Friday, August 26, 2011

Focus Sport TDCi


JIKA masuk ke dalam sidang media selepas sesebuah kereta dilancarkan, anda akan dapat mengetahui paten soalan yang bakal ditanya. Soalan-soalan itu juga secara langsung boleh dikaitkan dengan meja mana wartawan tersebut bertugas.
Kalau wartawan ekonomi, soalan kegemaran mereka pastinya berkaitan dengan angka. Misalnya, berapa sasaran jualan, penguasaan pasaran, perancangan untuk program pemasangan tempatan (CKD), isu panggilan semula di pasaran global (jika ada) dan soalan-soalan yang berkaitan dengannya.
Wartawan pemotoran pula, soalan mereka jauh berbeza. Selain soalan berapa banyak diskaun boleh diperoleh kalau kereta itu dibeli, mereka juga gemar bertanya mengenai aspek teknikal. Ada kalanya soalan yang dikemukakan itu terlalu terperinci, sehinggakan panel merasakan tempoh soal jawab tersebut cukup lama.
Satu ketika dahulu, sekiranya pelancaran kereta itu melibatkan pengeluar Eropah ada satu soalan wajib yang akan ditanya. Soalannya ialah bila dan kenapa mereka masih belum membawa masuk kereta dengan pilihan enjin diesel.
Kalau diikutkan, jawapan yang bakal diterima sudah dapat diagak. Namun, ia tetap ditanya kerana mereka (wartawan pemotoran) mengharapkan ada berita baik mengenainya. Namun, sehingga ke hari ini nyata tidak banyak yang berubah. Akhirnya, soalan itu tidak lagi ditanya.
Berbeza dengan pengeluar dari Jepun yang gemar mengaplikasikan teknologi hibrid dan elektrik, pembuat kereta Eropah memilih teknologi diesel untuk mendapatkan penjimatan serta mengurangkan pengeluaran gas berbahaya daripada ekzos kenderaan.

Enjin diesel mereka cukup maju. Namun, kemajuan itu turut datang dengan kekangan tersendiri. Enjin-enjin itu tidak boleh menelan minyak diesel bersulfur tinggi sebagaimana yang ditawarkan di stesen-stesen minyak di seluruh negara kita.
Diesel Euro 2M
Malaysia sememangnya ketinggalan dari aspek penggunaan minyak diesel berkualiti tinggi. Ketika orang lain sudah menggunakan diesel dengan piawaian Euro 5, kita masih menjual diesel yang tahapnya cuma Euro 2M. Ibaratnya, satu berkualiti seperti air sungai di Ulu Yam dan satu lagi kotor macam air sungai Kelang.
Kadar sulfur yang tinggi dalam diesel Euro 2M memang tidak sesuai untuk enjin diesel moden. Sebab itulah pengeluar seperti Mercedes-Benz dan Volkswagen masih menunggu masa terbaik untuk memperkenalkan jentera diesel mereka di sini.
Kekangan itu bagaimanapun tidak menghalang beberapa jenama misalnya BMW dan Ford untuk menawarkan jentera diesel mereka untuk pengguna tempatan.
Ketika BMW hanya mampu dimiliki oleh mereka yang berpoket tebal, Ford tampil dengan model diesel yang diangkat daripada model hot hatch popularnya, Focus. Harganya juga lebih munasabah, masih boleh dimiliki oleh orang kebanyakan.
Ford Focus Sport TDCi, itulah kereta yang saya pandu uji hingga ke Jitra, Kedah baru-baru ini. Sepanjang tiga hari memandunya, banyak perkara yang disenangi mengenainya. Mungkin kedengaran keterlaluan, tetapi memandu jentera itu sebenarnya amat menyeronokkan.
Keterujaan tersebut banyak disumbang oleh kuasa yang dialirkan oleh unit enjin diesel 2.0 liter ke roda hadapannya. Kuasa tork berjumlah 320Nm itu boleh dicapai ketika jarum rpm hanya mencecah 2,000 rpm! Maksudnya, sebaik sahaja pedal minyak ditekan, Focus Sport TDCi seperti sudah tidak sabar-sabar untuk meluncur ke hadapan.
Itulah antara kelebihan utama enjin diesel, anda akan berasa kereta seperti begitu ringan kerana kuasa torknya yang banyak. Ini membuatkan tugas untuk memulakan perjalanan di lampu isyarat dan memotong kenderaan semakin senang.
Kuasa enjin diagih dengan bijak oleh kotak gear Powershift enam kelajuan automatik buatan Getrag. Pertukaran gear dapat dilakukan dengan pantas dan tepat, sehinggakan mode manual seakan-akan tidak berguna lagi.
Kombinasi itu menghasilkan tahap penggunaan bahan api yang cukup bagus. Untuk satu tangki penuh, saya mampu mencapai perbatuan hampir 1,000 kilometer. Kalau dipandu lebih perlahan, saya yakin angka yang lebih besar tidak sukar untuk dicapai.
Anda bercakap tentang sebuah Ford Focus, jadi tidak perlulah ragu-ragu mengenai kualiti pengendaliannya. Ini model yang mempunyai nama besar dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC). Maka, sudah pasti kerangka tubuhnya cukup rigid sebelum dipadankan dengan suspensi yang memastikan keempat-empat tayarnya melekat di atas jalan raya ketika selekoh diambil dalam kelajuan tinggi.
Bagi saya, ruang kabin Focus Sport TDCi memerlukan proses ubah suai. Papan pemuka dengan corong pendingin hawa berbentuk lonjong dan set audio dalam perumah berwarna perak itu jelas membosankan.
Dari aspek luaran pula, tiada apa yang berbeza dengan Focus berenjin petrol, kecuali pelekat dan emblem TDCi yang dilekatkan padanya. Rekaan hatchback itu kekal kemas dan ringkas.
Di sebalik bunyi enjinnya yang seperti trak pikap, Focus Sport TDCi menawarkan penjimatan, kuasa dan pengandalian mengagumkan. Apa lagi yang anda mahukan?

Sunday, August 21, 2011

Jualan Gudang sempena hari raya

Sempena menyambut aidilfitri yang akan kunjung tiba xbeberapa lama lagi,Banyak Jualan Gudang yang diadakan sekitar Shah Alam...dengan menawarkan potongan sehingga 70%.
Saya antara salah seorang yg akan menjadi pengunjung tetap dijualan gudang tersebut..
Ada diantaranya hanyalah mengaburi mata kita dengan potongan yang menarik....

Antara jualan gudang yang terbaik,yg betul-betul gudang adalah bertempat di sek 27 belakang Produa Showroom...
bagi mereka yg tidak mementingkan jenama ini adalah tempatnya

Tengah hari tadi sempatlah saya beli 5 pasang kasut yang kesemuanya berharga RM55

Oklah sempena memyambut kedatangan Syawal xbersps Lama lagi, Saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya aidilfitri
dan  Maaf Zahir & Batin..

Tuesday, August 16, 2011

STATUS HALAL KFC DARI JAKIM


SOALAN
saya baru mendapat email tentang status halal ayam kfc.mengikut email diberitahu tentang cara penyembelihan kfc tidak mengikut hukum. contohnya disembelih oleh perempuan, ayam yg mati bukan disebabkan sembelih tetapi terus direndam dalam air panas selepas disembelih,maknanya ayam berkenaan mati disebabkan air panas tersebut.saya menjadi was2 untuk makan kfc tapi status halal masih terdapat pada produk tersebut.email itu pula adalah pengalaman dari bekas2 pekerja kfc sendiri iaitu mereka sendiri yang melihat cara penyembelihan ayam itu.

JAWAPAN DARI JAKIM :
KEPADA SESIAPA YANG BERKENAAN, Isu Ustaz Daud Che Ngah dan Ayam KFC / Produk AYAMAS Saya merujuk kepada email FITNAH yang masih terus disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab berkaitan dengan perkara diatas yang sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti dan integriti KFC dan QSR Brands (M) Berhad sebagai sebuah syarikat yang dikuasai oleh Jcorp melalui Kulim Berhad sejak Julai 2006 dalam industri penyediaan makanan Halal. Sejak pengambil alihan tersebut, diantara perkara UTAMA dan TERPENTING diambil tindakan oleh pihak pengurusan syarikat ialah penubuhan Jabatan Shariah & Pematuhan Halal yang mengendalikan ursuan berkaitan pemantauan Halal dalaman bagi mempastikan semua produknya disediakan selamat dan Halal dimakan oleh umat Islam. Dengan panduan yang diberi oleh Majlis Penasihat Shariah, jabatan ini bukan sahaja bergantung kepada pemantauan bebas HDC (dulunya JAKIM) dalam soal pematuhan Halal oleh setiap unit bisness di dalam syarikat kumpulan nya, malah, lebih jauh daripada itu syarikat telah mewujudkan Unit Audit Halal yang mengambil tanggung jawab memantau dengan rapi setiap tahap penyediaan dan proses produk keluaran nya. Selain mematuhi piawaian Halal yang terkandung dalam MS 1500:2004 yang berkaitan dengan penyediaan makanan Halal, panduan persijilan Halal JAKIM, GMP, HACCP dan piawaian Jabatan Haiwan Malaysia, Jabatan Shariah & Pematuhan Halal telah mewujudkan satu sistem jaminan Halal komprehensif dalam semua rantaian makanan daripada �farm to fork�. Sebaran email FITNAH (sejak 23 tahun yang lalu) yang berterusan itu amat tidak adil, tidak bertanggung jawab dan sesungguhnya memperlihatkan sifat mungkar penyebarnya dan yang meneruskan penyebaran nya secara berterusan dan menyebarnya secara meluas tanpa sedikitpun mengambil kira kesahihan nya (suatu sifat keji yang dilarang oleh agama) dalam keadaan semasa. Disertakan bersama-sama ini surat penafian dan rasa kekesalan yang dibuat oleh Ustaz Daud Che Ngah (yang kini bergelar Datuk) berhubung penyebaran fitnah tersebut secara berterusan sehingga hari ini. Oleh yang demikian, sekiranya benar-benar ingin mencegah kemungkaran, dan membantu kami dalam melaksanakan fardu kifayah menyediakan makanan Halal kepada masyarakat, email berkenaan seharusnya tidak lagi disebar atau dihiraukan bagi mengelakan kita turut bersubahat dengan kemungkaran menyebar FITNAH. Sebaliknya, sebarluaskanlah email saya ini agar kebenaran mengatasi kepalsuan dan akhirnya kita semua memperolehi keberkatan, InsyaAllah. Sebarang masaalah dan kemusykilan berkaitan isu ini perlu disusul dan dipastikan kesahihan nya dengan piahk JAKIM dan HDC sebagai pengawal selia persijilan Halal di Malaysia atau boleh menghubungi terus Jabatan Shariah & Pematuhan Halal QSR Brands / KFC (M) Berhad email: halal@kfcholdings.com.my bagi mendapatkan kepastian. Sekian, Wassalam Mohd Roslan bin Mohd Saludin, Setiausaha, Majlis Penasihat Shariah QSR Brands / KFC Holdings (M) Berhad

UNTUK LEBIH LANJUT BOLEH RUJUK KE WEB JAKIM http://www.halaljakim.gov.my/

Monday, August 15, 2011

Mentega mengandungi DNA babi

Mentega mengandungi DNA babi

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan mentega jenama ‘Pure Creamery Butter-Golden Churn’ yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata, keputusan itu dibuat selepas, mendapati produk itu datang dari kilang yang sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya berbeza.

“Perkara ini disahkan wakil syarikat Ballantyne Food dari New Zealand. Berikutan itu, umat Islam diminta tidak menggunakan produk tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Othman juga meminta pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan Halal dari Jakim atau jabatan agama Islam negeri yang menggunakan produk tersebut, menukarnya kepada yang mempunyai sijil halal serta mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru.

Othman berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada syarikat pengimport dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari pasaran.

Pada 19 Julai lepas, Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi DNA (asid

Friday, August 12, 2011

"Abang,tunggu mak di syurga ya"


Salam semua ,hari ini saya nak kongsi story yang saya ambil dari FB kawan saya,ceritanya menarik jadi jom kita hayatinya sama2.Hargai & sayangi org2 disekeliling kita sementara mereka masih bernyawa.....
Kisah Benar : "Abang,tunggu mak di syurga ya"
Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.
Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.

"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.
Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.

"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"
Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.
Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.

Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.
Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.
Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.

Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.
Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?
Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.
Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang.
Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.

Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.
Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari.
Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.

Januari 2011- Perut abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak,sudah 'reput'. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk abang.

26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah!
Hah Hah.. Tergelak mak.Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah,
Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta.
Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.
Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.

7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang.
Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi.
Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi.
Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan abang? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!"
Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahumereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi.
Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.

13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang.
Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab: "Mak, abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab: "Balai bomba!"

Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.
Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu: "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!"
Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus diacapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu.

Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembiru sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?"
Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!"
Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?"
Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.

Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup lihat abang lama-lama. Sedih agaknya.
Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung abang.
Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak peri,semuanya mak tunaikan!
Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam abang teringin nak makan. Martabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikanwalaupun makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi!
Apa saja yang teringin oleh tekak abang, semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan.
Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin suntuk!

27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaringsambil memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!"
Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.

5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!"
Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada hari ini. Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang datang melawat.
Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan yang mak terkilantak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk lori sampah.

7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini.
Rupa-rupanya, tengah hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek lori yang abang mahukan sebelum ini.
Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sanka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta.
Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria, wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik.

8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar lemah. Abang sekadar terbaringmerenung kek itu.
Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang, bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.
Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: "Mak tahu abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak pergi.

"Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun seketika!"
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia
Abang pada tahun 2007.

9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap-cungap menarik nafas.
Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan minum pun tak mahu. Pakul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai.
Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.

Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan-jalan.
"Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak taj sinar matahari tu? Cantikkan?"
Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu.
Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak.
Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.
"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja."
Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba!
Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut..!"
Dan abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang.

"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang. Pergilah abang. Mak izinkan abang pergi!"
Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalammata abang yang semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan tangisan kamu!"

Mak marah mereka buat begitu pada abang. Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput abang.
Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya.
Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!" Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...

Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillah... Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang: "Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak menangis?
Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.
Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.
Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang.
Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.
Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan.
Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tak perlu menangis lagi.

Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.
Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidka lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa)

Wednesday, August 10, 2011

REKAAN Mazda2 yang segar membuatkannya mudah diminati oleh pengguna kenderaan daripada segenap usia.



BEBERAPA tahun lalu, saya dan beberapa orang rakan pernah menghadiri prebiu program di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kata Profesor Kanan semasa program itu, kami tidak terlalu percaya dengan promosi besar-besaran. Jika program yang ditawarkan bagus, maka dengan sendirinya pelajar akan datang mencari.
Ayat yang lebih kurang sama saya dengar sekali lagi. Kali ini daripada Wan, seorang rakan yang menjual kereta Mazda. Menurutnya, Mazda jarang mempromosikan produknya dalam media kerana bosnya percaya bahawa produk yang baik akan dicari orang.
Apa yang dikatakan oleh mereka berdua ada benarnya. Mazda berada dalam kelasnya tersendiri. Produknya menyerlah andai dibandingkan dengan pengeluar kereta Jepun yang lain.
Bukti paling nyata ialah apabila Mazda2 memenangi Kereta Dunia 2008 (World Car of the Year). Anugerah itu nyata membuka mata saya terhadap kereta bandar ini dan Mazda secara amnya.
Falsafah Zoom-Zoom
Mazda membawa falsafah Zoom-Zoom yang bermakna perkara serius dijadikan perkara yang menyeronokkan. Caranya adalah dengan menyuntik elemen sporty dalam barisan kenderaan keluarannya.
Beberapa minggu lalu, saya memandu Mazda CX7, sebuah SUV ala Honda CR-V. Perkara yang menarik perhatian saya ialah rekaan sterengnya yang lari daripada kebiasaan, seperti kereta lumba 60-an.
Bayangkan sebuah SUV berharga lebih RM170,000 mempunyai rekaan tersebut. Anda tidak akan menjumpainya pada mana-mana pengeluar kereta Jepun. Selain itu, rekaan kenderaan Mazda juga sangat berbeza. Tubuhnya penuh dengan laluan-laluan angin dan lekuk-lekuk.
Impresi pertama
BUTANG-BUTANG kawalan yang ada pada papan pemuka Mazda2 dikoordinasi dengan baik.
Baru-baru ini, saya berpeluang memandu uji Mazda2 R Grade. Pandu uji itu bagaimanapun agak singkat, tidak sampai 10 kilometer (km) pun. Tujuannya adalah untuk menjamah sedikit’ produk terkini Mazda selepas kali terakhir memandu Mazda Fighter kira-kira sembilan tahun lepas.
Impresi pertama apabila masuk ke dalam Mazda2 ialah postur kerusi yang kena dengan badan saya yang agak tinggi. Sementara butang-butang kawalan pada papan pemuka mudah dicapai. Pandangan ke hadapan agak selesa. Sterengnya tidak kasar dan sedap dipegang.
Sesudah kereta bergerak, perkara pertama yang diuji ialah daya pecutannya. Sebaik sahaja pedal ditekan kuat, ternyata kereta itu ada kuasa, tidak lembap dan lebih kurang sama dengan Honda Jazz GD. Maksudnya, Mazda2 tiada masalah untuk memotong kereta hadapan yang dipandu oleh mereka yang suka bersiar-siar dan membiarkan kereta di belakang beratur panjang.
Stereng berat
Ujian seterusnya adalah aspek pemanduan dan pengendalian. Perkara pertama yang saya perasan, stereng dengan teknologi Electronic Power Assist Steering (EPAS) itu sedikit berat. Ciri itu bagus kerana stereng yang terlampau ringan dan tidak offset sewaktu kelajuan tinggi akan menyebabkan kereta berasa terapung-apung, sekali gus tidak memberi keyakinan kepada pemandu.
Situasi begitu berbahaya kerana pemandu tidak memegang kemas stereng sewaktu memandu laju dan akan sibuk membetulkan stereng. Seterusnya mengganggu konsentrasi pemanduan.
Tamat laluan lurus, saya membelok kereta itu untuk mengujinya pula pada selekoh. Pedal minyak sengaja ditekan untuk melihat sejauh mana Mazda2 dapat mengekalkan kestabilannya.
Pada kelajuan sederhana, olengan tubuh Mazda2 tidak terlampau teruk. Kereta masih lagi stabil mengikut garisan selekoh yang dipilih.
Sebagai pemandu, anda harus cerewet dalam hal ini kerana kereta yang pengendaliannya gagal adalah merbahaya. Sebabnya, pemandu mungkin terkejut apabila arah kereta tidak selari dengan putaran stereng.
Selepas ujian selekoh, satu lagi perkara yang saya gemari ialah melalui jalan berlopak. Kereta yang bagus mempunyai casis tegar dan mampu menyerap hentakan dengan selesa. Kereta yang terhentak kuat dan tidak ‘settle’ ketika melalui jalan tidak rata boleh dianggap sebagai mempunyai struktur casis yang biasa-biasa sahaja.
Paling dahsyat apabila kereta bergegar apabila melanggar lopak atau lubang. Untuk Mazda2 yang kualiti pengendalian dan tahap gegarannya lulus, lopak yang dilalui diserap dengan baik.
Pesaing berbahaya
Ini kereta paling ideal untuk kegunaan bandar. Ia juga sesuai untuk pemanduan jarak jauh kerana keselesaan yang ditawarkannya biarpun bersaiz kompak, dengan syarat anda tidak membawa beban yang banyak.
Kini Mazda2 mempunyai pesaing yang paling berbahaya iaitu Ford Fiesta. Fiesta berkongsi platform yang sama, tetapi mewah dari aspek spesifikasinya dan lebih murah.
Walau bagaimanapun, jika dinilai dari segi rekaan, saya memilih Mazda2. Kereta itu tidak memerlukan rekaan yang terlampau menonjol untuk memberitahu kepada dunia bahawa ia adalah cantik. Rekaannya tenang dan bersahaja dengan wajah yang sentiasa senyum. Inilah semangat Zoom-Zoom!


D-Max 2011 lebih maskulin

ISUZU D-Max 2011 dijual pada harga antara RM85,000 hingga RM96,000 seunit bergantung kepada varian.

ISUZU D-Max 2011 yang menerima penambahbaikan menerusi pelbagai ciri bergaya telah diperkenalkan baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Takashi Hata menjelaskan bahawa rekabentuk serta ciri-ciri baharu yang ada pada Isuzu D-Max sememangnya mampu menarik perhatian pengguna yang memanfaatkan keupayaan D-Max untuk memenuhi gaya hidup aktif mereka.
"Memiliki keupayaan menyeluruh, ciri pemanduan unggul, selain ditawarkan pada harga agak rendah, Isuzu D-Max menjadi pilihan popular mereka yang inginkan sebuah trak pikap serba boleh," kata Hata.
Memberi penekanan terhadap gaya, pembaharuan pada Isuzu D-Max 2011 bertumpu kepada penampilannya. Ini merangkumi penawaran dua warna baharu iaitu putih dan hitam sekali gus menjadi tambahan kepada pilihan lima warna menarik sedia ada.
Pada bahagian hadapan, rekaan bampar menggabungkan pelindung bampar yang baharu. Ciri ini menjadikan D-Max kelihatan lebih agresif terutama melalui dua tona warna yang menyerlahkan garisan pada trak pikap ini. Bahagian sama juga dilengkapi dengan lampu kabus yang diletakkan di dalam penutup berkrom bagi meningkatkan lagi gaya sporty.
Satu lagi aspek yang meningkatkan gaya sporty Isuzu D-Max adalah penggunaan rim sport baharu.
Pemijak kaki pada bahagian sisi telah direka semula. Ia bukan sahaja membantu menampakkan garisan D-Max dengan lebih nyata, malah memudahkan penumpang untuk turun dan naik kenderaan. Ia juga dipasang dengan roll bar baharu.
Dengan kemasan tekstur aloi, rekaan roll bar itu memudah dan menyediakan tempat yang selamat untuk menyimpan barang-barang besar di bahagian kargo trak.
Di dalam kabin, Isuzu D-Max memiliki dimensi serba baharu melalui penggunaan kemasan hitam bagi menggantikan warna kelabu pada model sebelumnya. Skema warna baharu ini meliputi papan pemuka, panel pintu, tiang serta lapik bumbung. Sementara kemasan krom pada bingkai ruang penyaman udara, pembesar suara serta tuil gear menyempurnakan lagi ruang dalamannya.
D-Max dijana oleh unit enjin Super Commonrail 2.5 liter dan 3.0 liter atau enjin 2.5 direct injection. Enjin-enjin tersebut disifatkan sebagai antara enjin diesel paling moden.
Isuzu D-Max 2011 boleh didapati di semua pusat jualan sah Isuzu di seluruh negara. Maklumat lanjut, hu tahu mesila layari www.isuzu.net.my atau hubungi 1-300-88-1133.

Fortinet kesan virus Android


PEMBEKAL keselamatan rangkaian terkemuka dan peneraju dunia dalam penyelesaian pengurusan ancaman bersepadu (UTM), Fortinet mengeluarkan laporan Landskap Ancaman menemui virus baru Zitmo yang direka untuk menyerang sistem operasi Android.
Zitmo juga akan menyebarkan malware untuk ke seluruh platform mudah alih lain seperti Windows Mobile, Symbian dan BlackBerry. 
Strategis Kanan Keselamatan Fortinet, Derek Manky berkata, Zitmo mampu menghalang dua faktor pengesahan yang digunakan bank untuk mengesahkan identiti pemegang akaun ketika ‘log in’.

“Ia mula dikesan pada sistem operasi Symbian pada September 2010 lalu yang bertujuan untuk menyusup masuk dalam sistem pengguna,” katanya.

Katanya, walaupun pengguna mudah alih tidak bergantung pada kaedah dua faktor pengesahan terbabit bagi perbankan, Zitmo boleh menyelinap masuk dan mengintip semua khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadikannya ancaman yang tidak boleh dipandang ringan.

“Kebanyakan jangkitan yang kita lihat seperti ini di makmal kami hampir menyamai W32/Exchanger dan dikenali sebagai ‘loaders’,” kata Manky.

Pada 24 Julai lalu, FortiGuard Labs memerhatikan lonjakan kegiatan virus W32/Exchanger Trojan Downloader yang dipindah turun dan dipasang dalam kategori 10 malware yang berlainan menyebabkan sistem menjadi tidak stabil dan akhirnya ‘crash’.


Kad data terpantas Huawei


HUAWEI, penyedia rumusan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkemuka, memperkenalkan buat pertama kalinya di dunia kad data ‘pasang dan terhubung’, HiLink E353.
Dikuasai oleh beberapa teknologi yang dipatenkan, HiLink E353 secara automatik menghubungkan pengguna ke Internet sepantas 15 saat sebaik ia dimasukkan ke pelabuh USB tanpa perlukan masa untuk proses dail masuk, memasang perisian pemacu atau konfigurasi manual. 
Tempoh itu adalah 75 peratus lebih pantas berbanding produk sedia ada di pasaran.

HiLink E353 adalah produk pertama serasi dengan rangkaian EDGE/GPRS/GSM dalam siri HiLink Huawei yang menyokong rangkaian HSPA+ dengan kelajuan pindah turun 21Mbps.

Presiden Jalur Lebar Mudah Alih, Peranti Huawei, Wu Shimin berkata, syarikatnya sentiasa komited untuk menyediakan pelanggan dengan produk yang mudah digunakan sambil memberikan pengalaman penggunaan yang optimal.
“Pelanggan adalah keutamaan strategi kami, dan kami berada jauh di depan dalam pembangunan kad data dengan beberapa teknologi yang menerajui industri.

Teknologi kad data generasi keempat, siri HiLink ini sekali gus akan merubah lanskap industri selepas kira-kira setahun melalui tempoh penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

RENAULT LAGUNA COUPE

Sentuhan Perancis buka selera


SEPERTI ada tarikan tersendiri yang membuatkan kereta dengan rekaan coupe dua pintu menarik perhatian pengguna jalan raya lain.
Sinonimnya kenderaan coupe bentuk kereta sport sedan yang selalunya berpintu empat berkurangan menjadi dua pintu

Jelasnya, jentera kategori ini pasti memenuhi keperluan pemandunya yang mahukan kereta bergaya, prestasi dan unik sekali gus menampilkan imej maskulin.

Satu daripada kenderaan kategori itu yang ditawarkan di negara ini ialah Renault Laguna Coupe edaran TC Euro Cars (TCEC) diperkenalkan tahun lalu.



Model ini menerapkan rekaan pertama kali dihasilkan untuk model konsep Fluence yang diperkenalkan pada Pameran Motor Frankfurt 2007.



Laguna Coupe juga diperkenalkan buat tatapan dunia pada Pameran Motor Paris 2008 dengan mempamerkan ciri rekaan menarik serta direka untuk memberikan kepuasan optimum kepada pemandu.

Ia turut mendapat jolokan sebuah kenderaan direka dengan ketelitian seni yang tinggi dan sekali gus meletakkan Laguna Coupe ini kenderaan gaya hidup moden.

Model yang menerima sentuhan Perancis ini pastinya ‘membuka selera’ orang muda yang mahukan penampilan sporty dan kuasa enjin mengagumkan.

Bentuknya kenderaan ini berukuran panjang 4.64 meter dan lebar 1.81 meter memberi keserasian dari segi keseimbangan bentuknya dalam kereta kategori coupe.

Dari bahagian depan sudah terserlah aspek rekaan yang menonjol dan wajah utama dipengaruhi bentuk tajam dan jenis lampu utama Bi-Xenon serta gril besar.

Rekaan bahagian belakangnya pula paling menarik apabila lampu brek belakang nipis berbentuk lekuk seperti melekat pada bahagian but ke badannya.

Ternyata reka bentuknya itu membuatkan ramai pengguna jalan raya lain menjeling ketika penulis memandu ujinya, baru-baru ini.

Selain dari bentuk menawan, enjinnya juga memberi kuasa yang terbaik kepada penulis untuk terus menekan pedal minyak bagi melunjur laju di lebuh raya.

Enjinnya dibekalkan dengan kuasa bersesaran 2.0 liter pengecas turbo ini diyakini memberi daya pecutan yang cukup memuaskan selain dipadankan dengan transmisi enam kelajuan automatik.

Ia mampu menjanakan 170 kuasa kuda (hp) dan tork 270 Nm pada 3,250 rpm yang memberi keselesaan ketika memandunya pada tahap normal atau agresif.

Kelajuan dikatakan boleh mencecah hingga 220 kilometer sejam (km/j) dan hanya mengambil masa 9.2 saat untuk mencapai kelajuan antara 0 hingga 100 km/j.

Aspek pemanduannya juga mengujakan apabila saiz dan bentuk aerodinamiknya memberikan satu pengalaman menyeronokkan bagi mereka gemarkan pemanduan sporty.

Suspensinya agak keras sedikit, tetapi ia tidak mengganggu kerana ia memberi kestabilan mengambil selekoh dengan lebih stabil sekali gus mengelakkan kenderaan membuang.

Ketika menerjah bahagian dalamannya, balutan kulit pada kerusinya membuatnya tampak mewah dan selesa tidak kira pemanduan dekat atau jauh.

Kerusi yang bentuk seakan-akan separuh ‘bucket’ ini membuatkan penulis selesa ketika duduk dan tidak bergerak ketika kereta mengambil selekoh.

Keistimewaan kenderaan itu terserlah apabila menggunakan sistem audio daripada Bose yang mempunyai piawaian bunyi terbaik.

Selain itu, ia dilengkapi enam beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, ESP dan dipadankan rim dimensi 18 inci bagi menampakkan keunikan kenderaan terbabit.

Laguna Coupe dijual pada RM266,838.79 di atas jalan termasuk insurans.



SPESIFIKASI

RENAULT LAGUNA COUPE

ENJIN 

kapasiti 2.0 liter Turbo.

KUASA MAKSIMUM
170hp pada 5,000rpm 

TORK MAKSIMUM 
270Nm pada 3,250rpm 

TRANSMISI 
enam kelajuan dengan kawalan jujukan.

CIRI-CIRI KESELAMATAN
enam beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, ESP 

HARGA
RM266,838.79 di atas jalan termasuk insurans



Tuesday, August 9, 2011

Kakitangan awam dapat bonus raya

Perkara yang lama ditunggu-tunggu oleh penjawat awam ,akhirnya diumunkan juga akhirnya

PUTRAJAYA: Sebanyak 1.27 juta kakitangan awam akan mendapat duit raya apabila kerajaan mengumumkan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 yang dibayar pada pertengahan bulan ini. 

Selain itu, kerajaan mengumumkan berita gembira untuk 590,000 pesara kerajaan yang akan menerima Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500.
Ia diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara. Pembayaran bonus dan Bayaran Khas Kewangan itu membabitkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.
“Kerajaan berharap ia meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan serta membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri. 

Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam,” katanya.

Umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri pada 30 Ogos ini. Ini adalah kali ketiga berturut-turut penjawat awam dan pesara mendapat duit raya. Pada tahun lalu dan 2009, kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada kedua-dua kumpulan itu sebelum 1 Syawal.

Kali terakhir kerajaan membayar bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam adalah pada September dan Disember 2008. 
Sementara itu, Najib yang bercuti sejak 1 Ogos lalu selepas menjalani pembedahan ‘Arthoscopic’ di lutut kiri memulakan tugasnya pagi semalam.

Beliau yang tiba di pejabatnya di bangunan Perdana Putra kira-kira jam 9.40 pagi kelihatan ceria dan sihat sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib dibenarkan bertugas selepas doktor berpuas hati dengan proses penyembuhannya.

Kecederaan lama Perdana Menteri berulang selepas menendang bola ketika merasmikan pertandingan futsal di Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya pada Mei lalu. Bagaimanapun, doktor menasihatkan beliau mengehadkan aktiviti harian pada waktu ini sehingga pulih sepenuhnya.

Selain melaksanakan tugas pejabatnya, Perdana Menteri hadir pada majlis berbuka puasa bersama anggota Kabinet di kediaman rasminya di Seri Perdana petang semalam. 

Tuesday, August 2, 2011

Pemeriksaan awal cegah darah tinggi

Pemeriksaan kesihatan adalah adalah langkah terawal yang disifatkan paling terbaik dalam usaha mencegah serangan gejala penyakit darah tinggi.

Tetetapi ia mungkin bukan amalan di kalangan kita, tetapi lebih baik disegerakan pemeriksaan supaya apa juga penyakit terutama darah tinggi dapat dikesan di peringkat lebih awal.
Ini kerana penyakit darah tinggi yang dikenali sebagai pembunuh senyap itu biasanya tidak menunjukkan apa-apa tanda di peringkat awal.

Malah kata Pakar Perubatan Hospital Pusrawi, Dr. Shaharuddin Che Kadir pemeriksaan kesihatan itu menjadi lebih penting terutama kepada mereka yang tergolong dalam kategori berisiko tinggi.

"Contohnya mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, kurang aktiviti fizikal, menghidap kencing manis, mempunyai paras kolesterol yang tinggi dan sejarah darah tinggi di kalangan keluarga,'' katanya.
Beliau berkata, dengan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dapat melakukan usaha pencegahan dari awal.

"Kajian yang dilakukan di Malaysia (Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Ke 3) menunjukkan 42.6 peratus rakyat negara ini menghidap darah tinggi pada 2006,'' katanya.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 29.9 peratus semasa kajian pada 10 tahun sebelum itu.

"Kajian pada tahun 2006 juga menunjukkan hanya 36 peratus sahaja yang mengetahui mereka menghidap darah tinggi dan hanya 87.7 peratus daripada mereka yang menerima rawatan,'' katanya.
Dr. Shaharuddin berkata, sebahagian besar pesakit yang menerima rawatan pula tidak berada pada tahap pengawalan darah tinggi yang baik.

"Penyakit darah tinggi perlu dikawal dengan baik kerana ia sebenarnya menjadi salah satu penyebab utama serangan jantung, lemah jantung, angin ahmar dan kegagalan buah pinggang,'' katanya.
Mengenai punca penyakit darah tinggi, kata Dr. Shahruddin, lebih daripada 90 peratus tidak mempunyai penyebab yang khusus dan dipanggil essential hypertension.

"Walaubagaimanapun ia berkait rapat dengan faktor genetik, berat badan berlebihan, pemakanan yang tidak sihat dan peningkatan umur,'' katanya.
Selain itu, katanya, sebilangan kecil penyakit darah tinggi disebabkan oleh penyakit-penyakit lain dan dipanggil secondary hypertension.

"Antara penyebabnya ialah penyakit buah pinggang, primary hyperaldosteronismcushing syndrome dan phaeochromocytoma," katanya.
Tambahnya, terdapat juga sebilangan pesakit mengalami tekanan darah tinggi hanya bila datang berjumpa doktor yang dinamakan white-coat hypertension atau office hypertension.

"Jika mengesyaki perkara ini biasanya doktor akan menyarankan pesakit merekod bacaan tekanan darah di rumah atau membuat pemeriksaan tekanan darah menggunakan alat merekod tekanan darah yang dipakai pesakit selama 24 jam,'' katanya.
Selain itu, katanya, pemakanan juga turut mempengaruhi kemungkinan seseorang itu boleh mendapat penyakit darah tinggi.

"Kajian menunjukkan pemakanan yang sihat mengurangkan risiko penyakit darah tinggi dan juga menurunkan tahap tekanan darah pesakit darah tinggi,'' katanya.
Tambahnya, salah satu kajian klinikal dinamakan DASH (Dietary Approaches to Stop Hypertension) menunjukkan keberkesanan pemakanan yang sihat untuk menurunkan tekanan darah.

"Pemakanan DASH merangkumi meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, ikan dan kekacang,'' katanya
Diet itu juga menyarankan pengurangan pengambilan garam, gula, minuman yang mengandungi gula, mengurangkan pengambilan lemak tepu dan daging.
Selain itu, katanya, penyakit darah tinggi dan juga kolesterol yang tinggi juga boleh menyebabkan masalah atherosclerosis - kerosakan salur darah yang mengakibatkan salur darah menjadi keras dah sempit.

Katanya, akibat kerosakan salur darah, pesakit boleh mengalami serangan jantung dan angin ahmar.
Walaubagaimanapun tidak semua pesakit yang mempunyai kolesterol tinggi mengidap penyakit darah tinggi dan begitu juga tidak semua pesakit darah tinggi mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.
Tetapi kebiasaannya kedua-dua penyakit itu berkait rapat.

"Stres boleh meningkatkan tekanan darah untuk seketika tetapi kesan jangka panjang stres keatas tekanan darah masih tidak begitu jelas,'' katanya.
Begitupun pesakit darah tinggi disaran mengambil langkah-langkah mengurangkan stres dan mendapatkan rehat secukupnya sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan mereka.

Dr. Shahruddin memberitahu, darah tinggi boleh dielak dengan mengamalkan cara hidup yang sihat.
Ia merangkumi mengawal berat badan di mana mesti mengekalkan berat berat badan yang ideal iaitu jisim berat badan 18.5-22.9 kg/m2.

"Jika mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes, penurunan berat badan disyorkan.
"Sebaiknya ambil makanan yang rendah lemak, mengurangkan penggunaan minyak dan santan, mengurangkan pengambilan garam dan gula dan juga meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin,'' katanya.

Berita Harian: Mutakhir

Utusan Online