Saturday, July 23, 2011

Grand Livina berbaloi

“CUN model ini, harganya pun berpatutan dan boleh bawa ramai penumpang,” kata seorang lelaki yang menegur penulis ketika merakam gambar kenderaan pelbagai guna (MPV), Nissan Grand Livina yang berwajah baru di Putrajaya, baru-baru ini.
Model ini diibaratkan rumah kedua bagi mereka yang suka menghabiskan masa beriadah bersama keluarga.

Harga Grand Livina juga berpatutan dan berbaloi dimiliki sebagai kenderaan jenama bukan keluaran tempatan.

Selain memuatkan tujuh penumpang, ruang kabinnya terutama bahagian kerusi kedua dan ketiga boleh dilipat untuk mengisi barang atau tempat tidur kanak-kanak.


Pelbagai cara boleh dibuat dengan MPV ini dan ia bergantung kepada kreativiti pemiliknya.

Model yang dikeluarkan beberapa tahun lalu ini muncul dengan wajah lebih sporty dan kontemporari dari segi penampilan dan gaya.

MPV yang dilancarkan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) beberapa minggu lalu, disuntik dengan ciri-ciri lebih baik dan dipertingkatkan khas kepada pelanggannya.

Grand Livina ini mendapat perubahan pada bentuk luarannya termasuk jeriji krom pada bahagian depan yang tampak bergaya untuk membezakan dengan model terdahulu.

Selaras dengan meningkatkan keselamatan, model ini ditambah dengan cermin sisi yang dilengkapi lampu isyarat LED yang baru, sekali gus mengekori gaya terkini.

Apa yang menarik, model pandu uji ini ditambah beberapa aksesori talaan Impul seperti spoiler belakang, bampar hadapan dan sisi kenderaan untuk kelihatan sporty.
 Bagaimanapun, aksesori ini dijual secara berasingan.

Paling ketara untuk membezakan model terdahulu adalah pada ruang kabinnya, kerana Grand Livina yang ditingkatkan ini dipadankan kerusi balutan kulit warna gelap.

Ini memberikan impak eksklusif yang membuatkan jentera ini lebih mantap serta menyediakan keselesaan optimum kepada penumpangnya.

Kerusi bahagian kedua yang senang digerakkan membolehkan penumpang barisan ketiga keluar masuk dengan mudah.

Bagaimanapun, kerusi bahagian ketiga sesuai untuk kanak-kanak atau dewasa bersaiz kecil kerana bumbungnya agak rendah.

Selain itu, MPV bukan nasional terlaris ini mendapat kemasan warna hitam dan memberi ruang dalamannya yang luas dengan gaya sporty.

Penampilan itu diserlahkan lagi melalui instrumen dengan latar belakang putih supaya lebih mudah dibaca dan pemain audionya dipadankan input Auxiliary untuk kegunaan audio mudah alih.

Walaupun bentuknya besar sedikit, ia tidak menjadi masalah kepada Grand Livina untuk mendaki laluan bukit atau memotong kenderaan di lebuh raya.

Grand Livina 1.8L ini menggunakan enjin MR18DE empat silinder DOHC 16 injap dengan sistem pemasa injap CVTC yang menawarkan penjimatan bahan api menakjubkan tanpa mengorbankan prestasinya.

Enjin aluminium sepenuhnya ini menghamburkan 123 kuasa kuda (hp) pada 5,200rpm manakala tork juga sangat memberangsangkan iaitu pada 174Nm pada 4,800rpm.

Grand Livina 1.8L hanya ditawarkan dengan transmisi automatik empat kelajuan dengan butang overdrive (O/D) yang berguna.

Selain itu, jentera ini dipadankan dengan suspensi topang bebas MacPherson dengan bar penstabil membuatkannya seakan sama dengan sebuah kereta sedan.

Ketika mencuba mengambil selekoh, penulis berasa selesa dengannya kerana ia mudah dikawal dan tidak terasa untuk membuang.

No comments:

Post a Comment

Berita Harian: Mutakhir

Utusan Online