Wednesday, July 24, 2013

Khasiat Kaki Ayam

KHASIAT KAKI AYAM

Kaki ayam merupakan bahagian paling tak popular di kalangan kita. Kalau dibuat bancian tentu ramai yang menyatakan bahawa mereka tidak menyukainya. Banyak alasan yang diberi, antaranya, tak ada isi, jijik, konon nya kerana kaki ayam itu diguna untuk mencakar segala macam benda, dan berbagai alasan lagi.

Tetapi tahu kah kita disebalik tidak popularnya kaki ayam itu ia mengandungi khasiat yang tidak ketahui ramai. Jadi, mulai sekarang jangan lagi dibuang kaki ayam. Jadikan ia satu dari sumber makanan yang menyumbang ke arah kesihatan yang baik.

**New York: Kajian terbaru mendapati pengambilan kaki ayam dikatakan mampu mencegah berlakunya ‘osteoporosis’ iaitu sejenis penyakit tulang rapuh, mudah retak dan patah. Masalah tulang ini biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala di mana ia berlaku tanpa disedari.


Bagi mencegah osteoporosis seseorang biasanya dinasihatkan mengurangkan faktor risiko dengan meningkatkan pengambilan nutrisi dan bersukan secara teratur.
Pengambilan minuman atau makanan yang mengandungi kalsium tinggi adalah satu cara mengelak serangan osteoporosis.


Elak tulang rapuh

Tanda disedari, kaki ayam juga dikatakan memainkan peranan penting mengelak tulang rapuh disebabkan ia dikatakan kaya dengan sejumlah nutrisi yang berfungsi untuk menjaga tulang dalam tubuh manusia.

Laman web firma produk dan penyedia perkhidmatan kesihatan Bl Health menyatakan hydroxyapatite adalah makanan untuk tulang yang berasal dari tulang makanan. Secara logiknya, makanan tepat untuk tulang adalah tulang.

“Kaki ayam dikatakan satu daripada makanan yang kaya dengan zat itu,” kata laman web itu.
Kita tidak perlu lagi memperkecilkan kaki ayam kerana ia kaya dengan khasiat protein yang ada pada kulit, otot, tulang dan kolagen iaitu sejenis protein jaringan ikatan liat dan bening berwarna kekuningan. - Agensi

INFO: Kaki ayam
- Hydroxyapatite makanan untuk tulang berasal dari tulang makanan
- Kaya dengan sejumlah nutrisi yang berfungsi untuk menjaga tulang dalam tubuh manusia
- Kaya dengan khasiat protein pada kulit, otot, tulang dan kolagen.

** Sumber : Berita Harian.

BMW R 1200 GS

PADA tahun 2007, model BMW R 1200 GS merupakan model motosikal paling laris yang pernah dibangunkan oleh BMW Motorrad dengan jualan melebihi 100,000 unit.

Sebagai motosikal pendahulu segmen dan jualan terbaik dalam rangkaian model  BMW Motorrad, BMW R 1200 GS serba baharu kini tiba ke pelabuhan negara. Setakat  ini model GS berkenaan merupakan model ke-9 diperkenalkan oleh BMW Group Malaysia untuk tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr Gerhard Pils, konsep ‘BMW GS’ mengutamakan keseronokan menunggang dan keinginan untuk mengembara selama lebih 30 tahun.

“Ahli terbaharu keluarga Motorrad itu bakal menetapkan tanda aras seterusnya dalam segmen enduro jarak jauh dan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat automotif premium dengan jumlah jualan nombor satu di Malaysia.

“Ciri menarik BMW R 1200 GS serba baharu ialah enjin boxer yang direka semula untuk memberikan prestasi tambahan dengan penyejukan udara/air yang kompak dan merupakan motosikal pertama di dunia yang dilengkapi dengan lampu hadapan LED,” katanya.

Enjin yang Direka Semula Sepenuhnya

Dari segi prestasi, enjin BMW R 1200 GS telah direka semula. Menggunakan enjin boxer dua silinder dengan kotak gear 6-kelajuan,  jentera enduro itu mampu menghasilkan kuasa125 bhp pada 7700 rpm, dan  tork 125Nm pada 6,000rpm.

Walaupun enjin boxer masih menggunakan penyejukan udara/cecair, minyak penyejuk kini diganti dengan campuran air glikol bagi memastikan tahap penyerapan haba yang tinggi untuk penyejukan yang lebih cekap.

Ciri tambahan baharu termasuklah sistem E-gas untuk kawalan dan respons pemanduan yang dipertingkatkan. Arahan penunggang dipindahkan secara terus melalui pengesan pada pemegang pusingan pemecut kepada sistem kawalan enjin yang melaraskan injap pendikit secara elektronik.  

Untuk memenuhi keperluan serta tujuan individu setiap penunggang, buat pertama kalinya BMW R 1200 GS serba baharu dilengkapi dengan lima mod tunggangan yang berbeza - ‘Rain’, ‘Road’, ‘Dynamic’, ‘Enduro’ dan ‘Enduro Pro’. Setiap mod menampilkan tiga tetapan E-gas dan ABS yang berbeza, dan empat tetapan ACS dengan ciri enjin yang berlainan.

Untuk memilih tetapan yang diperlukan, suis “mod” di sebelah kanan bar pemegang akan mengaktifkan paparan pada panel instrumen untuk memilih mod tunggangan yang dikehendaki.

Sebagai contoh mod 'Rain' memberikan ciri lembut dan responsif bagi menyokong penunggang pada permukaan basah atau cengkaman yang sukar.

Sementara mod ‘Enduro Pro’ memberikan respons enjin yang spontan, kerana fungsi ASC ditetapkan pada mod profesional bagi membolehkan kawalan yang lebih mantap untuk enjin BMW R 1200 GS serba baharu.

Fungsi dan Kelasakan

Bahagian hadapan motosikal yang bergaya direka untuk menyertakan sekali pembawa panel depan tiga seksyen yang inovatif diperbuat daripada magnesium, komponen yang tahan pecah dan lasak yang memberikan BMW R 1200 GS serba baharu pengurangan berat sebanyak 60 peratus.

Malah, pertama kalinya, dimensi tayar hadapan diperbesarkan kepada 3 inci dan belakang kepada 4 hingga 4.5 inci untuk mendapatkan daya membelok dan kuasa berhenti yang lebih cekap serta cengkaman dan dinamik pemanduan yang lebih baik.

Untuk tahap keselamatan dan prestasi maksimum, BMW R 1200 GS serba baharu dilengkapi dengan Dynamic ESA, sistem suspensi separa aktif yang mengawasi pergerakan menegak kawalan roda depan dan belakang dengan pengesan pergerakan spring pada setiap kedudukan.

Pengesan ini mengikuti tindakan penyerap hentakan secara automatik bergantung kepada keadaan dan pergerakan pemanduan, manakala Dynamic ESA turut memberi respons kepada pergerakan brek kawalan ABS dengan melaraskan topang spring pada bahagian depan dan belakang menggunakan injap pengawalan elektronik.

Bagi memenuhi prinsip ‘Safety 360’ BMW Motorrad,  BMW R 1200 GS serba baharu dipasang dengan ABS sebagai ciri standard, dan sistem breknya diubah dengan angkup Brembo Monobloc yang dipasang secara radial di depan dan cakera brek yang lebih besar di belakang.

Para pelanggan boleh memilih konsep warna baru yang hebat untuk ciri sporty BMW R 1200 GS serba baharu dengan empat pilihan  harga runcit RM 128,800 bagi Pakej Dinamik dan Pakej Touring pada harga RM 125,000.

Pakej Dinamik didatangkan dengan lampu LED sebagai ciri standard manakala lampu perjalanan waktu siang turut dipasang standard bagi kedua-dua pakej.

CBR600RR adaptasi jentera lumba

DIMANFAATKAN daripada input jentera perlumbaan MotoGP - RC211V, CBR600RR bukan sahaja mentakrifkan semula parameter prestasi atas jalan dengan fleksibiliti, tetapi juga dengan peningkatan enjin berkuasa tinggi dan pengendalian yang tepat.

Honda CBR600RR adalah jentera sport 599cc yang diperkenalkan oleh Honda pada 2003 sebagai versi replika perlumbaan bagi siri motosikal Honda CBRFx.

Untuk rekod jentera Honda itu telah memenangi Kejohanan Dunia FIM Supersports dari 2003 hingga 2008 bagi tempoh enam tahun berturut-turut.

Pada 2010, Honda turut menjadi pembekal rasmi enjin untuk kelas Moto2 melalui jentera berkuasa berasaskan CBR600RR. Ia sekali lagi membuktikan potensi dan kebolehpercayaan jentera tersebut.

Peningkatan yang berterusan dekad lalu telah menyaksikan evolusi CBR600RR menjadi satu daripada jentera paling cemerlang  pernah dihasilkan di gelanggang Supersports.

Tumpuan diletakkan ke atas casis, dengan tujuan mencipta sebuah motosikal yang menawarkan kawalan dan pengendalian yang jauh mengatasi kelasnya.

Penggunaan fork jenis Showa Big Piston 41 milimeter (mm) CBR600RR memastikan perjalanan yang  lancar di atas jalan. Pada masa sama menawarkan hubungan tayar hadapan dalam keadaan yang terhad semasa di trek lumba.

Bahkan menggunakan roda aluminium tuangan ringan, 12 jejari  sama dengan CBR1000RR Fireblade juga memberikan  tindak balas lebih baik.

Jentera bersesaran 599cc ini menggunakan penyejukan cecair DOHC 16 injap empat silinder sebaris yang menampilkan nisbah mampatan 12:2:1. Ia mampu menghasilkan kuasa 88kW pada 13,500rpm dan tork 66Nm pada 11,250rpm.

Enjin 599cc empat silinder dengan sistem suntikan bahan api PGM-DSFI yang canggih dibekalkan daripada kemasukan udara berkapasiti besar melalui Sistem Induksi Udara Terus .

Menggunakan ECU (Unit Kawalan Elektronik) yang dipetakan semula meningkatkan lagi tindak balas pendikit sepanjang julat putaran. Injap Kawalan Pengambilan Udara kini juga berfungsi sepanjang julat rpm. Kesemua peningkatan tersebut menjadikan motosikal ini lebih mudah ditunggang semasa kelajuan biasa dengan peningkatan prestasi seperti dalam keadaan di trek perlumbaan.

Suspensi belakang Unit Pro-Link CBR600RR tidak menggunakan pelekap kejutan atas pada bingkai motosikal dan ini adalah satu sistem unik Honda.

Pelekap kejutan pada bahagian atas ‘swingarm’ dan pepaut bawah beroperasi dengan pergerakan bebas ‘swingarm’. Ini mengukuhkan lagi keadaan pembelokan kuat dan menyampaikan kuasa tarikan dan kebolehan berpusing, ditambah dengan penyerapan kejutan lebih baik dan redaman lebih konsisten.

Tersedia dengan tiga warna, tanda harga jentera itu  adalah RM80,588 bagi Tricolour (merah, putih dan biru) , Hitam Grafit (RM81,088) dan warna Repsol (RM82,088).

CBR600RR C -ABS :Persis jentera lumba

Dua faktor utama yang mendorong kepada pembinaan CBR600RR C-ABS baharu ialah prestasi trek lumba yang lebih baik, digabungkan dengan keupayaan menunggang di jalan berliku atau jalan raya bandar bagi semua peringkat pengalaman penunggang.

Penggunaan fork jenis Showa Big Piston 41mm memastikan setiap perjalanan yang amat lancar di atas jalan, sementara menawarkan hubungan yang hebat bagi tayar hadapan apabila di trek lumba. Roda aluminium tuangan ringan12 jejari juga digunakan untuk tindak balas yang lebih baik.

Dari segi spesifikasi enjin bagi varian CBR600RR C-ABS adalah sama dengan CBR600RR. Cuma perbezaan bagi varian ini ia hanya dilengkapi dengan sistem ABS (sistem brek anti kunci).

Untuk rekod, pada Jun 2008, Honda mengumumkan julung kali “Gabungan ABS elektronik” untuk motosikal-motosikal pengeluaran pertama di dunia.

Sistem baru ini tersedia untuk kedua-dua CBR600RR and CBR1000RR Fireblade pada 2009.

Ia berfungsi apabila sensor pada bahagian tuil brek mengesan kekuatan tarikan untuk memberhentikan jentera.

Sensor akan menghantar maklumat pada ECU dan ECU akan menentukan tekanan yang sesuai untuk diaplikasi pada angkup brek. ECU juga memastikan tayar tidak terkunci apabila proses ini berjalan.

Dadakan brek juga dilenyapkan. Secara keseluruhan, prestasi penunggangan perlumbaan tidak terjejas, keupayaan membelok kekal seperti biasa dan kawalan juga ditingkatkan.

Melalui input berterusan daripada program perlumbaan Honda, bingkai CBR600RR dibina dari tiub-tiub berkembar tuangan aluminium. Proses jisim pemusatan bagi model baru ini telah menghasilkan seksyen-seksyen yang jauh sekali dari pusat graviti motosikal menjadi lebih ringan.

Ini mengakibatkan pengendalian yang lebih tangkas dan sambutan lebih tajam serta kebolehan berpusing dan membelok kepada tahap yang tinggi.

‘Rake’ ditetapkan pada 23 darjah dengan rintisan 96.3mm; jarak roda ialah 1375mm dan berat badan ialah 196 kilogram (dengan Gabungan ABS elektronik).

CBR600RR C-ABS juga disediakan dalam tiga warna: Tricolour (merah, putih dan biru) berharga RM94,888, Hitam Grafit (RM94,388) dan warna Repsol (RM95,388).

Kedua-dua model Honda - CBR600RR dan CBR600RR C-ABS didatangkan dengan waranti pengilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana hadir dahulu).

Suzuki Swift Sport





PEMBABITAN dalam Kejohanan Rali Dunia Junior bukan hanya melonjakkan jenama kenderaan Suzuki tetapi menjadi inti pati penting buat pengeluar kenderaan kompak di Jepun.

Pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh dalam sukan pemotoran itu diterjemah ke dalam pembangunan produk syarikat seperti Suzuki Swift Sport sehinggakan persembahannya cukup impresif.

Implimentasi kejuruteraan Swift Sport tidak jauh berbeza dengan model standard apabila berkaitan casis dan kerangka. Inilah yang menyumbang kepada pengendalian tajam di jalan raya.

Semestinya, kehadiran Swift Sport yang dibawakan oleh Suzuki Malaysia Automobile (SMA) ini menyasarkan konsumer anak muda yang sukakan kelajuan dan adrenalin sporty. Nyata perancangan SMA membawa Swift Sport bukan tanpa alasan kuat.

Bahkan, pengedar rasmi jenama Suzuki di Malaysia itu juga tidak mengambil masa lama untuk membawa masuk model Suzuki Swift Sport selepas pelancaran generasi baru Swift Januari lalu.

Tidak seperti Swift baru yang pada mulanya diimport dari Thailand dan kini dipasang tempatan (CKD) di Pekan, Pahang, Swift Sport ini diimport terus dari negara kelahirannya.

Justeru itu, untuk sama seperti model standard, usaha dalam membangunkan generasi baru itu memberikan fokus kepada menambah baik kepada produk sedia ada daripada tampil dengan model baru yang radikal.






Reka bentuk keseluruhan dikongsi dengan model standard yang telah dibesarkan dan diringankan. Walau bagaimanapun, suspensi belakang generasi Sport ini telah direka khas untuk varian sporty.

Sekali pandang, Swift Sport kelihatan seperti varian standard tetapi apabila diletakkan sebelah menyebelah, ia jelas bahawa saudara sporty itu menerima bampar dan gril yang berbeza. Penampilan sporty tampil dengan dua paip ekzos di belakang.

Susun atur kabin adalah sama dengan varian standard. Seperti yang dijangkakan, Suzuki Swift Sport menawarkan kerusi yang lebih memeluk tubuh, pedal keluli dan stereng kemasan kulit. Seperti varian standard, ia turut dilengkapi butang enjin push/start dan keyless entry.

Jika Malaysia lebih awal melancarkan saudara sporty ini, Indonesia hanya membawa masuk model itu pada Indonesia International Motor Show (IIMS) 2013 akan datang.

Hal ini kerana di Indonesia sudah tersedia model Ertiga dan tidak ada keperluan tergesa-gesa untuk membawa masuk Swift Sport. Tulang utama penjualan saat ini memang ada di Ertiga, dan PT Suzuki Indomobil Sales akan meluaskan pasaran Suzuki Swift Sport yang sememangnya besar.

Seperti yang diketahui, kekuatan Suzuki Swift Sport serba baru ini adalah pada bahagian enjinnya, struktur suspensi serta badan. Malah Suzuki juga menjamin konsumer akan mendapatkan sebuah Swift yang berbeza dalam DNA Swift Sport.

Untuk itu Suzuki Swift Sport dilengkapi dengan enjin 1.6 liter. Enjin yang digunakan masih sama seperti model sebelumnya tetapi sudah menerima penambahbaikan. Ia mampu mencapai daya output 136PS pada 6900rpm dan tork maksimum 160 Nm pada 4400rpm.

Seperti sebelum ini, enjin 1586 cc mempunyai nisbah mampatan yang tinggi 11:1 dan ini bermakna ia berfungsi terbaik pada penggunaan RON97 di Malaysia. Bagaimanapun, SMA mengesahkan bahawa enjin berjalan baik pada RON95 tetapi jika anda mahu prestasi optimum, maka anda perlu mengisi tangki 42 liter dengan RON97.
Malah, generasi sport ini juga telah dikurangkan berat sebanyak 30 kilogram (kg). Antara bahagian yang menerima pengurangan berat adalah rangka badan dan enjin. Berat Swift di bawah 1100kg juga bermakna nisbah berat kepada kuasa yang lebih baik berbanding sebelum ini. Jelas sekali ia mampu menjanjikan prestasi yang lebih bersemangat.

Bagi peminat tegar prestasi, tentunya tawaran transmisi enam kelajuan manual adalah satu berita gembira. Sementara bagi mereka yang tidak biasa dengan tukaran gear, kotak gear CVT 7-kelajuan disediakan.

Sebagai model CBU, Swift datang dengan senarai ciri-ciri keselamatan yang lebih menyeluruh. Ini termasuk beg udara hadapan dan sisi serta beg udara langsir. Terdapat juga ABS dengan EBD menguruskan empat brek cakera, kawalan kestabilan dan fungsi penghidup bukit (hanya untuk versi CVT).

Suzuki Sport tersedia dengan warna kuning dan putih. Tanda harga bersama insurans bagi model ini ialah RM100,672.50 (manual) dan RM105,802.50 (CVT).
Pengalaman ringkas pemanduan Suzuki Sports

Ketika pelancaran Suzuki Swift di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) media Malaysia bersama media jemputan Indonesia berpeluang memandu kereta kompak berkenaan. Saya memilih untuk memandu varian CVT. Setiap kumpulan yang dibahagikan, kami hanya berpeluang melakukan dua pusingan.

Oleh kerana ‘kemahiran memandu yang berbeza-beza’ sesetengah peserta, kelajuan yang boleh dicapai adalah terhad. 

Namun, Swift Sport mampu diajak berlari laju sekitar 160 kilometer sejam di bahagian trek  yang lurus.

Ketika melalui beberapa sudut, saya dapati  ia masih dapat dikawal dan jelas terdapat peneutralan berkesan ketika gelinciran untuk menjaga kereta di landasan yang betul. Saya tahu prestasi Swift Sport adalah agak baik.
HYUNDAI Sonata merupakan kereta segmen pertengahan keluaran Korea Selatan. Di Malaysia Sonata dilancarkan pada 2010. Pengeluaran generasi pertama model ini dimulakan pada 1985 dan dipasarkan di Korea, Kanada dan New Zealand. Hampir 28 tahun berada di pasaran global, kini Sonata memasuki generasi keenam.

Pertama kali dilancarkan tiga tahun lalu, rekaan Sonata cukup mempesonakan. Dari segi luaran. Ia sedia untuk menentang model Jepun yang menguasai segmen-D di Malaysia.

Tetapi sayang, dari segi pemanduan Hyundai Sonata kurang menyerlah.  Enjinnya kurang dinamik dan inspirasi. Bagaimanapun tidak perlu melabelkan Sonata mengecewakan kerana ia memperlihatkan kemajuan besar berbanding sebelumnya. Pakej aspek lain yang ditawarkan juga agak kuat. Ia adalah kereta eksekutif yang cantik dan penuh dengan peralatan yang seiring model Jepun.

Masih ada ruang memperbaiki kelemahan, Hyundai memperkenalkan model kemas kini Sonata Facelift (FL) untuk memperbaharui serangan dalam segmen-D bagi 2013.

Menarik, sebelum ini Hyundai bergantung kepada Mitsubishi di dalam pembangunan enjin. Sehinggalah pada 1991, mereka memperkenalkan enjin Alpha empat silinder dan enjin itu masih digunakan pada model Accent.

Bermula dari itu, Hyundai mempelbagaikan variasi enjin mereka kepada enjin enam silinder dan kini enjin V8 bagi sedan mewah Hyundai Genesis. Impian yang pada awal menjadi bahan jenaka kini direalisasikan. Pencetus kepada kejayaan itu adalah apabila Toyota memperkenalkan Lexus sekitar tahun 90-an.

Hasil pertumbuhan dan kejayaan dalam teknologi Hyundai, senario sudah berubah di mana kini Hyundai membekalkan teknologi enjin Theta 2.0 liter dan 2.4 liter kepada Mitsubishi dan Chrysler (jenama kereta Amerika Syarikat). Malah, siapa sangka enjin Mitsubishi Lancer adalah sentuhan syarikat Korea itu.

Segmen Pandu Uji kali ini, Pemotoran memilih Sonata FL 2.0 Sport. Untuk varian ini Hyundai memberikan jantung baru iaitu enjin NU Series 2.0L.

Penggunaan enjin baru ini adalah hasil penggunaan aluminium yang menyumbang kepada enjin yang lebih ringan, lebih cepat menjana haba (baik untuk mengurangkan geseran enjin, mengurangkan penggunaan bahan api, mengurangkan haus dan lusuh), dan meningkatkan pengendalian secara keseluruhan.

Diaspirasikan dengan sistem suntikan bahan api terus secara elektronik, ia menghasilkan kuasa kuda 162PS pada 6500rpm dan tork 198Nm pada 4800rpm.

Jujur saya anggarkan di sini prestasi yang ditawarkan Sonata 2.0L berada di paras sederhana. Masih boleh diperbaiki untuk menandingi pesaing Jepun sekelasnya.

Ia sedikit menghalang untuk memandu  cepat. Dalam keadaan tergesa, saya terpaksa mendesak enjin untuk memberikan kelajuan yang diinginkan. Di situ berlaku sedikit ngauman pada enjin. Untuk respons yang cepat, tolakkan gear ke kanan untuk pemanduan manual.

Memandu sejauh 112 kilometer menuju ke Slim River, Perak, Sonata masih memberikan keselesaan untuk pemanduan jauh. Di permulaan enjin NU Series mengambil sedikit masa untuk mendapatkan kelajuan yang diinginkan. Namun untuk kelajuan maksimum di lebuh raya, bukan satu masalah bagi Sonata.

Manakala di bahagian stereng sedikit kehilangan sentuhan elektrik di mana terasa lebih ringan. Malah ia juga tidak cukup berat apabila saya memandu laju di selekoh.

Menggunakan topang MacPherson di hadapan dan multi link di belakang, Sonata memberikan pengalaman pemanduan yang selesa. Ia hanya mendorong olengan badan yang sedikit ketika melalui jalan beralun dan menyerap hentakan pada jalan berlubang dengan baik.

Campuran pemanduan di bandar dan lebuh raya, saya mencatatkan penggunaan petrol 12 liter bagi setiap 100 kilometer. Rekod itu dicatatkan hasil pemanduan yang sedikit agresif.  Hasil tersebut kurang impresif berbanding catatan di atas kertas 9 liter/100km.

Dari segi kedapan, bunyi enjin cukup senyap pada waktu melahu. Kedapan bunyi angin dan kenderaan luar juga berada di paras sederhana.

Perubahan rupa

Untuk versi 2013,  Sonata memiliki gril radiator yang diperbaharui, saluran udara yang direndahkan bersama rekaan rim aloi yang diberi sentuhan baru untuk lebih menarik.

Untuk kit badan Sport memberikan sentuhan tambahan di mana Sonata dilengkapi dengan skirting sisi dan belakang serta ekzos berkembar. Ini memberikan kelebihan gaya sporty premium.

Sementara bahagian kabin turut mengalami perubahan meskipun sedikit. Di mana penempatan semula beberapa perkara dan penambahan yang lain hanya untuk varian 2.4 liter. Konsol tengah disemak semula untuk ergonomik yang lebih baik dan memudahkan capaian butang kawalan.

Lebih nyata, corak penukaran gear telah ditukar kepada jenis sebaris untuk memudahkan proses tukaran gear.

Penukaran warna LED pada radio dan jam kepada warna biru pekat untuk memberikan suasana bukanlah sesuatu yang tidak cantik namun kurang ‘premium’.

Kotak hitam

Model Sonata 2013 ini turut dilengkapi dengan kotak hitam yang berfungsi sama seperti kotak hitam kapal terbang. Ia akan merekodkan potensi tindakan pemandu ke arah berlakunya kemalangan seperti: membrek keras,  perubahan arah secara tiba-tiba mahupun melalui selekoh secara mendadak.

Kamera akan merakam 10 saat sebelum dan 20 saat selepas tindakan tersebut berlaku. Kemudian maklumat itu akan disimpan dalam fail yang berbeza di dalam kad SD 8GB.

Kotak hitam disambungkan dengan elektronik Sonata. Ia bukan sahaja merakamkan video tetapi juga audio di dalam kabin. Tetapi bagi mereka yang enggan perbualan direkodkan, tersedia butang di bahagian tepi untuk anda mematikan fungsi audio.

Kotak hitam itu juga dilengkapi GPS dengan sambungan internet. Ia merekodkan bacaan kelajuan dan lokasi kenderaan.

Cuma kedudukan kamera kecil di belakang cermin pandangan belakang sedikit mengundang kecurian.

Apa yang pasti kehadiran sedan premium yang memiliki karakter jauh berbeza dari varian sebelumnya. Hyundai merombak rekaan luaran Sonata menjadi lebih tajam, berotot, moden dan mengalir agar dapat bersaing dengan pesaing tegar dalam segmen-D.

PM umum bantuan RM500 kepada penjawat awam

KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.
Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.
Katanya pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.

Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.
Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - Bernama

Tuesday, July 23, 2013

Honda Jazz petrol RM74,800



JIKA sebelum ini, model Honda Jazz yang ditawarkan kepada pembeli tempatan boleh dikategorikan sebagai mahal. Kini persepsi itu dilihat tidak lagi relevan.

Honda Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model kenderaan CKD kompak itu pada harga di bawah paras RM75,000.

Lebih tepat, harga atas jalan bagi model Honda Jazz varian petrol dijual pada harga RM74,800 seunit atas jalan termasuk insurans.

Tindakan itu sekali gus menjadikan produk CKD Honda Jazz keluaran kilang di Pegoh, Melaka sebagai kereta pertama jenama Honda paling murah dalam rangkaian kenderaan jenama Jepun itu.

Produk yang disasarkan kepada golongan muda profesional dan keluarga kecil urban masih mengekalkan sifat pemanduan menyeronokkan untuk gaya hidup masa kini.

Rangkaian kuasa digunakan tetap sama seperti model yang diimport iaitu enjin 1.5 liter i-VTEC beserta transmisi lima kelajuan automatik. Untuk mengelakkan penukaran gear yang tidak perlu, kotak gear itu dilengkapi ciri Shift Hold Control.

Enjin SOHC itu berupaya menjana kuasa output maksimum sebanyak 120PS, manakala torknya setinggi 146Nm.

Pakej keselamatan yang didatangkan bersama Jazz ialah dua beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Sistem Brek Antikunci (ABS), Sistem Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) serta Teknologi Kawalan G-Force (G-CON).










Ruang kabin dilengkapi kerusi Ultra Seat berwarna biru hitam, sistem kemasukan tanpa kunci, sepuluh ruang pemegang minuman dan sistem audio dengan ketersambungan AUX/USB.

Bahagian luaran melibatkan penggunaan rim 15 inci dengan tayar bersaiz 175/65. Tambahan lain ialah cermin tutup automatik, lampu LED belakang dan lampu kabus.

Bagi yang mahukan kelainan, anda boleh mendapatkan kit badan Modulo pada harga RM3,950. Komponen yang diberikan ialah gril hadapan, spoiler hadapan, spoiler belakang, skirt sisi dan spoiler bahagian bawah pada bampar belakang.

Selain Modulo, "Urban Package" dijual pada harga RM2,550. Anda diberikan gril baharu, bekas simpanan barang di bahagian belakang, pencahayaan di kawasan pintu hadapan, pedal aloi dan spoiler belakang.

Honda Jazz varian petrol itu didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu putih, perak, coklat dan hitam. Jaminan diberikan adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer.










Bau air kencing boleh kesan kanser



PARA penyelidik Britain berjaya menghasilkan alat untuk mengesan aroma kanser pundi kencing melalui sampel air kencing.

Percubaan awal mendapati, ujian pengesanan yang dilakukan oleh alat tersebut mampu memberikan keputusan yang tepat.

Dicipta oleh Prof. Chris Probert dari Universiti Liverpool dan rakannya, Prof. Norman Ratcliffe dari Universiti Barat England, alat tersebut dikatakan mampu mengesan kehadiran kanser tersebut.

“Alat ini boleh ‘membaca’ kandungan air kencing.

“Kami sedang berusaha untuk menjalankan ujian kepada lebih ramai sukarelawan supaya kita boleh mengetahui sama ada alat ini boleh mengesan kehadiran sel kanser lain ataupun tidak.

“Setakat ini, para sukarelawan terdiri daripada lelaki dan kami hanya boleh mengesan kehadiran sel kanser prostat di dalam air kencing,” ujar Ratcliffe baru-baru ini.


NOKIA LUMIA 1020



Nokia memperkenalkan telefon pintar dengan ciri kamera 41 megapiksel di bawah jenama PureView yang mempunyai skrin 4.5 inci iaitu Lumia 1020.

Ia akan dilengkapkan dengan RAM sebanyak 2GB serta kapasiti simpanan 32GB selain menggunakan Xenon flash and lensa F/2.2.
Selain kamera yang baik dan penstabil imej sendiri Nokia, mereka turut menawarkan aplikasi yang membekalkan akses kepada tetapan imbangan warna putih, ISO, kelajuan shutter dan menu lain pada antaramuka ringkas.

Telefon ini akan disediakan pada platform Windows Phone 8 yang datang dengan perisian MS Office, ciri unik seperti Nokia Music dan navigasi lengkap suara secara percuma.







INFO
Produk: Nokia Lumia 1020

Harga: Tidak diperoleh

Rangkaian: GSM, WCDMA, LTE

Kamera: 41MP

Paparan: 4.5 inci ClearBlack, AMOLED, 334ppi

Penprosesan: 1.5GHz Dual Core Qualcomm Snapdragon(TM) S4

Masa berbual: 13.3 jam (3G)

Warna: Kuning, hitam, putih

Bateri: 2000mAh

RAM: 2GB

Memori: 32G

Dimensi: 130.4 x 71.4 x 10.4mm

Berat: 158g

Wednesday, July 17, 2013

10 aspek kemas

Oleh Murshid Eunos
Hari ini istilah tatarias diri bukan hanya untuk kaum wanita sebaliknya lelaki juga perlu memberi penekanan kepada keseluruhan aspek penampilan dan kebersihan diri. Jangan anggap ia sebagai beban kerana setiap langkah penting bagi mendapatkan awet muda biarpun tubuh terus dimamah usia. MURSHID EUNOS senaraikan 10 ciri ini.

1. Sabun buku bukan untuk wajah
Lelaki mempunyai kulit berminyak kira-kira 15 peratus melebihi wanita. Pori besar membenarkan segala kekotoran meresap ke dalam kulit. Usah malas mencuci muka menggunakan pembersih wajah yang betul. Elakkan penggunaan sabun buku untuk badan pada wajah. Begitu juga dengan syampu dan krim pencukur, pastikan anda mempunyai sabun khusus untuk setiap perkara.

2. Krim pelindung matahari
Disebabkan kebanyakan lelaki banyak menghabiskan waktu dengan aktiviti luar pejabat, kulit mereka mudah terdedah pada cahaya matahari. Bagi mengelak diserang masalah warna kulit tidak sekata, jangan ragu-ragu menggunakan krim atau losyen pelindung matahari setiap hari.

3. Pelembap rambut
Langkah yang sering ditinggalkan jejaka ialah merapi rambut selepas menggunakan syampu. Tiada salahnya merapi rambut sebanyak dua kali seminggu (bergantung pada jenis rambut) kerana ia penting bagi mengekalkan kelembutan tekstur rambut. Ia juga mampu menyingkirkan minyak berlebihan pada akar kepala sekali gus mengurangkan risiko rambut gugur.

4. Pemakaian
Pilih baju yang diperbuat daripada fabrik kapas yang ringan bagi mengurangkan peluh. Rapikan bulu ketiak secara berkala kerana ia boleh mengundang bau badan yang tidak menyenangkan. Pakaian juga perlu digosok terutamanya persalinan formal. Baju yang berkedut-kedut melambangkan keperibadian lelaki yang tidak ‘taat’ pada kebersihan dan kekemasan.

5. Potong kuku
Kuku sering dipandang remeh jejaka. Mereka hanya memotong kuku tangan apabila ia benar-benar panjang, manakala kuku kaki mungkin dirapikan sebulan sekali. Beri penekanan pada kebersihan kuku kerana ia terdedah pada bakteria hampir setiap saat. Kuku kaki khususnya, hampir separuh hari ia diliputi stokin dan kasut, banyak kekotoran terkumpul sekali gus menyumbang pada masalah kaki berbau.

6. Bercukur
Hampir semua lelaki perlu bercukur. Perapian misai dan janggut perlu agar penampilan sentiasa tampak kemas. Jangan sekali-kali bercukur tanpa krim yang betul kerana ia boleh mencederakan kulit. Mesin pencukur yang tepat juga memainkan peranan bagi membentuk gaya yang diingini. Selepas bercukur, aplikasikan ‘after shave’ yang bertujuan mengurangkan kerengsaan.

7. Cucian malam
Selepas seharian bekerja atau melakukan riadah malam, ramai lelaki mengabaikan kepentingan mencuci wajah dan rambut sebelum tidur. Kekotoran dan minyak yang tertinggal pada wajah dan rambut perlu disingkirkan agar ia tidak merosakkan kedua-dua bahagian itu saat anda melelapkan mata.

8. Flos gigi
Walaupun anda dikurniakan wajah kacak, namun bau nafas yang kurang menyenangkan bakal memberi impak negatif pada penampilan. Menggosok gigi dua kali sehari tidak mencukupi. Pastikan anda flos gigi sekurang-kurangnya sekali sehari bagi mendapatkan nafas segar, gigi putih dan gusi yang sihat.

9. Agen pengelupasan
Struktur kulit jejaka diakui agak kasar berbanding perempuan. Bagi mengatasi masalah itu, rajinkan diri memakai ‘masker’ atau menjalani rawatan wajah sebulan sekali. Proses itu mampu menghapuskan sel kulit mati yang terbentuk di permukaan kulit.

10. Senaman dan pemakanan
Sukan atau senaman sudah sebati dengan karakter lelaki. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana majoriti mereka memang mengamalkan gaya hidup yang sihat. Bagaimanapun, bagi jejaka yang kurang memberi perhatian pada kepentingan senaman, sudah tiba masa untuk anda mengubah cara hidup. Riadah ringan tiga kali seminggu cukup untuk membekalkan kecergasan dan mengekalkan bentuk badan ideal. Begitu juga dengan pemakanan, kadar metabolisme lelaki diketahui memang tinggi berbanding wanita. Ketahui kalori diperlukan badan anda dan makan mengikut jadual pemakanan yang betul dan seimbang.

Lelaki berhati tisu

Lelaki berhati tisu

Oleh Shuhada Mansor hmetro
Mungkin kita akan rasa ‘geli’ dan mungkin juga yang akan mengatakan ia perkara biasa bila bercakap perihal lelaki mudah menangis. Hakikatnya, memang jarang untuk temui lelaki apatah lagi bermuka ganas yang mudah tersentuh. Egolah katakan!
Selain dilihat kasar dan tidak romantis, lelaki biasanya dianggap hanya boleh pecahkan masalah mereka dengan kekerasan. Benarkah? Secara luaran, memang tanggapan itu berasas tetapi apabila mengenali mereka dengan lebih mendalam, tak mustahil ada sebahagian perlakuan mereka yang boleh mencuit hati wanita. Contohnya, memang lucu kalau bayangkan lelaki dengan susuk badan tegap dan berurat tetapi menangis apabila menonton drama menyayat hati.
Tak salah apabila lelaki menangis, cuma mereka sendiri merasakan ia satu tindakan kurang normal yang tidak akan dilakukan kerana seolah-olah meletakkan mereka setaraf dengan golongan wanita. Namun menangis tak bermakna anda kalah. Ia boleh dijadikan cara untuk luahkan perasaan dan sebagainya. 
Calar ego
Sebenarnya, lelaki akan cuba menyembunyikan air mata. Sebolehnya nak tutup dengan perlakuan ‘macho’ dan sifat kejantanan supaya tak mahu dilabel ‘lembut’. Mereka makhluk keras dan tegar. Tapi entah kenapa penulis merasakan mereka nampak comel dan manis apabila mula menangis.

Jika malu nak menangis untuk sesuatu yang anda rasa perlu, tengoklah keadaan. Tak salah untuk anda yang bergelar lelaki meluahkan masalah dengan cara menangis. Berhati lembut juga tidak mengapa kerana ia tak merendahkan tahap anda sebagai lelaki. Berlembut harus kena pada tempatnya. Jangan asyik bela ego menggunung, bukan boleh disimpan buat harta pusaka.

‘Di sebalik kekasaran seorang lelaki, pasti ada secebis kelembutan’

‘Dan kelembutan itulah yang berjaya menawan hati seorang perempuan.


Malu mengaku

Perasaan lelaki sama seperti wanita iaitu cepat tersentuh namun mereka malu untuk mengakuinya. Dikatakan setiap titisan air mata mereka memang ‘mahal’. Tapi kita akan rasa geli hati apabila mereka menangis untuk perkara yang kurang relevan. Maksudnya situasi yang tidak kena dengan status mereka sebagai lelaki. Contohnya ‘kantoi’ mengesat air mata apabila menonton filem Hindustan ataupun membaca novel yang pengakhiran mengecewakan.

Walaupun mereka berhati lembut, bukan maksudnya lelaki ini dalam golongan ‘lembut’. Cuma mereka tergolong dalam kelompok yang mudah terguris dan terasa hinggakan ada kes di mana rakan serumah tak ajak keluar makan malam boleh menyinggung perasaan si jejaka.

Setinggi mana pun ego seorang lelaki, dia akan tetap menangis, cuma cara mereka berbeza sama ada menangis di dalam hati atau diluahkan secara bersendirian. Dilahirkan sebagai lelaki memang banyak cabaran, tak terkecuali juga wanita. Tetapi dugaan si jejaka dikatakan lebih mencabar apatah lagi bergelar ketua keluarga.


Lelaki biasa menangis bila...

  • Kehilangan orang yang disayangi kerana kematian. Lelaki jarang menunjukkan rasa lemahnya kerana mungkin bimbang sifat maskulin akan pudar.
  • Apabila sesuatu hubungan terputus di tengah jalan. Siapa cakap lelaki tak ada perasaan apabila perempuan idamannya minta putus atau berubah hati. Hati tetap rasa tersentuh dan bagai direntap. Jalan mudah, menangis sambil berpura-pura tidur.
  • Gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki. Lelaki yang bertanggungjawab akan merasa tercabar sekiranya dia gagal memberikan nafkah kepada isteri atau anaknya lalu diluahkan dengan linangan air mata.
  • Bergaduh atau berselisih faham dengan isteri. Seorang lelaki mungkin akan mengalirkan air mata jika isteri bersikap tidak ambil peduli atau tidak tahu menahu mengenai keperluan ataupun tak ambil kisah perasaan mereka.
  • Melihat anak atau isteri menderita sakit. Lelaki punya hati yang keras dan tak mudah dipecah tetapi bila diuji Tuhan dengan menimpakan penyakit berbahaya kepada orang yang disayangi termasuklah ahli keluarga.
  • Terharu dan terlalu gembira sehingga mengalirkan air mata kesyukuran. Lelaki yang pernah menangis untuk hal seperti ini adalah lelaki yang berhati lembut dan sensitif.
  • Gagal dalam pelajaran atau kerjaya juga boleh menyebabkan kaum lelaki berlinangan air mata.
  • Berita Harian: Mutakhir

    Utusan Online