JIKA masuk ke dalam sidang media selepas sesebuah kereta dilancarkan, anda akan dapat mengetahui paten soalan yang bakal ditanya. Soalan-soalan itu juga secara langsung boleh dikaitkan dengan meja mana wartawan tersebut bertugas.
Kalau wartawan ekonomi, soalan kegemaran mereka pastinya berkaitan dengan angka. Misalnya, berapa sasaran jualan, penguasaan pasaran, perancangan untuk program pemasangan tempatan (CKD), isu panggilan semula di pasaran global (jika ada) dan soalan-soalan yang berkaitan dengannya.
Wartawan pemotoran pula, soalan mereka jauh berbeza. Selain soalan berapa banyak diskaun boleh diperoleh kalau kereta itu dibeli, mereka juga gemar bertanya mengenai aspek teknikal. Ada kalanya soalan yang dikemukakan itu terlalu terperinci, sehinggakan panel merasakan tempoh soal jawab tersebut cukup lama.
Satu ketika dahulu, sekiranya pelancaran kereta itu melibatkan pengeluar Eropah ada satu soalan wajib yang akan ditanya. Soalannya ialah bila dan kenapa mereka masih belum membawa masuk kereta dengan pilihan enjin diesel.
Kalau diikutkan, jawapan yang bakal diterima sudah dapat diagak. Namun, ia tetap ditanya kerana mereka (wartawan pemotoran) mengharapkan ada berita baik mengenainya. Namun, sehingga ke hari ini nyata tidak banyak yang berubah. Akhirnya, soalan itu tidak lagi ditanya.
Berbeza dengan pengeluar dari Jepun yang gemar mengaplikasikan teknologi hibrid dan elektrik, pembuat kereta Eropah memilih teknologi diesel untuk mendapatkan penjimatan serta mengurangkan pengeluaran gas berbahaya daripada ekzos kenderaan.
Enjin diesel mereka cukup maju. Namun, kemajuan itu turut datang dengan kekangan tersendiri. Enjin-enjin itu tidak boleh menelan minyak diesel bersulfur tinggi sebagaimana yang ditawarkan di stesen-stesen minyak di seluruh negara kita.
Diesel Euro 2M
Malaysia sememangnya ketinggalan dari aspek penggunaan minyak diesel berkualiti tinggi. Ketika orang lain sudah menggunakan diesel dengan piawaian Euro 5, kita masih menjual diesel yang tahapnya cuma Euro 2M. Ibaratnya, satu berkualiti seperti air sungai di Ulu Yam dan satu lagi kotor macam air sungai Kelang.
Kadar sulfur yang tinggi dalam diesel Euro 2M memang tidak sesuai untuk enjin diesel moden. Sebab itulah pengeluar seperti Mercedes-Benz dan Volkswagen masih menunggu masa terbaik untuk memperkenalkan jentera diesel mereka di sini.
Kekangan itu bagaimanapun tidak menghalang beberapa jenama misalnya BMW dan Ford untuk menawarkan jentera diesel mereka untuk pengguna tempatan.
Ketika BMW hanya mampu dimiliki oleh mereka yang berpoket tebal, Ford tampil dengan model diesel yang diangkat daripada model hot hatch popularnya, Focus. Harganya juga lebih munasabah, masih boleh dimiliki oleh orang kebanyakan.
Ford Focus Sport TDCi, itulah kereta yang saya pandu uji hingga ke Jitra, Kedah baru-baru ini. Sepanjang tiga hari memandunya, banyak perkara yang disenangi mengenainya. Mungkin kedengaran keterlaluan, tetapi memandu jentera itu sebenarnya amat menyeronokkan.
Keterujaan tersebut banyak disumbang oleh kuasa yang dialirkan oleh unit enjin diesel 2.0 liter ke roda hadapannya. Kuasa tork berjumlah 320Nm itu boleh dicapai ketika jarum rpm hanya mencecah 2,000 rpm! Maksudnya, sebaik sahaja pedal minyak ditekan, Focus Sport TDCi seperti sudah tidak sabar-sabar untuk meluncur ke hadapan.
Itulah antara kelebihan utama enjin diesel, anda akan berasa kereta seperti begitu ringan kerana kuasa torknya yang banyak. Ini membuatkan tugas untuk memulakan perjalanan di lampu isyarat dan memotong kenderaan semakin senang.
Kuasa enjin diagih dengan bijak oleh kotak gear Powershift enam kelajuan automatik buatan Getrag. Pertukaran gear dapat dilakukan dengan pantas dan tepat, sehinggakan mode manual seakan-akan tidak berguna lagi.
Kombinasi itu menghasilkan tahap penggunaan bahan api yang cukup bagus. Untuk satu tangki penuh, saya mampu mencapai perbatuan hampir 1,000 kilometer. Kalau dipandu lebih perlahan, saya yakin angka yang lebih besar tidak sukar untuk dicapai.
Anda bercakap tentang sebuah Ford Focus, jadi tidak perlulah ragu-ragu mengenai kualiti pengendaliannya. Ini model yang mempunyai nama besar dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC). Maka, sudah pasti kerangka tubuhnya cukup rigid sebelum dipadankan dengan suspensi yang memastikan keempat-empat tayarnya melekat di atas jalan raya ketika selekoh diambil dalam kelajuan tinggi.
Bagi saya, ruang kabin Focus Sport TDCi memerlukan proses ubah suai. Papan pemuka dengan corong pendingin hawa berbentuk lonjong dan set audio dalam perumah berwarna perak itu jelas membosankan.
Dari aspek luaran pula, tiada apa yang berbeza dengan Focus berenjin petrol, kecuali pelekat dan emblem TDCi yang dilekatkan padanya. Rekaan hatchback itu kekal kemas dan ringkas.
Di sebalik bunyi enjinnya yang seperti trak pikap, Focus Sport TDCi menawarkan penjimatan, kuasa dan pengandalian mengagumkan. Apa lagi yang anda mahukan?
No comments:
Post a Comment