa yang anda lakukan itu membuatkan buah dada besar.


Jika anda tidak mahu perkara itu berlaku, hentikan semua amalan itu. Ia lebih sihat dan mungkin dapat membuatkan anda lebih selesa.

----------------------------------------------------------

 Bimbang ejakulasi pramatang



SAYA berumur 19 tahun, masih belajar dan aktif bersukan. Saya jarang melakukan onani kerana tahu keburukannya.
Namun, ketika mengalami mimpi basah, saya dapati saya sering terpancut awal. Adakah mimpi itu petanda saya akan mengalami ejakulasi pramatang jika berkahwin nanti?








Sudah tentu perkara yang menyeronokkan anda dalam mimpi akan membuatkan anda teruja dan mudah hilang kawalan. Lebih-lebih lagi dalam mimpi. Tidak hairan jika anda sedar daripada mimpi dan mendapati anda mencapai ejakulasi dan tak boleh mengawalnya.


Kadangkala anda tidak sedar anda mengalami mimpi basah dan hanya tahu apabila terjaga. Semua perkara itu normal dan bukan petanda masalah.


Jelas anda mempunyai sistem seksual yang berfungsi dan aktif. Teruskan aktiviti sukan dan amalkan gaya hidup sihat. Jauhi menonton atau membaca bahan berunsurkan seks walaupun anda tidak beronani.


Kerap mimpi basah atau mencapai ejakulasi ketika bercumbuan dalam mimpi bukan petanda anda akan cepat klimaks setelah berkahwin.


Anda hanya akan tahu selepas berkahwin. Itupun melalui pengalaman hubungan seksual dengan pasangan anda.

-------------------------------------------------------

Muafakat baru puas

SEJAK kebelakangan ini saya banyak menerima e-mel mengenai ketidakpuasan suami terhadap layanan isteri di ranjang, begitu juga sebaliknya. Antara masalah dihadapi ialah pasangan tidak suka melakukan pelbagai aksi mengikut kehendak individu, tiadanya sentuhan sebelum bersama dan sebagainya.
Ada juga yang merasakan tidak mendapat kenikmatan mengadakan seks disebabkan pasangan cepat ejakulasi, kurang berminat mengadakan seks dan tidak puas kerana pasangan tidak mahu mengadakan seks oral. Masalah ini dialami pasangan berkahwin tanpa mengira tempoh perkahwinan.


Misalnya, ada pasangan belum merasakan kepuasan seks walaupun berkahwin sembilan tahun dan mempunyai dua anak. Berdasarkan masalah di atas, hampir semuanya berkaitan kerjasama pasangan berumah tangga.
Memang hubungan seks itu memerlukan kerjasama suami isteri, jika tidak sudah tentu hubungan itu tidak dapat dilakukan.


Namun, pernahkah kita bertanya diri sendiri, bagaimana pula dengan pasangan kita? Adakah dia juga puas ketika bersama kita? Kita perlu memahami bahawa si dia juga ada kehendaknya. Misalnya dalam masalah cepat ejakulasi, pasangan tidak sempat menghayati keseronokan sentuhan seksual, tetapi anda sudah selesai.


Dalam hal ini permuafakatan dalam hubungan intim suami isteri adalah perlu. Begitu juga dengan rasa hormat-menghormati antara satu sama lain.


Dalam perilaku hubungan seksual, setiap pasangan perlu berpegang pada hubungan intim yang berpandukan kepada ajaran dan hukum Islam. Hubungan seksual antara suami isteri dikira ibadat. Melayani nafsu pasangan ketika pasangan berkehendakkan (berintiman) pula satu sedekah.


Oleh itu, kita boleh membayangkan kebaikan dan ganjaran akhirat yang akan diterima jika hubungan seksual mendatangkan keseronokan bersama.

-------------------------------------------------------------

Tahap kesuburan lelaki

SAYA ingin tahu, bagaimana cara melakukan ujian tahap kesuburan seorang lelaki?


Tahap kesuburan seseorang berubah dari semasa ke semasa. Ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti umur, tahap kesihatan, alam sekitar, penyakit yang boleh mengancam kesuburan seperti penyakit kelamin dan pelbagai perkara lain, termasuk kecederaan dan kemalangan membabitkan anggota kelamin.




Jika anda menjalani ujian tahap kesuburan sebelum kahwin, berkemungkinan ia boleh berubah selepas anda berkahwin. Yang penting, anda perlu mengenali ciri-ciri kesuburan. Jika anda lelaki, perkara utama ialah mempunyai anggota kelamin yang normal iaitu mempunyai sepasang buah zakar yang normal dan dapat menghasilkan sperma mencukupi, sperma aktif dan normal.


Mempunyai salur sperma dan semua organ anggota reproduktif dalaman yang normal, seperti pundi epidemis, pundi prostat, pundi seminal dan pundi Cowpers (normal), anggota kelamin yang boleh mencapai ereksi secara mantap, padat dan mampu melakukan penetrasi faraj perempuan, sekali gus dapat menyalurkan sperma dalam faraj.


Namun jika masih hendak tahu tahap kemampuan menghasilkan sperma, anda boleh menjalani ujian air mani. Cara mengeluarkan sampel air mani ialah melalui onani iaitu mengurut zakar sehingga mencapai ejakulasi air mani.


Sampel air mani hendaklah dihantar ke makmal secepat mungkin, iaitu tidak lebih dari sejam. Jika ada sperma dalam air mani, ini petanda anda tidak mandul.


Profil sperma normal ialah mempunyai isi padu air mani tidak kurang daripada dua mililiter (ml). Jika kurang, mungkin pengambilannya tidak sempurna dan perlu diulangi lagi sekali selepas seminggu. Biasanya 1ml air mani mempunyai tidak kurang daripada 20 juta sperma.


Peratusan sperma yang aktif tidak kurang daripada 40 peratus dan peratusan sperma berbentuk normal tidak kurang daripada 30 peratus. Anda perlu tahu profil sperma boleh berubah secara positif atau sebaliknya.


Oleh itu, jika sudah berkahwin serta belum dikurniakan cahaya mata, anda perlu menjalani ujian air mani untuk mengetahui profil sperma, walaupun sudah melakukannya sebelum berkahwin.

 -----------------------------------------------------------

Keluar cecair putih dari alat kelamin

SAYA melakukan hubungan seks dengan teman wanita tanpa menggunakan kondom.
Seminggu kemudian, saya mendapati lubang zakar saya mengeluarkan cecair putih seperti nanah dan semakin hari ia semakin banyak. Selain itu, zakar terasa pedih apabila kencing dan sakit apabila ereksi ketika hendak tidur.




Anda mendedahkan gaya hidup orang muda yang mengamalkan seks bebas dan terdedah kepada risiko jangkitan penyakit kelamin. Perlu difahami, walaupun menggunakan kondom, anda juga berkemungkinan terkena jangkitan jika kondom itu koyak, terlucut atau bocor.


Selain jangkitan dari faraj, anda boleh mendapat jangkitan (jika pasangan pembawa jangkitan) dari mulut dan lubang najis jika melakukan seks atau menyental zakar melaluinya.


Pada masa sama, anda boleh mendapat jangkitan penyakit kelamin yang tiada ubat seperti HIV dan Hepatitis B. Sedikit sebanyak, anda mula berasa takut apabila mendapati salur kencing sakit seperti disula besi panas. Ini ialah kesan penyakit virus Chlamydia.


Oleh itu, anda perlu segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan. Jika tidak, saya khuatir jangkitan itu menular ke bahagian dalaman seperti salur sperma dan buah zakar, seterusnya boleh menyebabkan anda mandul.

 -----------------------------------------------------------

Kencing manis jejas keupayaan

KENCING manis adalah penyakit digeruni, apatah lagi ia satu rantaian penyakit kronik iaitu sakit jantung dan darah tinggi. Bagi lelaki pula, mereka berdepan risiko masalah ereksi dan kemandulan jika mengalaminya.
Sesiapa saja berisiko menghidap sakit ini tanpa mengira peringkat umur. Jika ia berlaku ketika peringkat kanak-kanak, individu itu dikatakan penghidap penyakit kencing manis juvenil.


Mereka akan diberi suntikan hormon insulin sepanjang hayat kerana sel yang memproses insulin dalam organ pankreas tidak berfungsi lagi.
Namun bagi individu menghidap kencing manis selepas baligh (dewasa), ia berlaku akibat badan tidak dapat menggunakan insulin atau hormon insulin berkurangan serta tidak dapat menampung metabolisme karbohidrat.


Dengan tahap glukosa tinggi dan tidak stabil itu, keseluruhan fungsi sistem tubuh badan seperti perjalanan darah, fungsi dan tindak balas urat saraf tergendala.


Kedua-dua fungsi ini penting dan jika ia terganggu, fungsi tubuh badan turut terganggu seperti kegagalan lelaki mengekalkan atau mencapai ereksi ketika terangsang. Individu itu juga mungkin gagal mencapai atau mengawal ejakulasi dan cepat klimaks.


Sebilangan besar pesakit kencing manis yang mematuhi nasihat doktor dan makan ubat untuk mengawal tahap glukosa dapat mengekalkan kemampuan melakukan persetubuhan.


Oleh kerana penyakit kencing manis hanya boleh dikawal dan tiada penawarnya, lelaki yang tidak peka dengan nasihat dan rawatan doktor akan mengalami masalah kemampuan seksualnya.
Individu itu akan sukar mencapai ereksi mencukupi untuk melakukan persetubuhan atau ereksinya tidak kekal serta tidak sempat melakukan penembusan faraj atau mati separuh jalan.


Kesudahannya, individu itu mengalami mati pucuk tetap. Ada juga penghidap kencing manis tidak dapat mencapai ejakulasi walaupun dia rasa sudah mencapai orgasma.


Selain itu, ada individu boleh mencapai ejakulasi tapi terasa macam air maninya masuk ke pundi kencing (kencing selepas klimaks dan mendapati air kencingnya keruh atau mengandungi keladak putih).


Jangan mudah percaya cakap yang kononnya makan ubat kencing manis menyebabkan mati pucuk. Ia tidak benar. Semua pesakit kencing manis lambat-laun akan mengalami mati pucuk atau kegagalan ejakulasi.


Walaupun ada ubat boleh melancarkan aliran darah di zakar dan dilihat dapat mengatasi masalah itu, ia tetap bermasalah jika tidak mengawal penyakit itu.


Yang penting, ikut nasihat dan rawatan doktor. Jika anda mula mengalami masalah itu, segera berjumpa doktor pakar.


Jangan pula mendiamkan diri atau dapat ubat mengarut tanpa nasihat doktor, termasuk mendapatkan rawatan daripada tabib atau tukang urut. Nanti padah!

------------------------------------------------------------

Gemuk punca mudah jemu?

 SAYA dan suami jarang melakukan hubungan intim, iaitu hanya sekali seminggu dan ada kalanya tiada langsung.

Saya menyuarakan perkara ini kepada suami dan suami menyatakan dia mudah jemu. Saya kurang faham, sedangkan saya tidak pernah jemu untuk bersama kecuali ketika haid. Adakah ia disebabkan bentuk badan saya yang gemuk atau perkara lain? Tolonglah doktor, saya ingin menambah bilangan anak.








Dalam hal ini, masalah puan ialah kurang mendapat kerjasama suami dalam melakukan hubungan intim. Puan juga sedar puan tidak mempunyai tubuh menarik seperti dulu dan ini mungkin antara punca masalah itu berlaku.


Mungkin ia juga disebabkan suami keletihan dan tertekan dengan kerja. Nampaknya suami memerlukan motivasi puan. Ikutlah kesesuaian supaya suami mudah dan hendak bersama tanpa puan ‘memaksanya’.


Kadangkala lelaki agak pelik. Sewaktu isteri dingin, suami akan hangat dan ketika isteri subur dan mempelawa, mereka pula menolaknya. Malah ada juga suami mati pucuk ketika isteri subur dan pulih apabila isteri dalam keadaan biasa.


Suami seperti ini perlu diberi ubat perangsang dan ubat yang dapat melancarkan peredaran darah dalam zakar, terutama apabila isteri subur.


Yang penting, dalam perkahwinan perlu ada wawasan dan perancangan bersama untuk membina keluarga, termasuk bilangan anak dan keadaan ekonomi. Tanpa komunikasi baik, memang sukar meluahkan perasaan dan fikiran masing-masing.


Cuba bermuafakat dan bekerjasama untuk membina keluarga sejahtera. Insya-Allah apa jua hajat anda berdua yang baik akan dimakbulkan Tuhan.

-----------------------------------------------------------

Usia sesuai untuk berkhatan

BERAPAKAH umur sesuai untuk kanak-kanak dikhatankan?
Masyarakat Arab mengkhatankan anak mereka ketika masih kecil berbanding di negara kita yang biasanya melakukannya ketika anak berumur 11 atau 12 tahun. Bilakah usia paling sesuai untuk tujuan itu?




Tiada satu had umur afdal untuk berkhatan. Yang penting, lelaki yang akan berkhatan sesuai untuk prosedur itu.


Tidak dinafikan, berkhatan jika dilakukan kepada lelaki ketika dalam peringkat bayi lebih mudah dijaga ibu berbanding peringkat kanak-kanak.


Kulit kulup yang dipotong itu kecil dan luka boleh sembuh dengan cepat. Jika ada masalah, hanya sedikit, iaitu apabila kulit dipotong itu terpotong pendek atau kulit kulup melekat pada kulit mukosa penghujung zakar.


Ketika umur muda, kemungkinan kulit penutup penghujung zakar melekat (adhesion) dan menyakitkan jika dilucutkan ketika proses berkhatan.


Jika budak itu gemuk, kemungkinan kulit terpotong pendek. Jangan bimbang. Ia jarang berlaku jika dilakukan oleh doktor berpengalaman.


Umur 10 tahun ke atas sesuai untuk dikhatankan. Oleh itu, berkhatan ketika umur anak lelaki mencecah 11 atau 12 tahun, ia boleh diterima.


Berkhatan menjadi wajib apabila pembukaan penghujung kulup zakar kecil, air kencing tak mudah keluar dan membuatkan kanak-kanak terasa sakit.


Ia dikenali sebagai phimosis apabila kulit kulup tak dapat dilurutkan untuk mendedahkan penghujung zakar.


Melalui berkhatan ia akan merawat masalah ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengisytiharkan, berkhatan baik untuk lelaki daripada segi pencegahan jangkitan penyakit kelamin, HIV dan kawalan kebersihan atau higen seksual.

 

 

Berita Harian: Mutakhir

Utusan Online