Sehubungan itu, Persatuan Urologi Malaysia (MUA) mengumumkan satu kajian epidemiologi ‘cross-sectional’ bagi mengenal pasti kelaziman benign prostatic hyperplasia (BPH) dan mengesan barah prostat pelbagai peringkat umur dan kumpulan etnik di Malaysia.
Kajian itu dilancarkan bagi tujuan umum kelaziman BPH dan pengesanan barah prostat di kalangan kumpulan sasaran dalam masyarakat, terutama di Lembah Klang, Perak Selatan, Pahang Barat dan Negeri Sembilan Utara.
Didorong kekurangan data mengenai corak gejala saluran kencing bawahan atau lower urinary tract symptom (Luts) di kalangan lelaki di Malaysia, kajian itu akan mengumpul maklumat mengenai BPH dan barah prostat bertujuan memahami dengan lebih baik mengenai pesakit yang mempunyai risiko mendapat penyakit itu.
Ketua Perkhidmatan Urologi dan Ketua Jabatan Urologi Hospital Selayang, Datuk Dr Rohan Malek berkata, BPH ialah keadaan pembesaran kelenjar prostat dan bukan barah yang biasanya terjadi di kalangan lelaki berumur lebih 50 tahun.
“Kelaziman BPH adalah lebih 50 peratus di kalangan lelaki berumur 60 tahun sementara bagi lelaki berusia 85 tahun ke atas, kelaziman BPH lebih 90 peratus. BPH juga mewujudkan gejala urinari yang mengganggu serta menjejaskan gaya hidup dan corak tidur pesakit.
“Walaupun BPH bukan penyakit barah, beberapa kerumitan mungkin timbul disebabkan ia penyakit progresif. Jika tidak dirawat, wujud risiko pembedahan berkaitannya atau kerosakan buah pinggang,” katanya ketika ditemui di Akademi Perubatan Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kajian mengenai kelaziman BPH dan pengesanan barah prostat akan menganalisa data yang diperoleh dari lapan pusat pemeriksaan di sekitar Lembah Klang. MUA berharap mendapatkan 3,000 peserta daripada dua latar belakang kota dan luar bandar selain kumpulan etnik berbeza bagi kajian ini.
Memandangkan kelaziman penyakit prostat lebih tinggi bagi golongan lelaki tua, kajian itu akan lebih tertumpu kepada lelaki berusia 50 tahun ke atas.
Mereka yang menepati profil kelayakan digalakkan mengunjungi pusat pemeriksaan berdekatan kediaman mereka. Pemeriksaan percuma dijalankan setiap hujung minggu pada bulan ini di Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Hospital Serdang, Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh.
Sementara itu, Presiden MUA dan Ketua Unit PPUM, Prof Azad Hassan Abdul Razack berkata, sudah banyak perbincangan mengenai pemeriksaan barah prostat diadakan secara besar-besaran.
“Protokol pemeriksaan seumpama ini diharap dapat membantu mengatasi isu keberkesanan kos bagi menjalankan pemeriksaan secara besar-besaran di Malaysia yang berkemungkinan ada potensi membantu untuk lebih memahami sifat barah prostat di kalangan lelaki di negara ini,” katanya.
Di Malaysia, barah prostat mewakili 7.4 peratus daripada kes barah di kalangan lelaki. Sejumlah 735 kes dilapor dan didaftarkan, menjadikannya jenis barah keempat paling biasa bagi kaum Adam.
Lazimnya barah ini membesar secara perlahan. Kajian bedah siasat menunjukkan ramai lelaki berumur (ada juga lelaki muda) yang mati akibat penyakit lain juga menghadapi barah prostat yang tidak pernah mendatangkan masalah ketika hayat mereka.
“Kami menggesa lelaki warga Malaysia berusia 50 tahun ke atas mengambil bahagian dalam pemeriksaan ini,” kata Ketua Unit Urologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Brigadier Jeneral Datuk Dr Selvalingam Sothilingam.
Beliau berkata, pencegahan dan pengesanan BPH serta barah prostat peringkat awal penting bagi mengelak kerumitan pada masa depan di samping mengurangkan inflasi kos penjagaan kesihatan besar akibat masalah kesihatan.
SOALAN BIASA
Kanser prostat adalah ketumbuhan sel tidak normal dalam kelenjar prostat, manakala prostat ialah kelenjar yang mengelilingi uretra dan terletak di bawah pundi kencing lelaki yang juga dikenali sebagai karsinoma prostatik.
Kanser prostat berlaku apabila sesetengah sel di kelenjar prostat melalui perubahan tertentu di luar kawalan. Ia mula membiak, membesar dan merebak dalam keadaan tidak terkawal yang kemudian ke bahagian badan lain, terutama tulang dan organ tertentu.
Penyebab kanser prostat masih tidak diketahui hingga kini, tetapi sesetengah pengkaji percaya kanser ini disebabkan hormon lelaki, terutama hormon testosteron. Hormon ini bertindak mempercepatkan pembentukan kanser prostat.
1. Kerap buang air kecil
2. Aliran kencing lemah
3. Mati pucuk
4. Ada darah dalam air kencing
5. Sakit sewaktu buang air kecil
6. Sukar mengawal rasa buang air kecil
7. Sering berasa sakit di pelvis, saraf tunjang, pinggang dan tulang dada
1. Sejarah keluarga
2. Pemakanan
3. Peningkatan usia
4. Pendedahan kepada bahan tertentu seperti kadmium, getah dan logam
5. Penduduk Amerika dan Eropah mempunyai risiko lebih tinggi mendapat kanser ini berbanding Asia
1. Pembedahan dikenali sebagai prostatektomi yang biasa dijalankan bagi membuang bahan tersumbat pada uretra
2. Radioterapi bagi memusnahkan sel kanser pada peringkat awal kanser prostat. Kesan daripada rawatan ini pesakit mungkin mengalami mati pucuk, gangguan pembuangan air kecil, dan saluran uretra menjadi sempit
No comments:
Post a Comment