Wednesday, August 10, 2011

RENAULT LAGUNA COUPE

Sentuhan Perancis buka selera


SEPERTI ada tarikan tersendiri yang membuatkan kereta dengan rekaan coupe dua pintu menarik perhatian pengguna jalan raya lain.
Sinonimnya kenderaan coupe bentuk kereta sport sedan yang selalunya berpintu empat berkurangan menjadi dua pintu

Jelasnya, jentera kategori ini pasti memenuhi keperluan pemandunya yang mahukan kereta bergaya, prestasi dan unik sekali gus menampilkan imej maskulin.

Satu daripada kenderaan kategori itu yang ditawarkan di negara ini ialah Renault Laguna Coupe edaran TC Euro Cars (TCEC) diperkenalkan tahun lalu.



Model ini menerapkan rekaan pertama kali dihasilkan untuk model konsep Fluence yang diperkenalkan pada Pameran Motor Frankfurt 2007.



Laguna Coupe juga diperkenalkan buat tatapan dunia pada Pameran Motor Paris 2008 dengan mempamerkan ciri rekaan menarik serta direka untuk memberikan kepuasan optimum kepada pemandu.

Ia turut mendapat jolokan sebuah kenderaan direka dengan ketelitian seni yang tinggi dan sekali gus meletakkan Laguna Coupe ini kenderaan gaya hidup moden.

Model yang menerima sentuhan Perancis ini pastinya ‘membuka selera’ orang muda yang mahukan penampilan sporty dan kuasa enjin mengagumkan.

Bentuknya kenderaan ini berukuran panjang 4.64 meter dan lebar 1.81 meter memberi keserasian dari segi keseimbangan bentuknya dalam kereta kategori coupe.

Dari bahagian depan sudah terserlah aspek rekaan yang menonjol dan wajah utama dipengaruhi bentuk tajam dan jenis lampu utama Bi-Xenon serta gril besar.

Rekaan bahagian belakangnya pula paling menarik apabila lampu brek belakang nipis berbentuk lekuk seperti melekat pada bahagian but ke badannya.

Ternyata reka bentuknya itu membuatkan ramai pengguna jalan raya lain menjeling ketika penulis memandu ujinya, baru-baru ini.

Selain dari bentuk menawan, enjinnya juga memberi kuasa yang terbaik kepada penulis untuk terus menekan pedal minyak bagi melunjur laju di lebuh raya.

Enjinnya dibekalkan dengan kuasa bersesaran 2.0 liter pengecas turbo ini diyakini memberi daya pecutan yang cukup memuaskan selain dipadankan dengan transmisi enam kelajuan automatik.

Ia mampu menjanakan 170 kuasa kuda (hp) dan tork 270 Nm pada 3,250 rpm yang memberi keselesaan ketika memandunya pada tahap normal atau agresif.

Kelajuan dikatakan boleh mencecah hingga 220 kilometer sejam (km/j) dan hanya mengambil masa 9.2 saat untuk mencapai kelajuan antara 0 hingga 100 km/j.

Aspek pemanduannya juga mengujakan apabila saiz dan bentuk aerodinamiknya memberikan satu pengalaman menyeronokkan bagi mereka gemarkan pemanduan sporty.

Suspensinya agak keras sedikit, tetapi ia tidak mengganggu kerana ia memberi kestabilan mengambil selekoh dengan lebih stabil sekali gus mengelakkan kenderaan membuang.

Ketika menerjah bahagian dalamannya, balutan kulit pada kerusinya membuatnya tampak mewah dan selesa tidak kira pemanduan dekat atau jauh.

Kerusi yang bentuk seakan-akan separuh ‘bucket’ ini membuatkan penulis selesa ketika duduk dan tidak bergerak ketika kereta mengambil selekoh.

Keistimewaan kenderaan itu terserlah apabila menggunakan sistem audio daripada Bose yang mempunyai piawaian bunyi terbaik.

Selain itu, ia dilengkapi enam beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, ESP dan dipadankan rim dimensi 18 inci bagi menampakkan keunikan kenderaan terbabit.

Laguna Coupe dijual pada RM266,838.79 di atas jalan termasuk insurans.



SPESIFIKASI

RENAULT LAGUNA COUPE

ENJIN 

kapasiti 2.0 liter Turbo.

KUASA MAKSIMUM
170hp pada 5,000rpm 

TORK MAKSIMUM 
270Nm pada 3,250rpm 

TRANSMISI 
enam kelajuan dengan kawalan jujukan.

CIRI-CIRI KESELAMATAN
enam beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, ESP 

HARGA
RM266,838.79 di atas jalan termasuk insurans



No comments:

Post a Comment

Berita Harian: Mutakhir

Utusan Online